Sweet Qismina janji tak kahwin sorok-sorok

Sweet Qismina janji tak kahwin sorok-sorok

MENGIKAT tali pertunangan sejak 24 Oktober lalu, Sweet Qismina dan Adam Lee juga adalah antara pasangan selebriti yang menjadi perhatian ramai terutama kisah fasa perhubungan mereka selepas tiga tahun menjalin cinta.

Namun, ramai juga yang berteka-teki sama ada kedua-duanya jadi atau tidak melangsungkan majlis perkahwinan lantaran tidak ‘berbunyi’ mengenai cerita persiapan menuju majlis dan sebagainya.



Lalu, timbul pula cakap-cakap belakang, kemungkinan Sweet dan Adam memilih jalan seperti artis dan selebriti lain yang kononnya berangan hendak jadi pasangan eksklusif, sehinggakan hal perkahwinan pun hendak disorok-sorok.

Berpeluang bertanyakan perihal itu kepada aktres berusia 25 tahun ini, Sweet mengaku dia dan tunangnya, Adam, lebih selesa kekal low profile untuk seketika dan memberi tumpuan pada kerja yang sedang menggunung kini.

“Tetapi itu tidak bermakna kami tak jadi kahwin. Tentang kahwin, Insya-Allah, mengikut perancangan mungkin tahun ini juga kami akan bernikah. Segala urusan masih dalam perbincangan dan beberapa perancangan pun masih dilaksanakan.

“Tahu, mungkin ada selebriti lain yang memilih cara untuk kahwin mengejut. Tapi buat kami, rasanya, kami dan keluarga kedua-dua belah pihak lebih senang dan gembira jika hal yang baik ini dimaklumkan kepada semua dengan cara yang betul.



“Insya-Allah, kalau tiada aral, kami akan usahakan untuk maklumkan tentang majlis perkahwinan kami, sebulan lebih awal,”katanya.

Jelas Sweet, statusnya sebagai seorang selebriti, begitu juga dengan Adam, menjadikan mereka juga berasa bertanggungjawab untuk memaklumkan hal itu kepada pihak media yang selama ini dianggap telah banyak membantu menaikkan kerjaya mereka.

“Terutama kepada pihak media, kami akan beritahu. Tak ada istilah nak sorok-sorok.Insya-Allah juga, kalau ada rezeki majlis dibenarkan dengan kehadiran lebih ramai tetamu mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu, memang bercadang nak jemput juga rakan-rakan wartawan untuk bersama meraikan majlis bahagia kami,”katanya.

Kahwin ‘mega’atau tidak?



Sebagaimana mana-mana pasangan lain, sudah pasti, masing-masing mempunyai keinginan untuk melangsungkan sebuah majlis perkahwinan mengikut bayangan dan angan-angan sendiri.

Maklumlah, bak kata orang, kahwin cuma sekali. Kalau ada rezeki lebih, ada yang memilih untuk berhabis wang ringgit demi merealisasikan sebuah perkahwinan idaman.

Tetapi, memang julukan ‘wedding of the year’kah yang menjadi sasaran Sweet dan Adam? Ini jawapan yang diberikan oleh pelakon kecil molek ini.

“Bukan cuma saya sahaja sebagai wanita yang ada impian perkahwinan. Saya percaya, kaum lelaki pun ada impian yang sama dan Adam juga begitu. Jadi, untuk mencapai kata sepakat, saya dan Adam sedang cuba mencari cara terbaik untuk dapatkan kata putus dalam urusan ini.



“Iyalah, saya nak sebelah saya rasa gembira, Adam pun cuba nak gembirakan sebelah dia. Tapi kami berpegang pada kata sederhana dan ringkas. Kalau orang kata majlis kami bak Wedding Of The Year, itu kata mereka.

“Bukan kami yang letakkan status tertentu. Saya percaya, mana-mana pasangan yang nak berkahwin, apa yang mereka utamakan adalah urusan yang penting dahulu. Asalkan majlis berjalan dengan lancar dan kedua-duanya sudah selamat diijabkabul, itu sudah mencukupi bagi kami,”katanya.

MENGOTA JANJI

Hal itu kemudiannya dipersetujui oleh Adam yang mencelah perbualan. Kata pelakon drama Budak Tebing dan Rindu Yang Terindah ini, sebagai lelaki, dia juga tentunya mahu menggembirakan bakal isterinya.



Selagi mampu, dia cuba berusaha untuk mengotakan keinginan Sweet dalam urusan ini.

“Iyalah, siapa sahaja yang tak mahu membahagiakan bakal isteri mereka bukan?Apa yang dia suka dan mahu, saya cuba kotakan yang terbaik. Saya pun bukannya pernah berkahwin sebelum ini.

“Kali pertama nak melangkah ke alam baharu ini, rasa gementar juga. Apa yang terbaik kita boleh lakukan, kita buat. Tapi Sweet banyak menolong dalam bab ini. Dia yang banyak berikan idea dan sebagainya, saya okey saja,”katanya.

Tekanan ada, tapi bukan orang ketiga
Pun begitu, kata Adam, bohonglah jika dia menganggap tiada tekanan yang dihadapi saat mencari keserasian jawapan dan kata putus dalam menguruskan hal perkahwinan ini.



Kata Adam, walaupun dari segi persiapan, hampir 60 peratus telah selesai dan dia wajar berasa lega sebentar, itu masih belum benar-benar membuatkan dirinya duduk tenang memandangkan selagi belum diijabkabul, tekanan tentu akan ada.

“Bukan apa, saya pun sedang sibuk dengan jadual kerja penggambaran yang padat. Tak mahulah cakap sampai bila padatnya itu, sebab nanti orang ingat saya nak riak pula. Tapi dalam sibuk merancang nak kahwin, saya pun sedang sibuk di lokasi, jadi itu tak mudah juga untuk saya.

“Saya tahu kena kerja lebih keras sebab tak lama lagi bakal jadi khalifah dan ketua keluarga. Saya kena sediakan segala keperluan, jadi dalam kekalutan itu semua benda datang serentak. Mungkin itulah yang menyebabkan saya sedikit tertekan.

“Atau mungkin juga sebenarnya ia dinamakan dugaan orang nak kahwin. Kami berdua ini tak ada masalah orang ketiga, keempat dan sebagainya. Tapi dugaan kecil-kecil itu adalah…” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, Adam dan Sweet berbesar hati andai semua pihak dapat mendoakan yang baik-baik buat mereka selain memahami asbab mereka tidak selesa untuk terlalu mencanang soal perkahwinan dengan kerap.

Sempat Sweet meluahkan, dia lebih selesa untuk menguruskan hal perkahwinan mereka sendiri dengan tenang bersama Adam.

“Selagi boleh, kami tak nak heboh-hebohkan sangat. Tak nak ada isu-isu lain yang timbul. Mahu semuanya lancar saja,”katanya. Utusan

Sweet Qismina janji tak kahwin sorok-sorok


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Intan Najuwa calon menantu ‘limited edition’

Janna Nick persetan netizen

Mimy Fly terkilan teman lelaki dipanggil negro

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker