Amalan buli doktor pelatih terus berlaku

PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak masih menerima aduan kes buli doktor pelatih walaupun Kementerian Kesihatan sudah mewujudkan pa­sukan petugas khas bagi menyiasat budaya tersebut yang didakwa berlaku di hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan.

Jurucakap gerakan tersebut, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, pasukan petugas khas kerajaan itu bagaikan tidak menakutkan ‘pembuli’ yang kebanyakannya membabitkan doktor senior apabila mereka meneruskan budaya tersebut.

“Hartal Doktor Kontrak masih menerima aduan daripada doktor praktikal (houseman) yang mendakwa mereka masih dibuli oleh pegawai-pegawai atasan yang seperti tidak serik atau takut dengan amaran kerajaan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, susulan perkembangan tersebut, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin disaran melibatkan semua pihak supaya aduan bukan hanya disampaikan kepada pihak Hartal Doktor Kontrak semata-mata sebaliknya terus kepada menteri sendiri.

“Aduan kes buli doktor ju­nior masih sama tidak berkurang tetapi tidaklah me­ningkat. Jadi kami minta Yang Berhormat (YB) KJ inklusifkan semua orang, sebab kita tidak mahu aduan hanya sampai kepada kita sahaja, kami mahukan aduan itu turut disampaikan kepada Menteri.

“Beliau juga perlu libatkan golongan-golongan yang ter­kena atau terkesan disebabkan budaya buli ini. Bagaimana boleh buat satu kumpulan petugas khas tanpa melibatkan mereka yang menjadi kunci utama? Jadi ini nampak macam syok sendiri,” kata beliau.

Selain itu, kata Mustapha Kamal, pasukan khas itu juga perlu disertai serta oleh agensi-agensi lain seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mempunyai maklumat mengenai amalan kerja di hospital-hospital kerajaan.

Pasukan petugas khas itu ditubuhkan pada 12 Mei lalu susulan seorang doktor pelatih lelaki di Hospital Pulau Pinang (HPP) ditemui maut selepas terjatuh menerusi tingkap di sebuah pangsapuri disewanya di Georgetown pada 17 April lalu.

 

Terbeban

Siasatan polis termasuk mengambil keterangan daripada rakan serumah mangsa mendakwa si mati sebelum menemui ajal pernah me­ngadu dia terbeban dengan tugas.

Kematian doktor muda itu kemudian merungkai dakwaan budaya buli di hospital kerajaan bagai sudah sebati dengan cara kerja mereka.

Susulan kritikan, aduan dan cadangan, Kementerian Kesihatan kini memberi masa dua bulan kepada pasukan khas itu untuk mencari kebenaran mengenai budaya buli dan mencari punca kematian doktor pelatih terbabit.

Sementara itu, seorang doktor yang berjaya menamatkan latihannya dan mahu dikenali sebagai Dr. Syahidul mengimbau semula bagaimana rakan setugasnya yang sama-sama menjalani latihan di sebuah hospital di utara mengalami gangguan seksual oleh doktor senior.

“Modus operandinya adalah dengan mengajak kawan saya ke sebuah bilik atas di hospital itu dengan alasan ingin me­ngajar bagaimana memeriksa badan pesakit tetapi menggunakan badan kawan saya.

“Pegawai perubatan itu menyentuh beberapa anggota badan kawan saya yang tidak sepatutnya,” katanya dengan memberitahu kejadian itu ti­dak dihebohkan. – UTUSAN

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Warga emas cedera dipukul penunggang motosikal [VIDEO]

Hakim Arief Emran Dah Tarik Diri, Hakim Nazlan Pula Bagaimana?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker