Pendirian Kementerian Pendidikan bercanggah Perlembagaan

PUTRAJAYA: Keengganan Kementerian Pendidikan membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan bangunan sekolah menengah sebagai pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, di bawah Perkara 115(1) dan (2) jelas menetapkan supaya agensi-agensi kerajaan, kementerian atau jabatan, perlu menghulurkan bantuan kepada SPR dalam memastikan proses demokrasi berjalan lancar untuk rakyat memilih wakil dan kerajaan.

Beliau berkata, keputusan kementerian berkenaan melarang penggunaan sekolah menengah di Johor atas alasan mengganggu persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pertama kali berlaku dalam sejarah pengurusan proses pilihan raya di negara ini.

“Tidak pernah berlaku sebelum ini selama mana SPR melaksanakan urusan pilihan raya sejak merdeka melalui pelaksanaan 14 kali pilihan raya umum (PRU) dan lebih 400 pilihan raya kecil diadakan.

“Selain bercanggah dengan ketetapan peruntukan Perlembagaan, keputusan Kementerian Pendidikan tidak adil kepada SPR dan jika tidak dibincangkan semula, ia pasti akan memberi masalah besar kepada SPR untuk kelancaran proses pengundian pada 12 Mac ini.

“Ini kerana PRN Johor melibatkan lebih 2.5 juta pengundi yang akan terlibat dan mereka akan keluar mengundi hanya pada satu hari tarikh tersebut,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, sehingga sekarang nama-nama pengundi telah selesai dicetak mengikut senarai pusat-pusat mengundi yang telah diwartakan termasuk pusat-pusat mengundi di semua sekolah menengah yang dikenal pasti dan diwartakan.

Justeru, katanya, proses menyusun semula pusat mengundi bakal menimbulkan situasi kelam kabut kepada para pengundi apabila mereka memperoleh saat-saat akhir lokasi pusat-pusat mengundi yang ditetapkan dan diwartakan sebelum ini jika ia ditukar ke tempat lain.

Katanya, ia tentunya memberi masalah besar kepada SPR untuk menggantikan pusat-pusat pengundian itu dan bukan satu perkara mudah untuk mencari tempat dijadikan pusat-pusat mengundi lain.

“Ini melibatkan aspek-aspek keselamatan kawasan, dokumen-dokumen, kertas dan peti undi, selain aspek kawalan ketenteraman awam di mana melibatkan garis kawasan-kawasan larangan mengikut yang ditetapkan di bawah peraturan-peraturan pilihan raya.

“KPM perlu melihat pelbagai masalah yang akan dihadapi SPR agar proses dan perjalanan PRN tidak tergugat. Saya tidak rasa penggunaan beberapa bilik darjah (dalam satu blok bangunan sama) sebagai bilik saluran tempat mengundi pada hari Sabtu boleh mengganggu gugat persiapan bilik untuk tujuan peperiksaan,” katanya.

Beliau memberitahu, pertimbangan lain boleh dilihat kerana tempoh peperiksaan berlaku dari Isnin hingga Khamis, manakala hari Jumaat adalah cuti hari minggu di Johor manakala hari pengundian yang diwartakan pada hari Sabtu diyakini tidak akan tergendala.

Justeru, katanya, adalah amat wajar Menteri Pendidikan memikir sedalam-dalamnya dari pelbagai sudut sebelum bertindak menghalang SPR menggunakan sekolah menengah yang diwartakan itu sebagai pusat-pusat mengundi pada 12 Mac ini.

“Apa yang paling merumitkan SPR untuk mengurus rakyat keluar mengundi ialah Buku Daftar Pemilih untuk kegunaan pada hari mengundi semua telah dicetak mengikut pusat-pusat mengundi di sekolah menengah berkenaan yang telah diwartakan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin menegaskan, kementeriannya tetap dengan pendirian supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi PRN kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan SPM yang telah disusun atur, ‘diganggu gugat’.

Ini kerana katanya, pelajar yang menduduki peperiksaan itu adalah kohort SPM yang paling terkesan akibat Covid-19 selain mengambil kira setiap meja dalam bilik peperiksaan telah disediakan dengan kod bar dan disusun mengikut indeks lengkap dan teratur,

Oleh itu, sebarang perubahan mengenainya akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan. –UTUSAN ONLINE

Pendirian Kementerian Pendidikan bercanggah Perlembagaan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Penyanyi Tersohor Negara Datuk Sheila Majid Sambut Menantu Sulung [VIDEO]

Doktor ‘cabut lari’ selepas pelanggan sukar buka rahang

Sanusi serang UMNO setiap hari

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker