Kenaikan OPR dijangka kukuhkan semula ringgit, kurangkan inflasi

Kenaikan OPR dijangka kukuhkan semula ringgit, kurangkan inflasi

Langkah Bank Negara Malaysia mula menaikkan penanda aras pinjaman Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat berpotensi mengurangkan peningkatan ketara kadar inflasi atau harga barangan, di samping mengukuhkan semula nilai ringgit berbanding dolar AS.

TA Securities dalam notanya berkata, kenaikan OPR akan mengurangkan kadar inflasi pada bulan-bulan mendatang seperti terbukti pada Januari 2018 lalu iaitu apabila penanda aras kenaikan harga barang dan perkhidmatan, Indeks Harga Pengguna (IHP) berkurangan kepada 2.7 peratus tahun ke tahun berbanding 3.6 peratus sebelumnya.



Selain itu, katanya, kenaikan OPR juga dijangka akan mendorong aliran masuk modal asing ke Malaysia selepas pasaran bon negara mencatat kemasukan bersih asing RM4.5 bilion dan pelabur asing ekuiti tempatan menjadi pembeli bersih RM3.4 bilion pada Januari 2018.

“Kami juga percaya kenaikan OPR akan menghalang kelemahan berterusan nilai ringgit yang kini didagangkan melebihi RM4.38 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Kami juga menjangkakan ringgit akan mengukuh, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat seperti mana yang pernah disaksikan pada Januari 2018 apabila ringgit meningkat 3.7 peratus bulan ke bulan kepada RM3.899 daripada RM4.047 pada bulan sebelumnya,” katanya.

TA Securities, berkata langkah menaikkan penanda aras pinjaman itu tidak akan melemahkan prospek pertumbuhan ekonomi masa hadapan, demikian pandangan penganalisis.



Katanya, kenaikan 25 mata asas OPR kepada 2.00 peratus tidak akan memberi kesan negatif meskipun langkah berkenaan secara langsung akan mempengaruhi kadar pinjaman asas (BLR) atau kadar asas (BR).

“Kami menjangkakan kenaikan OPR yang diumumkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM tidak akan memberi kesan kepada pertumbuhan penggunaan swasta.

“Kuantum 25 mata asas dianggap kecil dan boleh diuruskan serta berada dalam konsensus pasaran.

“Kesan bayaran bulanan yang lebih tinggi sedikit dijangka dapat ditampung dengan penambahbaikan pasaran buruh, pendapatan boleh guna yang lebih tinggi dan pemulihan ekonomi yang berterusan,” katanya.



Firma penyelidikan pasaran itu berkata, berdasarkan rekod, apabila BNM menaikkan OPR pada Januari 2018 sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, penggunaan swasta mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2018 berbanding 6.9 peratus pada suku keempat 2017.

“Bagaimanapun, penggunaan swasta meningkat kepada lapan peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2018 didorong pengukuhan berterusan dalam pendapatan dan pekerjaan.

“Pada masa itu, perbelanjaan pengguna turut dirangsang oleh inflasi yang lebih rendah berikutan pelaksanaan pada kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta sentimen pengguna yang lebih kukuh,” katanya.

TA Securities berkata, pada suku kedua 2018, kadar pengangguran berada pada 3.3 peratus dan inflasi pula pada 1.3 peratus.



Firma pembrokeran itu menjangkakan satu lagi kenaikan OPR akan berlaku menjelang akhir tahun dan jika ia direalisasikan, satu lagi kenaikan 25 mata asas menjadikan kadar berada pada 2.25 peratus.

“Kami tidak menjangkakan BNM hanya akan melaraskan OPR sebagai tindak balas kepada perubahan luaran seperti langkah pengetatan yang agresif di AS dan kelemahan ringgit baru-baru ini.

“Sebarang keputusan untuk menaikkan OPR akan menunjukkan keyakinan BNM terhadap asas ekonomi Malaysia, termasuk kestabilan pasaran domestik,” katanya.

MIDF Research dalam notanya pula mengekalkan saranan positif terhadap sektor perbankan kerana dividen dan perolehan bank dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan Margin Faedah Bersih (NIM).



“Kami tidak menjangkakan sebarang penurunan ketara dari segi pertumbuhan pinjaman dalam masa terdekat, memandangkan petunjuk utama yang kekal teguh dan trend pemulihan mantap permintaan pengguna dan korporat,” katanya.

Kenanga Investment Bank turut mengekalkan saranannya terhadap sektor perbankan memandangkan dasar monetari yang ketat berkemungkinan meredakan kesan inflasi daripada ketidaktentuan harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan kebelakangan ini.

“Dengan itu, ini sudah pasti menguntungkan institusi kewangan kerana mereka akan dapat memanfaatkan kadar lebih tinggi dan meningkatkan perolehan,” katanya. BH

Kenaikan OPR dijangka kukuhkan semula ringgit, kurangkan inflasi




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Waze punya pasal terpaksa terokai hutan

Tony Fernandes dan Kamarudin terima gaji lebih RM14j tahun lalu

Baby Shima kena kecam lagi goyang pinggul

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker