Ayam segar harga kayangan

Ayam segar harga kayangan

Johor Bahru: Harga ayam segar di bandar raya ini naik kepada RM10 sekilogram bermula semalam, sekali gus dijual melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram.

Tinjauan pasar basah utama di Pandan dan Larkin, di sini, mendapati mendapati kebanyakan penjual tidak mematuhi harga siling ditetapkan kerajaan dan menjualnya antara RM9.50 hingga RM10 iaitu antara 60 sen hingga RM1.10 sen lebih tinggi.



Walaupun harga ayam semakin mahal, pengguna dilihat berebut membeli bahan makanan itu berikutan stok ayam segar yang dijual tidak banyak walaupun belum sampai waktu tengah hari.

Peniaga ayam, Hafizul Mohamad, 40, berkata peniaga bahan mentah itu kini semakin tersepit, berikutan menerima ayam segar pada harga yang tinggi iaitu RM8.60 sekilogram daripada pembekal.

Katanya, ia menyebabkan kebanyakan peniaga di bandar raya ini tidak dapat mematuhi harga siling ayam segar yang ditetapkan kerajaan.

“Peniaga menerima harga ayam segar RM8.60 sekilogram yang merangkumi kos pengangkutan sebanyak RM1 setiap kilogram. Peniaga terpaksa membayar kos pengangkutan sejak kerajaan menguatkuasakan harga kawalan ayam 5 Februari lalu, sedangkan sebelum ini kami tidak dikenakan kos pengangkutan.



“Bagaimana peniaga nak jual ayam segar pada harga RM8.90 sekilo mengikut harga kawalan, sedangkan harga ayam sampai pun sudah RM8.60.

“Kami peniaga ayam makin tersepit kerana sudahlah stok ayam segar kini semakin terhad dan tidak cukup, malah harga ayam diterima daripada pembekal pun sudah tinggi menyebabkan peniaga tidak balik modal kerana perlu membayar sewa premis, bil utiliti selain gaji pekerja.

“Jika dulu setiap kali Ramadan peniaga dapat jual sehingga 500 ekor ayam sehari, namun kini stok ayam tidak cukup dan semakin berkurangan. Pembekal kini ‘mencatu’ bekalan ayam kepada peniaga menyebabkan kami hanya menerima separuh daripada pesanan yang dibuat. Seperti saya contohnya, saya pesan 500 ekor ayam namun hanya diberi 200 ekor,” katanya ketika ditemui.

Pada 5 Februari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram di Semenanjung Malaysia.



Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, harga itu akan dikuatkuasa mulai 5 Februari sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari, bagi menjamin kestabilan harga ayam dan makanan yang berkaitan harga mentah itu.

Sementara itu, pengguna yang ditemui turut melahirkan rasa kecewa dengan harga ayam yang mahal selain stoknya yang berkurangan.

Penjawat awam, Fairuz Talib, 34, berkata beliau terkejut apabila mendapati harga ayam segar naik mendadak kepada RM10 sekilogram.

“Saya sebenarnya dari Kuala Lumpur dan pulang ke kampung bercuti awal Ramadan. Di Kuala Lumpur harga ayam rasanya tak pernah mencecah lebih RM9 sekilogram, jadi saya sangat terkejut bila beli ayam tadi harganya RM10 sekilogram sehingga saya tanya beberapa kali kepada penjual.



“Kenaikan harga ayam yang mendadak ketika Ramadan ini amat tidak munasabah dan membebankan rakyat. Kenapa harga ayam dinaikkan ketika Ramadan pada masa ia menjadi bahan masakan utama umat Islam,” katanya.

Pesara kerajaan, Manan Abd Hamid,76, berkata stok ayam juga dilihat semakin sedikit dan hampir habis ketika beliau sampai ke pasar kira-kira jam 12 tengah hari.

“Peniaga dakwa pembekal beri stok ayam dalam jumlah sedikit dan harganya pula mahal menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga.

“Namun harganya yang naik sehingga RM10 itu sangat membebankan apatah lagi inilah makanan utama rakyat,” katanya. HM



Ayam segar harga kayangan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bersatu cari rakan lain kerana tak yakin dengan kekuatan PAS



Buffet Ramadhan Kuala Lumpur Selangor 2022 (TERKINI)

Resepi ayam menangis meraung, kecur air liur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker