Indonesia tubuh dana, siapkan hadapi pandemik seterusnya



Indonesia tubuh dana, siapkan hadapi pandemik seterusnya

Indonesia akan menubuhkan dana perantara kewangan baharu yang akan menyokong inisiatif antarabangsa bagi menyediakan dunia menghadapi pandemik seterusnya.

Menteri Kewangannya, Dr Sri Mulyani Indrawati, berkata negaranya mengambil iktibar daripada pengalaman menghadapi pandemik COVID-19 sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata dana itu adalah sebahagian daripada perancangan Indonesia untuk menyusun program kesiapsiagaan dan tindak balas pencegahan wabak baharu.

“Kami bersetuju untuk menubuhkan dana perantara kewangan supaya dunia lebih bersedia apabila wabak lain melanda,” katanya.




Beliau berkata demikian di hadapan lebih 300 orang kenamaan, ahli akademik dan pemimpin perniagaan di Forum Perniagaan Indonesia-Singapura yang diadakan di Hotel Hilton Singapore Orchard.

Komen itu dibuat selepas pihak berkuasa Indonesia semalam memberi amaran bahawa negara itu sedang bersedia berdepan kemuncak kes COVID-19 pada minggu kedua Julai, yang kemudian dijangka menurun susulan program vaksinasi secara berterusan.

Dalam ucaptamanya, Dr Sri Mulyani berkata penyelidikan menunjukkan COVID-19 bukan cabaran kesihatan terakhir yang akan dihadapi dunia dan setiap negara perlu menghadapi cabaran pandemik secara bersama.

“Kami memahami daripada semua (kajian) bahawa wabak ini bukan yang terakhir, jadi keupayaan dunia untuk bertindak balas dengan berkesan, cepat, dan pantas akan menjadi sangat penting supaya tidak berdepan perkara sama sebagaimana berlaku dalam tempoh dua tahun yang lalu,” katanya.

Beliau turut berkata, Indonesia berusaha bukan saja bagi memulihkan pertumbuhan selepas dilanda COVID-19, tetapi ingin tampil lebih kuat dan bersedia mendepani cabaran masa depan.




“Kami bukan saja ingin memulihkan pertumbuhan, tetapi mahu membina kualiti (pertumbuhan) yang lebih baik, terutama dalam modal insan dan sumber manusia.

“Disebabkan itu, Indonesia sedang meletakkan sumber… dalam pendidikan, tetapi juga aspek penting yang lain iaitu kesihatan,” katanya.

Forum anjuran Kedutaan Indonesia di Singapura serta Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia itu menyaksikan peserta mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai penjagaan kesihatan, transformasi digital dan kemampanan.

Memperkukuh penjagaan kesihatan global adalah salah satu daripada tiga tonggak utama dalam agenda tahun ini bagi negara Kumpulan 20 (G20), yang mana Indonesia adalah pengerusi bergilir.

Dua lagi tonggak utama adalah transformasi digital dan peralihan tenaga. BH




Indonesia tubuh dana, siapkan hadapi pandemik seterusnya


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cik Non Viral meninggal dunia (video)

GSC didenda RM45,000: Catut air mineral, Mister Potato

India robohkan rumah tokoh-tokoh Islam



Leave a Reply

Your email address will not be published.