JKN tunggu keputusan ujian makmal kes doktor pelatih maut

JKN tunggu keputusan ujian makmal kes doktor pelatih maut

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang masih menunggu keputusan ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan kematian seorang doktor pelatih ditemui jatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April lalu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr Ma’arof Sudin dalam satu kenyataannya hari ini turut mengesahkan mangsa sebagai seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu awal bulan lalu.



Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa berkata, mangsa ditempatkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 4 April lalu sebelum ditemui meninggal dunia pada 17 April.

“Adalah dimaklumkan bahawa kes ini adalah bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengarahkan bedah siasat dijalankan. Bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik, HPP. Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal.

“Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka,” katanya.

Berikutan itu, Dr Ma’arof memohon kerjasama semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan, kerana kes masih dalam siasatan pihak polis serta bagi menghormati keluarga mangsa.



Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya dan HPP akan memberi sepenuh kerjasama kepada PDRM dalam siasatan selanjutnya.

Sementara itu, KKM serta Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dituntut memberi penjelasan berhubung kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata, pihak berkuasa kesihatan perlu menyiasat secara menyeluruh kejadian itu memandangkan insiden berkenaan adalah yang kedua membabitkan seorang doktor pelatih dalam tempoh kurang dua tahun.

Katanya, beliau sendiri pernah membangkitkan isu waktu kerja tidak berperikemanusiaan yang tidak logik dihadapi doktor pelatih berdasarkan pengalaman keluarganya sendiri, yang tidak pernah berlaku dalam kalangan pekerja sektor lain.



“Namun maklum balas yang saya dapat daripada pihak berkuasa kesihatan termasuk ahli politik adalah semua doktor perlu melaluinya. Ia seperti budaya yang diterima dalam profesion perubatan,” katanya melalui Facebook.

Norlela berkata, dia dimaklumkan isu beban kerja berlebihan berlaku disebabkan kekurangan tenaga kerja.

Bagaimanapun beliau menegaskan, ramai graduan perubatan perlu menunggu lama untuk mendapatkan pekerjaan, malah ada yang tidak mendapatnya.

“Adalah tidak logik untuk KKM membenarkan perkara ini berterusan memandangkan doktor perlu membuat keputusan ‘hidup mati’ apabila merawat pesakit dalam situasi yang mereka hadapi,” katanya.



Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong pula berpendapat, ia bukan masanya untuk ‘merahsiakan’ mengenai kejadian itu berikutan tahap tekanan tinggi dan ‘buli’ membabitkan doktor muda pernah juga didedahkan pihak media.

“Kami memahami tekanan dihadapi golongan perubatan, tetapi kementerian mesti mempunyai strategi pengurusan lebih baik.

“Jangan biarkan hospital kita menjadi tempat di mana semua doktor muda gugur. Doktor menjaga kita dan sebagai ganti, kita juga mesti menjaga mereka,” katanya melalui Facebook.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, yang mengesahkan kematian pelatih itu, tidak menolak kemungkinan kes diklasifikasikan semula sekiranya ada bukti terkini. HM



JKN tunggu keputusan ujian makmal kes doktor pelatih maut


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Drama Raya PETRONAS 366 gambaran ketabahan rakyat Malaysia (Video)



Dituduh memondan, Aliff Syukri nak saman pula

Berjuta tonton, saya akan buat konsert pula – Aliff Syukri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker