Omicron mula ganti Delta sebagai varian utama

Omicron mula ganti Delta sebagai varian utama

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Omicron sudah mula menggantikan Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan kajian dan survelan genomik berterusan yang dijalankan pihaknya selain beberapa institusi dan pusat kajian universiti dalam negara.

Antaranya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM), Integrative Pharmacogenomics Institute di Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM), Tropical Infectious Diseases Research and Education Centre (TIDREC-UM), Malaysia Genome and Vaccine Institute (MGVI), Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS), Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di KKM.

“Untuk makluman varian yang dibimbangi (VOC) Omicron terbahagi kepada tiga sub-keturunan iaitu BA.1, BA.1.1, dan BA.2, namun sehingga 20 Mac 2022 belum ada laporan mengenai kewujudan satu lagi sub-keturunan iaitu BA.3 di Malaysia.

“Kebimbangan terhadap sub-keturunan BA.2 kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi lebih tinggi berbanding sub-keturunan Omicron lain serta varian Delta.

“Antara tiga sub-keturunan varian Omicron yang menular, jumlah pelaporan sub-keturunan BA.1.1 dan BA.2 dilihat semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sub-keturunan Omicron BA.1.1 meningkat daripada 38.3 peratus pada Januari lalu kepada 48.7 peratus pada Februari, namun menurun kepada 40.0 peratus bulan ini.

Katanya, bagi tempoh sama iaitu pada 1 hingga 17 Mac lalu, didapati varian Omicron BA.2 meningkat kepada 27.1 peratus berbanding pada Januari dan Februari, di mana pelaporan untuk varian Omicron sub-keturunan BA.2 hanyalah masing-masing 0.9 peratus dan 2.7 peratus.

“Kenaikan mendadak sub-keturunan BA.2 ini satu perkara yang perlu diambil perhatian. Namun situasi sama dilihat di beberapa negara seperti Denmark, India dan Nepal yang sudah melaporkan varian utama virus SAR-CoV2 yang menular di negara mereka adalah varian sub-keturunan Omicron BA.2.

“KKM menjangkakan besar kemungkinan varian Omicron sub-keturunan BA.2 kelak akan menjadi varian dominan di Malaysia,” katanya.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, penduduk Malaysia perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2 dan pada masa sama berwaspada kepada penularan berpanjangan varian Delta yang diketahui berupaya mengakibatkan jangkitan lebih serius terutama dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima vaksin dos penggalak.

Katanya, antibodi meneutralkan (NAb) adalah antibodi yang bertanggungjawab mempertahankan sel daripada organisma yang menyebabkan penyakit iaitu terbentuk sama ada melalui vaksinasi atau tindak balas tubuh terhadap jangkitan terdahulu.

“Dapatan kajian oleh Jingyou Yu et.al, 2022 menyarankan bahawa vaksin dos penggalak adalah disyorkan untuk meningkatkan tahap NAb lebih tinggi dan konsisten terhadap BA.1 atau BA.2.

“Ia berfungsi untuk melindungi mereka yang dijangkiti sub-keturunan varian Omicron daripada kesan yang serius serta mengelakkan kemasukan ke hospital atau ke ICU,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini 65.7 peratus populasi dewasa sudah menerima dos penggalak dan hanya 35.3 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan divaksin COVID-19.

Katanya, pengambilan vaksin COVID-19 terutama dos penggalak kepada warga emas dan kanak-kanak amat penting bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk COVID-19 yang boleh membawa maut dan juga sebagai persediaan apabila negara memulakan Fasa Peralihan Endemik pada 1 April ini.

“Ibu bapa dan ahli keluarga perlu memainkan peranan penting serta bertindak secara proaktif meyakinkan golongan rentan ini untuk menerima vaksinasi dan dos penggalak COVID-19.

“Ia boleh dilakukan dengan menunjukkan fakta sahih dan tepat berkaitan kepentingan vaksin dan dos penggalak demi keselamatan dan kesihatan mereka,” katanya. BH

Omicron mula ganti Delta sebagai varian utama


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


TERKINI: Komando GGK patahkan cubaan ‘pengganas’ tawan stesen MRT Cheras

Finalis Ratu Cantik Dikritik Kerana Posting Rasis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker