Wartawan’ tak bertauliah gian jadi pelapor pertama

Kebelakangan ini, negara bukan saja diancam penularan wabak Covid-19, malah memburukkan keadaan apabila ‘wabak’ berita palsu semakin sukar dikawal hingga mencetuskan hura-hara dalam kalangan rakyat.

Kegiatan dengan niat ‘suka-suka’ atau jahat ini jelas mendedahkan masyarakat kepada rasa takut termasuk mencetuskan suasana panik dan rasa tidak selamat.

Tabiat menyebar berita terawal atau breaking news syndrome oleh ‘wartawan’ tidak bertauliah di platform media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan Telegram sangat membimbangkan.

Maklumat yang disebarkan golongan terbabit diragui kesahihan, berikutan majoritinya hanya cenderung bermotifkan keseronokan dan inginkan perhatian.



Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali mendedahkan sindrom itu boleh dikaitkan dengan masalah mental dan emosi.

Malah, katanya, kebanyakan individu yang melakukan perbuatan itu mempunyai isu berkaitan rendah penghargaan diri self-esteem dan berasa diri tidak selamat.

Beliau berkata, pelbagai faktor yang mendorong antaranya kebergantungan kepada teknologi, kepuasan diri, meraih perhatian dan populariti, pergaulan, kognitif, tiada bimbingan ibu bapa serta kurang didikan agama.

“Tabiat menyebar berita palsu ini wujud dalam diri seseorang disebabkan oleh dorongan untuk mendapatkan kepuasan diri.



“Kepuasan mungkin terjadi apabila mereka berupaya mengganggu orang lain dengan tujuan berhibur dan berseronok, selain mempunyai sifat paranoid terhadap masyarakat.

“Bukan itu saja, keinginan menjadi popular membuatkan mereka cenderung untuk menjadi individu terawal menyebarkan berita sedangkan ianya palsu,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Shazli berkata, faktor personaliti ekstrovert iaitu senang bergaul, ramai rakan, suka bersosial dan hidup berkelompok menjadikan mereka mudah menyampaikan berita tanpa usul periksa, ditambah pula faktor kognitif iaitu obsesif terhadap maklumat baharu.

Beliau berkata, cara didikan permisif iaitu membesar tanpa bimbingan ibu bapa turut menyumbang kepada tingkah laku ‘pelik’ itu.



“Mereka belajar dan membesar dengan sendirinya. Mereka ini kurang sifat simpati dan empati serta tidak kisah dengan persekitaran.

“Apabila buat silap, mereka minta maaf dan masyarakat akan mudah menerimanya. Kurang pegangan agama juga menjadi faktor tabiat ini sukar dibendung,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya perbuatan menyebar berita palsu tidak dikawal dibimbangi lebih ramai individu di negara ini mengalami masalah mental.

“Tabiat ini (menyebar berita terawal) akan mengembangkan perasaan paranoia iaitu kebimbangan terhadap persekitaran. Mereka berpandangan buruk terhadap persekitaran dan curiga kepada orang lain. Mereka mudah marah dan cenderung memusuhi serta menganggap diri betul.



“Beberapa ciri paranoia ialah memiliki gangguan mental yang jelas boleh menyumbang kepada masalah skizeofinia. Oleh itu, melalui penyebaran berita palsu akan menjadi daya tindak kepada mereka untuk menghadapi kehidupan harian,” katanya.

Ditanya cara berkesan untuk ‘mengubati’ tabiat itu, Dr Shazli berkata, pendidikan psikologi boleh diberikan kepada individu itu mengenai penting mendapatkan maklumat sahih sebelum disebarkan.

Tambah beliau, keluarga dan rakan adalah pendorong, malah penguatkuasaan undang-undang lebih ketat dengan denda tinggi serta hukuman lebih berat akan memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan.

Justeru, katanya, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus berperanan memeriksa dan respons kepada berita palsu, termasuk menyekat akaun pemilik yang menyebarkan berita berkenaan agar tidak terus berleluasa. HM



Bagaimana Guan Eng jadi akauntan?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker