Khir jawab sindiran Jamal

Khir jawab sindiran Jamal

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata dia sememangnya ingin kembali ke kawasan tempat dia pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat, Sungai Besar.

Hal itu kerana kawasan tersebut merupakan ‘padang permainannya’ sejak dulu lagi.



Mohd Khir berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos pada 5 Jun lalu.

Sebelum ini Jamal mencadangkan Mohd Khir tidak perlu membuat “come back” (kemunculan semula), sebaliknya perlu “go back” ke Sungai Besar. Ia dibuat selepas Mohd Khir menyuarakan hasratnya untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Soal lobi melobi tak timbul kerana parti akan mengetahui calon mana yang boleh menang bertanding, calon mana yang tak boleh menang bertanding, dan parti akan bagi keutamaan kepada calon yang boleh menang.

“Dan soal saya dengan Sungai Besar ni, memang saya tak pernah tinggalkan Sungai Besar. Orang kata go back, memanglah saya go back to Sungai Besar, sebab rumah saya di Sungai Besar, politik saya bermula di Sungai Besar.



“Jadi alhamdulillah untuk siapa yang kata go back to Sungai Besar, saya tak ada masalah,” katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Kembalikan kepada Umno

Pada 5 Jun, Utusan Malaysia melaporkan Jamal sebagai menasihatkan supaya kumpulan penyokong Mohd Khir lebih menumpukan kepada persiapan jentera Umno untuk PRU akan datang.

“Kepimpinan Umno bahagian ketika ini tidak memikirkan soal calon namun mahu memastikan gerak kerja parti berjalan lancar bagi menghadapi dan memenangi pilihan raya nanti. Beliau tak payah come back, tetapi terus go back sahaja,” kata Jamal seperti dilaporkan Utusan Malaysia.



Mohd Khir merupakan bekas Adun Sungai Panjang dari PRU ke-10 hingga PRU ke-12. Sungai Panjang merupakan satu daripada dua kawasan dewan undangan negeri (DUN) dalam parlimen Sungai Besar.

Satu lagi DUN ialah Sekinchan.

Mohd Khir dilantik sebagai menteri besar menggantikan Abu Hassan Omar pada 18 Ogos 2000 sehingga 13 Mac 2008 apabila BN Selangor tewas kepada Pakatan Rakyat.

Mohd Khir berkata perkara yang menjadi keutamaannya buat masa ini ialah untuk memastikan Parlimen Sungai Besar – yang kini diwakili Muslimin Yahya dari Bersatu – dapat dikembalikan kepada BN.



Muslimin merupakan wakil Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 lalu dan dia mengalahkan calon Umno-BN ketika itu, Budiman Mohd Zohdi. Muslimin memenangi kerusi tersebut dengan perbezaan 714 undi.

Kata Khir, walaupun tiada sebarang liputan dibuat dia memang sudah selalu turun padang dengan melakukan pelbagai aktiviti di kawasan kampung sekitar Sungai Besar.

“Bagi saya, dulu saya disokong oleh orang ramai, dan sekarang tiba masanya untuk saya bantu mereka yang pernah menyokong saya dulu. Itu saja hasrat saya,” katanya.

Namun, apabila ditanya mengenai jawatan menteri besar jika diberikan peluang kedua, Mohd Khir berkata adalah lebih baik sekiranya ia diberikan kepada mereka yang lebih berketerampilan untuk menyuarakan visi dan misi negeri Selangor.



Tak terlalu besar tapi ada

Alasannya, Mohd Khir berkata, kesan daripada kesilapan kerajaan BN lalu adalah terlalu besar.

“Biarlah orang yang lebih berwibawa daripada saya,” katanya.

Tambahnya tidak timbul isu tokoh lama atau baru untuk memimpin Selangor kerana rakyat di negeri terbabit boleh menilai seseorang itu sama ada boleh memimpin atau sebaliknya.



Untuk itu dia berpandangan, BN perlu mengetengahkan individu yang dirasakan boleh memimpin Selangor.

Ketika ditanya mengenai tahap keyakinannya merampas kerusi Sungai Besar, Mohd Khir berkata BN sudah membuktikannya melalui pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan di Sabah, Melaka, Johor selain beberapa di pilihan raya kecil (PRK).

“Kita bukan nak rampas sebenarnya. Kerusi itu hari ini dimiliki Bersatu dan calon Bersatu tu pun dari Umno. Kita hanya ingin mengembalikan kerusi itu kepada Umno,” katanya.

Tambah Mohd Khir, selepas negara berdepan dengan pertukaran kerajaan bersilih ganti sejak PRU ke-14, adalah jelas bahawa rakyat boleh kembali kepada BN.

“Walaupun tidak segerombolan yang besar, saya rasa peratusan untuk rakyat kembali kepada BN tu ada, dan ia tidak dapat dinafikan apabila PRK, PRN Sabah, Melaka dan Johor nampaknya ada tahap sokongan yang lebih kepada BN,” katanya.

Pada masa sama Mohd Khir berpendapat ketika situasi politik negara kini dianggapnya sangat rapuh dan tidak stabil, kepimpinan Ismail Sabri Yaakob dilihat agak takut untuk membuat perubahan besar.

Oleh itu, katanya BN perlu berfikir cara untuk meraih jumlah kerusi yang lebih banyak daripada parti-parti lain supaya mempunyai kekuatan dalam kerajaan.

“Sebab tu BN kena fikir hari ni, kita kena bagitahu kepada rakyat, mereka kena beri mandat kepada satu parti, walaupun ia tak boleh tubuh kerajaan, tapi ia boleh menjadi parti yang besar ahli parlimennya supaya kerajaan itu menjadi stabil.

“Kalau kita nak buat rumah, kita kena ada ‘tiang serinya’. Supaya semua orang boleh berharap kepada ia punya kekuatan.

“Tapi kalau sikit-sikit dengan too many captains (terlalu banyak pemimpin) dalam satu kapal, masalah BN,” katanya sambil mengakui sukar untuk BN meraih majoriti dua per tiga majorti di Dewan Rakyat.

Untuk rekod, selepas tumbangnya BN pada PRU14, sejumlah 17 ahli parlimen Umno berpaling tadah dengan kebanyakannya menyertai Bersatu yang ketika itu dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Namun Umno kembali menyertai kerajaan selepas memberikan sokongan kepada Muhyiddin – yang membawa keluar Bersatu daripada PH – sebagai perdana menteri pada 2020.

Lebih setahun kemudian, iaitu pada Ogos 2021, Umno kembali memegang jawatan perdana menteri, menerusi Ismail Sabri, selepas sejumlah ahli parlimennya menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin menyebabkannya hilang majoriti di Dewan Rakyat. Mk

Khir jawab sindiran Jamal


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nasi lemak berlauk tahi ikan bilis

Janna Nick bangga, fenomena Gatal jangkiti PSY

BBQ meletup ketika berkelah bikin ramai terkejut (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker