Ismail ke Jepun dalam lawatan rasmi lima hari

Ismail ke Jepun dalam lawatan rasmi lima hari

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan akan mengadakan lawatan rasmi ke Jepun selama lima hari.

Menurut Kementerian Luar, lawatan rasmi itu akan memberikan peluang kepada kedua-dua negara bagi membincangkan inisiatif dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Jepun.



“Perdana Menteri dijadual bertemu dengan rakan sejawat beliau, Presiden Jepun, Fumio Kishida. Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak menyandang jawatan pada tahun 2021,” demikian menurut kenyataan Wisma Putra.

Dalam lawatan itu, lima menteri Kabinet akan turut serta dalam lawatan rasmi itu.

Antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut mengiringi Ismail Sabri adalah Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem dan Timbalan Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.



Lawatan khas itu antara lain akan membincangkan mengenai memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat, dan kerjasama pasca Covid-19.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau.

“Malaysia dan Jepun akan memuktamadkan memorandum Kerjasama dalam tiga bidang melibatkan industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan.

“Perdana Menteri dijadualkan akan bertemu dengan wakil-wakil komuniti perniagaan di Tokyo. Selain itu, beliau juga akan turut meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di Jepun,” kata Wisma Putra lagi.



Ismail Sabri juga dijadualkan akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc.

Persidangan ini merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik.

“Penyertaan Perdana Menteri di Persidangan Nikkei ke-27 ini akan menjadi platform untuk Malaysia berkongsi idea serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang bertujuan mengembangkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara negara di rantau ini,” jelas kenyataan itu lagi. MG


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Warga emas cedera dipukul penunggang motosikal [VIDEO]

Hakim Arief Emran Dah Tarik Diri, Hakim Nazlan Pula Bagaimana?



Ustaz Abdul Somad diusir dari Singapura



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker