30 tahun masalah air, rakyat Kelantan terpaksa guna telaga

30 tahun masalah air, rakyat Kelantan terpaksa guna telaga

Masalah bekalan air yang berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu di Kelantan bukan disebabkan aspek geografi sebaliknya berpunca daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri itu yang dipimpin Pas.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan, dari aspek geografi, Kelantan bukan berada di kawasan yang sukar mendapatkan sumber air secara semula jadi.

“Lebih 30 tahun rakyat Kelantan menderita menghadapi masalah bekalan air bersih dan merupakan detik bersejarah kepimpinan Kelantan sejak bertukar daripada UMNO kepada Pas.

“Sama ada ianya hanya satu tempoh masa secara kebetulan mahupun penanda aras kegagalan kepimpinan sedia ada, bukan kesalahan siapa yang kita cari. Cukup-cukuplah 30 tahun menuding jari satu sama lain.

“Dalam tempoh ini juga saya percaya rakyat Kelantan semakin bertambah, pembangunan semakin banyak, yang mana keperluan terhadap air bersih meningkat berkali ganda berbanding 30 tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri itu memerlukan sekitar RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih.

Menurut beliau, peruntukan itu bagi menukar sistem paip lama melibatkan jarak 5,000 kilometer serta pembinaan loji baharu.

Beliau mengakui, kerajaan negeri sudah berusaha bagi mengatasi masalah bekalan air bersih selama 30 tahun.

Menurut Nik Saiful Adli, apa yang menjadi masalah ketika ini ialah perkhidmatan air untuk menjadikan sumber itu sebagai air bersih yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian rakyat.

“Maka, saya lihat puncanya adalah kerana faktor fasiliti, teknologi dan pentadbiran yang menjadi masalah utama. Kerajaan negeri tidak boleh bergantung harap atas kreativiti rakyat dalam mendapatkan sumber air sendiri.

“Benar, rakyat Kelantan sekarang menggunakan air telaga dan memproses sumber ini sendiri untuk mendapatkan bekalan air yang bersih,” katanya.

Namun, kata beliau, usaha dan kerja keras rakyat tidak sewajarnya membolehkan kerajaan mengambil kesempatan ke atas mereka dengan mengabaikan tanggungjawab sebagai pemerintah.

“Dahulu kerajaan negeri boleh salahkan kerajaan Persekutuan, sekarang Pas yang memerintah bersama pusat dengan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kini merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air.

“Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pula merupakan Ahli Parlimen yang juga Yang Dipertua Pas Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

“Pandangan saya, dengan adanya pemimpin Pas ini di peringkat kerajaan pusat, tiada lagi isu Kelantan berdepan dengan masalah bekalan air bersih,” ujar beliau.

Nik Saiful Adli mengingatkan Pas Kelantan, bukan semua isu harus dijadikan modal politik untuk kelangsungan pemerintah.

Katanya, isu melibatkan keperluan dan kebajikan rakyat sewajarnya diambil berat bersama, bukan dijadikan seperti bola ditendang ke sana ke mari kerana berebut piala.

Dalam isu air ini, jelas beliau, kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri mengambil tindakan lebih drastik serta beri perhatian supaya penderitaan rakyat selama 30 tahun ini dapat dihentikan segera.

“Jangan pula ada yang menganggap ini adalah bantuan kerajaan Persekutuan kepada parti Pas. Bukan, kerajaan Persekutuan juga ada tanggungjawab kepada rakyat Kelantan kerana kami juga rakyat Malaysia,” katanya. MG

30 tahun masalah air, rakyat Kelantan terpaksa guna telaga


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pemandu bawah umur, pemilik MPV langgar mati dikena tindakan berat

Sakit hati tengok Maria Farida terlalu lawa

Muda didesak jelaskan kes manipulasi saham penny stock

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker