PRU15: BN atau PKR jadi pilihan?

AMAT menarik dengan perkembangan terbaharu dalam pemilihan kepimpinan PKR selepas mengalami kegagalan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Nurul Izzah Anwar mengatakan PKR mampu bangkit kembali dalam dua pilihan raya umum (PRU) nanti, iaitu dalam sedekad akan datang. Jika dilihat perkembangan terkini dalam PKR, boleh dikatakan ramai kepimpinan berkebolehan telah pun meninggalkan parti itu selepas berlalunya PRU 2018 sehingga kini. PKR akan hadapi masalah bila pemimpin yang patut ditonjol, Nurul Izzah memilih tidak bertanding dalam pemilihan parti seolah-olah beliau sudah putus harap dengan PKR.

PKR lahir daripada tercetusnya gerakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Reformasi 1998 yang menentang ketidakadilan dalam pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Gerakan ini disokong oleh sebilangan besar anak muda dan juga sebahagian pemimpin UMNO.

Sehingga kini, PKR amat terhutang budi dengan Anwar. Hutang budi tersebut turut melibatkan kejayaan Anwar membawa PKR menjadi parti arus perdana sehingga berjaya membentuk Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan (PH). Walaupun ramai pemimpin PKR sebelum ini berkaliber tetapi atas hutang budi, maka golongan pemimpin berkaliber agak sukar naik sehingga ke jawatan Presiden. Malahan kata-kata Anwar adalah seolah kata-kata PKR. Ini menyebabkan PKR mengalami defisit pemimpin yang mampu membawa kepada kemapanan parti itu pada masa depan. Situasi ini merugikan masa depan PKR sebagai sebuah parti komunal yang boleh bergerak maju lagi pada masa depan.

Boleh dikatakan sepanjang waktu Anwar berada di dalam penjara, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah memainkan peranan penting dalam membentuk dan mengasaskan kedudukan PKR dalam politik perdana. Sehingga kini, bayangan kedua-dua tokoh tersebut masih memberi impak kepada PKR.

PKR sememangnya ketiadaan idea baharu dalam memperbaharui perubahan dengan perkembangan politik semasa. Apa yang menarik, PKR kini berdepan kepimpinan yang lebih progresif dan bertenaga dalam membawa sokongan anak-anak muda berumur 25 tahun ke bawah.

Berkemungkinan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan mengambil alih pada suatu masa nanti jika PKR gagal membawa satu gagasan baharu yang mampu menarik anak-anak muda yang ingin corak politik lebih ideal dan sesuai dengan cita rasa mereka. Ini sudah tiada dalam kepimpinan PKR yang mampu menawarkan impian tersebut kepada anak-anak muda masa kini. Seolah-olah PKR telah pun hilang hala tuju politik setelah runtuhnya kerajaan PH selama 22 bulan.

LIM KIT SIANG

Boleh dikatakan aura Anwar ibarat awan mendung yang sudah berlalu. Anwar sepatutnya sedar bahawa calon paling sesuai untuk mengambil tampuk kepimpinan PKR adalah anaknya, Nurul Izzah yang lebih akrab dengan idea dan impian anak-anak muda. Malahan Nurul Izzah lebih beraura jika digilap oleh Anwar. Tetapi ini tidak berlaku dalam keadaan yang sepatutnya.

Anwar sepatutnya mengikuti langkah Lim Kit Siang yang berundur dari dunia politik dengan memberi ruang kepada anaknya, Lim Guan Eng dalam DAP. Anwar perlu belajar dunia reformasi kurang relevan dengan perubahan zaman politik hari ini. Inilah yang perlu disedari oleh Anwar sebelum PKR ditolak sepenuhnya oleh anak-anak muda. Ini disebabkan kebangkitan PKR adalah kerana aura Anwar disokong oleh anak-anak muda pada zaman tersebut. Jadi, zaman sudah berlalu maka aura Anwar sudah kurang relevan dengan zaman kini.

Kebangkitan Barisan Nasional (BN) adalah lebih terserlah di bawah kepimpinan Keluarga Malaysia yang menunaikan janji kepada rakyat. Ini menyebabkan pelbagai program kerajaan dirangka supaya tiada yang tertinggal di belakang perubahan sosioekonomi yang sedang pesat membangun. Idealisme Keluarga Malaysia lebih sesuai berbanding idealisme reformasi.

Anwar perlu meninggalkan barisan kepimpinan lebih progresif dan ideal yang sesuai dengan cita rasa perubahan zaman sekarang. Isu-isu yang timbul hari ini hanya memberi gambaran kepada bukan dunia zaman golongan anak-anak muda. Mungkin Anwar perlu memikirkan siapakah yang patut diberi ruang dan sokongan untuk memimpin PKR dalam masa 20 tahun akan datang. Jika ini tidak difikirkan, maka PKR akan lenyap seperti Parti Melayu Semangat 46.

Pemimpin yang patut diketengahkan adalah anaknya sendiri, Nurul Izzah. Ini disebabkan golongan wanita muda mempunyai pengaruh yang signifikan dalam menentukan kemenangan ke atas mana-mana parti berbanding lelaki. Hujahnya ialah lebih 70 peratus wanita di negara ini mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya diploma ke atas.

Berbekalkan pendidikan tinggi diploma, majoriti mempunyai kedudukan kelas menengah dan kesedaran politik yang tinggi. Sebenarnya, segmen kepimpinan wanita untuk dimartabatkan di negara ini adalah satu idea yang terbaik dalam meraih sokongan golongan wanita yang berpendidikan dan hidup dalam kelas menengah mempunyai kesedaran politik tinggi. Idea kepimpinan wanita ini mungkin boleh digambarkan sebagai mengekalkan keintegritian, kebertanggungjawaban dan keseriusan dalam soal pembangunan negara tanpa adanya sebarang agenda pempolitikan.

Tetapi BN lebih mendahului PKR dalam memikirkan idea dan cara baharu dalam memperbaharui sokongan di luar dugaan mana-mana parti dalam PRU15. Ini disebabkan kepimpinan Keluarga Malaysia telah banyak melakukan perubahan reformasi dalam politik pentadbiran kerajaannya dengan membenarkan 30 peratus wanita terlibat dalam hal itu. Cuma masa akan menentukan bahawa kerajaan Keluarga Malaysia akan menjadi pilihan rakyat semula dalam PRU15 nanti. – UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

 

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


5 anggota polis disyaki curi barang kemas ketika serbuan

Sharifah Sakinah dikecam jahil samakan tandas dengan syurga

Kecoh Britney Spears belanja gambar bogel

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker