Impian rakyat Sarawak nikmati lebuh raya selesa kian hampir

Impian rakyat Sarawak nikmati lebuh raya selesa kian hampir

“Jangan kitak di Semenanjung ajak ada jeraya bagus… kamek di Sarawak maok macam ya juak. (Janganlah anda di Semenanjung sahaja memiliki jalan raya baik, kami di Sarawak pun mahu macam itu juga).

“Mun kita nait kereta dari Johor Bahru sampei Kangar nun, driving maok dalam lapan ke sepuluh jam ajak, tapi mun di Sarawak, dari Kuching ke Lawas, kita nait kereta, maok patah pinggang. (Kalau kita naik kereta dari Johor Bahru ke Kangar, pemanduan hanya dalam lapan ke 10 jam sahaja, tapi kalau di Sarawak, dari Kuching ke Lawas, kita menaiki kereta, pinggang pun boleh patah).



Itu antara kata-kata Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014. Namun, impian Adenan yang mesra disapa Tok Nan itu dan dikongsi 2.8 juta penduduk Sarawak tidak mudah direalisasikan meskipun ia menjadi kunci menjana pertumbuhan ekonomi, merangsang pembangunan sepanjang laluan seterusnya meningkatkan taraf hidup.

Masakan tidak sejak Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bermula dengan fasa pertama dari Nyabau ke simpang Bakun di Bintulu dilancarkan pada 30 Mac 2015, berdepan pelbagai cabaran, antaranya pertukaran kerajaan pada 2018 hingga berlaku sedikit kelewatan berikutan perubahan dalam struktur pengurusan projek.

Paling parah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika negara dilanda pandemik COVID-19 menyebabkan banyak kerja tergendala berikutan ramai pekerja warga asing balik ke negara asal.

Masalah kekurangan pekerja berlarutan hingga kini walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik dan kini kapasiti tenaga kerja hanya 70 peratus sahaja berbanding sebelum wabak COVID-19 melanda.



Malah, tidak ramai pekerja asing kembali semula ke Sarawak, selain ramai warga tempatan beralih ke sektor perladangan menawarkan upah lebih baik susulan peningkatan harga buah tandan segar (BTS) sawit seiring harga minyak sawit mentah (MSM) dunia melonjak naik. Selain itu, kenaikan harga bahan binaan seperti batu, pasir dan besi serta bahan api turut menjadi cabaran utama.

Justeru, kerajaan terpaksa mencari kaedah baharu untuk membantu dalam meringankan bebanan ditanggung kontraktor ekoran kenaikan harga barang seperti dijelaskan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sebenarnya projek mega bernilai RM16 bilion itu, sudah menghampiri kemuncaknya apabila mencapai 85 peratus siap hingga menyebabkan Fadillah menggesa sektor pembinaan, khususnya kontraktor terbabit mencari pendekatan berkesan untuk memastikan pekerja tidak lari ke sektor perladangan sekurang-kurangnya dalam tempoh antara hujung tahun ini hingga April tahun depan.

Menurut Fadillah, impian penduduk Sarawak untuk menikmati lebuh raya selesa kian menghampiri realiti apabila 20 daripada 25 seksyen dalam 11 Pakej Kontrak Kerja (WPC) projek itu dijadualkan siap penghujung tahun ini, manakala selebihnya dijangka siap pada suku pertama tahun depan.



Diakui projek lebuh raya itu sememang mencabar seperti dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman, iaitu struktur muka bumi menuntut kontraktor melaksanakannya dengan penuh teliti.

“Bukan sekadar siap dengan cepat, projek mega itu memerlukan pemantauan dan penyelenggaraan spesifik. Ini penting bagi mengatasi cabaran seperti isu cerun, struktur tanah serta binaan dengan lebih baik dan kontraktor perlu fokus memastikan pakej kontrak jalan raya dengan siap dengan sempurna,” katanya selepas meninjau perkembangan projek itu bersama Fadillah serta barisan pengurusan kanan Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelajah sejauh 786 kilometer, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika projek kini kian hampir disiapkan, pemantauan rapi tidak boleh dikesampingkan bagi memastikan kerja pembinaan tidak dibuat sambil lewa hanya kerana mahu ia disiapkan segera.



Namun, kemajuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak wajar dipuji kerana ia lebih lebih pantas berbanding projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Semenanjung seperti dikongsi Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Shuhaimi Hassan.

Untuk rekod, projek PLUS sepanjang 772 kilometer di Semenanjung mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan selepas bermula pada 1982, sedangkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (786 kilometer) pula mampu mencapai 85 peratus siap selepas hanya tujuh tahun pembinaan bermula.

Kejayaan itu hasil komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan khususnya KKR menunaikan janji menyediakan infrastruktur jalan raya terbaik kepada penduduk Sarawak. BH

Impian rakyat Sarawak nikmati lebuh raya selesa kian hampir


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cik Non Viral meninggal dunia (video)

GSC didenda RM45,000: Catut air mineral, Mister Potato



India robohkan rumah tokoh-tokoh Islam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker