Dulu terbang di awan biru, kini ‘streamer’ permainan video

Seerah mempunyai 30,000 pengikut di Facebook. (Gambar Seerah)

Ramai mempunyai hobi namun, tidak ramai yang berani menjadikan ia sebagai kerjaya atau sumber pendapatan.

Jika berjaya, individu itu boleh dikatakan agak bertuah kerana boleh mencurahkan sepenuh minat terhadap apa yang mereka sukai.

Seorang bekas pramugari, Kartika Asirah Mahir, 28, adalah insan yang bertuah kerana dia bukan saja dapat melakukan perkara yang diminatinya, iaitu bermain permainan video malah turut menjana pendapatan untuk membantu suami.

Kartika yang lebih mesra dipanggil sebagai Seerah sebelum ini pernah bertugas di syarikat penerbangan di Arab Saudi kira-kira dua tahun namun, membuat keputusan meninggalkan kerjaya profesional di awan biru itu.

Menurutnya, faktor utama dia berbuat demikian adalah kerana terlalu rindukan Malaysia selain inginkan kehidupan yang lebih seimbang antara keluarga dan kerjaya.

China dan kemerosotan kuasa Amerika Syarikat

Seerah ketika bertugas sebagai pramugari di syarikat penerbangan Arab Saudi. (Gambar Seerah)

“Ketika bertugas di Arab Saudi, saya terlalu rindukan Malaysia selain jadual kerja yang tidak tentu masa. Ini menyebabkan saya lebih rela tinggalkan semuanya dan kembali ke tanah air.

“Pada masa sama, saya mempunyai hobi yang dilakukan sejak kecil iaitu bermain permainan video. Abang juga memberi pengaruh terhadap minat ini ketika mereka bermain permainan konsol Playstation,” katanya.

Selepas meninggalkan profesion lamanya, dia hanya menjadi suri rumah sepenuh masa yang memberi kelebihan kepada Seerah untuk menumpukan perhatian terhadap suami, Kamin Tohari Samadran, 28, dan anak lelaki mereka yang berusia setahun lima bulan, Khalish Tohari.

Ketika itu juga, bidang penstriman permainan video di platform seperti Facebook dikatakan semakin berkembang apabila ramai yang mencuba-cuba menjadi ‘streamer’ terutama ketika perintah Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan tahun lalu.

Ramai anak muda kelihatan bersemangat kerana ia bukan lagi dianggap sekadar bermain permainan video atau membuang masa tetapi dijadikan sebagai sumber pendapatan.

Gempar jumpa mayat di taman permainan kanak-kanak

Bagi Seerah ia juga seakan kebetulan apabila bidang itu selari dengan minatnya selain memberi ruang yang fleksibel terhadap kehidupannya.

Dia juga, sejak PKP lalu mula berjinak-jinak menjadi seorang ‘streamer’ permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM) untuk menjana pendapatan.

“Pada masa itu, saya mendapat tahu kewujudan bidang penstriman ini yang memang kena dengan minat suka bermain permainan video.

“Memandangkan saya kini suri rumah sepenuh masa, ia memberi peluang untuk melakukan sesuatu dari rumah sambil menjana pendapatan secara online,” katanya.

Usaha keras yang dilakukan sejak setahun lalu kini membuahkan hasil apabila dia sering menerima sumbangan ‘stars’ atau bintang daripada penonton serta pengikutnya di laman Facebook.

Permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM) adalah permainan popular pilihan Seerah. (Gambar Seerah)

Dia kini mempunyai seramai 30,000 followers atau pengikut di laman Facebook terbabit.

Bagaimana pun, ia bukannya jalan yang mudah untuk sesiapa saja yang menceburi bidang penstriman kerana ia memerlukan konsistensi serta kerajinan yang tinggi sebelum mencapai sesuatu tahap ditetapkan oleh penyedia platform itu.

“Antara pengalaman lucu ketika mula-mula strim dulu, saya hanya mempunyai satu hingga dua orang penonton saja. Saya juga hanya ‘share’ atau kongsi strim sendiri sehingga disekat oleh Facebook.

“Saya juga kerap membaca komen penonton berulang-ulang kali kerana tiada komen lain untuk dibaca,” ujarnya tertawa.

Menurut Seerah, dia tidak menafikan terdapat pelbagai cabaran lain yang perlu dihadapi antaranya komen negatif daripada pengguna.

Remaja 13 tahun tembak mati adik

“Kadangkala ia boleh menimbulkan rasa tertekan apabila ada di antara pengguna meninggalkan komen berbaur negatif. Saya hanya perlu menyekat akaun mereka saja,” katanya.

Walaupun begitu, Seerah berkata, dunia penstriman itu sebenarnya sesuai untuk semua golongan dan usia kerana bermain permainan video adalah satu hobi disukai ramai.

Katanya, ada juga yang menceburinya kerana terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 selain terdapat juga beberapa kenalan daripada bidang penerbangan melakukannya.

“Bidang strim ini sesuai untuk semua orang, asalkan mereka mempunyai minat mendalam terhadap permainan video dan pandai menghiburkan penonton.

Seerah mendapat sokongan kuat daripada suami dan keluarga yang faham dengan minatnya itu. (Gambar Seerah)

“Suami saya orang paling kuat memberi sokongan dan banyak membantu membeli kelengkapan penstriman. Saya membeli kelengkapan sedikit demi sedikit yang dianggarkan sekitar RM7,000. Dia juga memberi idea kepada saya untuk strim.

“Keluarga pula sedar minat saya dan menyokong penuh serta bangga dengan pencapaian setakat ini,” katanya.

Seerah berkata, dia akan terus melakukan minatnya itu selagi ada sokongan daripada pengikut.

“Kerja yang saya lakukan sekarang ini tidak rasa seperti satu kerjaya kerana ia adalah hobi. Saya akan lakukannya selagi ada sokongan semua.

“Lagipun bidang ini sedang berkembang baik di Malaysia dan ramai juga yang mula menceburinya, tidak kira lelaki mahu pun wanita,” katanya yang mempunyai jadual strim pada jam 8 hingga 11 malam.

[VIDEO] Dahsyat!! Senyum Sampai Ke Telinga, Zizan Razak Beli 2 PlayStation 5 Sekaligus!

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker