Analogi Nabi dan bau kasturi
Analogi Nabi dan bau kasturi
oleh Mohd Rizal
Baginda Rasulullah SAW merupakan ‘mahaguru agung’ yang cekap dan berkesan dalam menyampaikan sesuatu pendidikan buat umatnya. Andai kita rajin mengkaji sirah, maka pastinya akan ditemui pelbagai kaedah dan pedagogi pengajaran yang digunapakai dalam menyampaikan sesuatu didikan.
Antara pedagogi atau pendekatan berkesan yang Baginda telah aplikasikan ialah menerusi penggunaan analogi atau perbandingan. Begitulah juga semasa Baginda ingin memberitahu atau menyampaikan sesuatu perkara yang berkaitan dengan ibadah puasa di bulan Ramadan, maka Baginda pernah menggunakan analogi yang cukup berkesan dan menjadi ingatan dan hafalan pada diri umatnya sepanjang zaman.
Misalnya dalam hadis berikut ini jelas menunjukkan betapa bijaknya Rasulullah SAW dalam menyampaikan pengajaran. Al-Harith al-Asy’ari memberitahu bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Aku memastikan kamu untuk berpuasa kerana sesungguhnya perumpamaan bagi orang berpuasa itu adalah seperti seorang lelaki yang membawa satu bekas yang terdapat kasturi di dalamnya dan dia berada di dalam satu kelompok manusia, maka mereka itu berasa amat terpesona dengan wangian tersebut, (begitu juga) sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangian kasturi.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, dan At-Tirmizi)
Analogi Nabi SAW itu sebenarnya satu motivasi tinggi buat Mukmin yang berpuasa dan ia juga merupakan lambang kemuliaan darjat. Jadi kehadiran Ramadan yang barakah ini sesungguhnya satu anugerah Allah yang tidak ternilai buat umat Nabi Muhammad SAW. Setiap perbuatan baik selain berpuasa menahan lapar dan dahaga, akan digandakan ganjaran pahalanya di sisi Allah.
Muawiyah bin Hukm as-Salimi pernah mengungkapkan kehebatan Rasulullah SAW dalam memilih kaedah atau pedagogi penyampaian pengajarannya. Kata beliau: “Saya tidak pernah melihat seorang ‘pendidik’ yang cara penyampaiannya lebih baik daripada Rasulullah SAW, baik semasa sebelum (mengajar) mahupun semasa sesudahnya Baginda mengajar.” (Diriwayat oleh Muslim, Abu Daud, An-Nasai dan Syaibani)
Insya-Allah Mukmin yang berpuasa Ramadan akan memperoleh ganjaran pahala besar di sisi Allah selagimana dia menuruti segala adab berpuasa yang ditetap syarak. Usahlah mengaku berpuasa, sedangkan lidah masih laju mengeluarkan umpat keji dan menabur kata-kata kesat. Sahabat Nabi SAW, Abu Said al-Khudri melaporkan bahawa Baginda pernah menegaskan: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, tahu batasan-batasannya dan menjaga diri daripada sesuatu yang mesti dijaga daripadanya, akan diampunkan dosanya yang sebelumnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi)
Sudah tentu kita begitu teruja dan penuh bersemangat untuk menunaikan perintah Allah, berpuasa di bulan Ramadan ini kerana sedar dan faham apa yang pernah diungkap oleh seorang sahabat Rasulullah SAW, Salman al-Farisi, seorang yang menjadi ‘pakar strategi perang ‘semasa peperangan Khandak dulu. Kata sahabat Nabi SAW itu: “Adalah bulan Ramadan itu, awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah maghfirah dan pada penghujungnya merupakan pembebasan dari api neraka.”
Pastinya juga kita menginsafi apa yang pernah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW kepada umatnya yang berpuasa, tetapi tidak mengikut tatalaku dan adab berpuasa yang sebenar. Rasulullah SAW bersabda: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun dia tidak mendapatkan dari puasanya itu, selain lapar dan dahaga. Sebab puasa itu bukanlah semata-mata menahan lapar dan dahaga, akan tetapi adalah menahan hawa nafsu. Boleh jadi orang tersebut berdusta, memfitnah dan memandang dengan syahwat sehingga yang demikian itu membatalkan hakikat puasa.” (Hadis yang dipetik oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin)
Sesungguhnya Ramadan adalah bulan yang mengajak kita untuk mempersiapkan hati, akal minda dan fizikal ke arah yang lebih cemerlang dan berdaya dinamik. Hati, kita persiapakannya untuk menggagahkan diri dengan banyak beribadah seperti solat, berzikir, bertadarus dan sebagainya. Manakala persiapan akal minda mungkin kita arahkannya untuk sentiasa memikirkan sesuatu yang membawa kita insaf akan kebesaran Allah. Malah dengan minda dan akal juga mungkin semasa bulan Ramadan kita tidak ‘sekencang’ dahulu dalam mencoretkan sesuatu dalam alam maya yang mungkin boleh merencatkan hakikat ibadah puasa kita.
Meskipun Baginda Rasulullah SAW sudah memberikan satu analogi dalam pedagoginya berkenaan tingginya martabat orang berpuasa yang diibarat bau kasturi, namun ia tetap tertakluk pada prasyarat yang ditetap. Mana mungkin bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah sekiranya mulut seseorang sering bertutur kata yang keji. Mana mungkin bau mulut si pelaku ibadah puasa lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah, seandainya mulut semasa berpuasa masih seperti orang ‘tidak berpuasa’.
Apapun, jadikan takdir Allah yang mengizinkan diri kita dapat sekali lagi mengecapi nikmat berpuasa di bulan Ramadan ini sebagai bulan kesyukuran. Syukur dapat berpuasa lagi. Bersyukur kerana dapat menunaikan solat Tarawih lagi, dan jangan lupa apabila semua itu kita syukuri, maka berzakat fitrahlah. Itu kemuncak rasa syukur atas nikmat Allah kerana kita dapat berpuasa lagi!
Bulan inilah perlunya kita manfaatkan sepenuhnya dengan berperwatakan Mukmin sebenar yang jitu iman dan utuh ketakwaan kepada Allah. Bukan sahaja Ramadan itu sarat dengan ganjaran pahala, akan tetapi ia juga bulan yang doa mereka berpuasa sangat mustajab. Ini dikhabarkan sendiri oleh Rasulullah SAW sebagaimana dalam sabda ini yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi. Sabda Baginda SAW: “Tiga orang tidak tertolak doanya, orang yang berpuasa hingga berbuka, imam yang adil dan doa orang yang dizalimi.”
Ingatlah bahawa ibadah puasa itu adalah ‘persembahan’ kita untuk Allah. Justeru, apakah kita mahu menjadikan persembahan atau hadiah kita itu lekeh dan buruk rupanya? Tentu tidak kan? Jadi, pergandakanlah usaha untuk menjadikan puasa kita kali yang terbaik sebagai ‘hadiah terbaik’ untuk Allah.
Maka, ‘dakaplah’ Ramadan kali ini dengan berbuat amalan yang terbaik kerana mungkin, mana tahu Ramadan ini menjadi ‘Ramadan terakhir’ untuk kita… HM
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Muadzam Shah
Analogi Nabi dan bau kasturi
Baca Artikel Menarik:
- Resepi Nasi Hujan Panas Sedap Sangat
- Kerajaan Umum Bantuan Khas Aidilfitri RM500 Kepada Penjawat Awam, RM250 Buat Pesara
- Kim Yo-Jong beri amaran keras kepada Korea Selatan
- Resepi daging paprik merecik
- Putin guna ‘kembar’ untuk tujuan keselamatan
- Isham guna pantun pujuk Rafizi berdebat
- Najib tidak beri kelulusan – Saksi
- Tiada siasatan baharu terhadap Mahathir seperti didakwa
- Resepi udang masak diraja viral
- Perogol bersiri dipenjara 650 tahun
- Aksi ‘seksi’ Iqram Dinzly ditegur Pensyarah USIM
- Tiga beradik bernama Lamborghini, Celica, Ferrari
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.