Genting SkyWorlds dibuka 8 Februari, tiket RM189

Taman Tema Genting SkyWorlds, taman tema Asia Tenggara yang paling dinanti-nantikan bakal dibuka pada 8 Februari ini.

Tiket akan dijual melalui Laman Web Genting SkyWorlds – gentingskyworlds.com – dan Aplikasi Genting SkyWorlds bermula jam 10 pagi pada 4 Februari 2022.

Sempena pembukaan pra-pelancaran itu, Genting SkyWorlds akan menawarkan diskaun 20 peratus ke atas harga tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari sehingga 31 Mac 2022.

Semasa tempoh pembukaan pra-pelancaran, akses Virtual Queue (VQ) dan Photo+ percuma akan disediakan, yang mana pengunjung boleh memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had.

Harga tiket penuh bagi tiket standard berharga RM189; kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110 cm dan warga emas/orang kelainan upaya (OKU) berharga RM161 dan percuma bagi kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90 cm.

Sementara harga tiket selepas diskaun pra-pembukaan sebanyak 20 peratus ialah RM151 bagi tiket standard dan RM128 bagi kanak-kanak ketinggian 90cm ke 110 cm dan warga emas/OKU.

“Kami sudah bersedia untuk akhirnya menunjukkan taman tema kami kepada dunia, dengan pembukaan pra-pelancaran kami menjelang 8 Februari 2022. Dibina dengan nilai pelaburan melebihi AS$800 juta, tarikan bertema baharu ini bakal melonjakkan nama Pahang dan Malaysia di persada pelancongan dunia.

“Pembukaan taman tema ini akan turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan kewujudan ribuan peluang pekerjaan,” kata Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit katanya dalam kenyataan.

Selepas membeli tiket secara dalam talian, pengunjung digalakkan untuk memuat turun aplikasi Taman Tema Genting SkyWorlds yang tersedia dengan percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.

Aplikasi itu bukan saja akan memberi panduan yang komprehensif dengan maklumat masa nyata berkenaan Genting SkyWorlds, malah ia juga membolehkan pengunjung untuk mengemudi dan melawat taman secara maya agar mereka dapat merancang aktiviti yang mereka minati terlebih dulu, serta mencari arah dan jalan untuk ke destinasi mereka.

Antara ciri-ciri aplikasi itu ialah, masa menunggu akan dipaparkan di aplikasi itu dan pengunjung boleh merancang masa mereka untuk permainan, tarikan dan persembahan yang tersedia pada hari itu; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mendapatkan maklumat tempat-tempat makan, membeli-belah, permainan, serta perkhidmatan Photo+ yang canggih.

“Buat pertama kalinya di Asia Tenggara, aplikasi ini juga telah diintegrasikan dengan teknologi Virtual Queue (VQ), satu ciri pintar yang mampu mengurangkan masa menunggu yang lama dalam barisan fizikal dengan memberikan kebebasan kepada para pengunjung untuk melakukan aktiviti pilihan mereka dan pada masa yang mereka boleh memilih sendiri. Pemegang tiket berkumpulan juga boleh masuk secara berkumpulan sekiranya mereka menggunakan aplikasi Genting SkyWorlds VQ.

“Aplikasi ini turut membolehkan pemegang tiket melihat cadangan aktiviti berdasarkan pilihan peribadi mereka, dan menerima notifikasi secara masa nyata untuk tempahan tarikan, ketersediaan, dan hiburan menarik,” kata Ketua Operasi Taman Tema, Resorts World Genting, Greg Pearn.

Mengulas lanjut, Greg Pearn berkata, dalam tempoh pra-pelancaran itu, Genting SkyWorlds akan menawarkan diskaun 20 peratus ke atas harga tiket, sementara sesetengah tarikan masih di bawah proses pentauliahan dan tidak tersedia untuk menerima pengunjung.

Beliau berkata, usaha membuka taman tema di masa pandemik adalah sesuatu yang amat mencabar, dan walaupun segala usaha telah dilakukan untuk memastikan setiap tarikan dapat dibuka, masih terdapat sebahagian kecil tarikan yang memerlukan masa yang lebih lama untuk disiapkan.

“Walau bagaimanapun, pasukan kami sedang bekerja keras untuk memastikan tarikan-tarikan ini dapat dibuka di masa terdekat,” katanya.

Dengan keluasan 10.4 hektar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Group (IBG) dalam nota penyelidikannya berkata, Genting SkyWorlds yang diuruskan Genting Malaysia dijangka menarik tiga juta pengunjung dan purata perbelanjaan setiap pengunjung RM200.

Ia dijangka mampu menjadi taman tema kedua terbesar di Asia Tenggara dari jumlah pengunjung selepas Universal Studio Singapore yang dianggarkan menerima sehingga lebih 4.0 juta pelawat setahun.

Maybank IBG berkata, berdasarkan semakan salurannya memberitahu bahawa Genting SkyWorlds berjumlah RM3.3 bilion akan dibuka antara pertengahan dan hujung Februari 2022.

Ia berkata, taman tema itu terletak di kawasan seluas 10.4 hektar dan akan menawarkan 26 tarikan merentasi sembilan zon.

“Walaupun laman webnya menyenaraikan 19 tarikan, 13 tersedia untuk pratonton. Genting SkyWorlds akan buka lagi tarikan secara progresif. Kapasiti Genting SkyWorlds ialah 20,000 pelawat setiap hari tetapi akan dibuka pada kapasiti 50 peratus.

“Kebanyakan papan tanda di Genting SkyWorlds juga dalam bahasa Cina ringkas untuk memenuhi pelancong Tanah Besar China dalam jangka masa panjang,” katanya.

Maybank IBG menjangkakan Genting SkyWorlds akan memacu pertumbuhan ketibaan pengunjung Resorts World Genting (RWG) dan Genting Malaysia juga menjangkakan Genting SkyWorlds akan memacu ketibaan pengunjung RWG kepada 30 juta dalam jangka panjang.

Namun, bagi bank pelaburan itu, ia menjangkakan ketibaan pelawat sekitar 26-27 juta setahun berbanding paras tinggi pra-pandemik sekitar 24 juta.

“Walaupun kami jangka Genting SkyWorlds akan menjana kerugian kepada susut nilai yang tinggi, kami yakin ia akan menarik orang ramai dan positif bersih untuk Genting Malaysia.

“Kami kekalkan unjuran kami dengan panggilan ‘BELI’ dan harga sasaran (TP) RM3.38 bagi Genting Malaysia,” katanya. BH

Genting SkyWorlds dibuka 8 Februari, tiket RM189


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Pelakon Mak Wan Latah Menikah Lagi, Kali Ini Pindah Ikut Suami Ke Kuala Pilah

Luna Maya Terkedu Ditanya Soalan Panas, “Awak Pernah Buat Jahat Dalam Kereta Tak?

Pak Nil bertemu jodoh?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker