PAS pandai mencari sahabat, musuh

PAS pandai mencari sahabat, musuh

Oleh Imlan Adabi

Belum pun penamaan calon untuk mengisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berlaku, sudah ada bermacam-macam bidalan dan kata-kata ‘hikmat’ daripada tokoh bergelar ulama muncul.

Selain menuduh Umno seperti itik patah kaki selepas kalah teruk Pilihan Raya Umum pada 8 Mei 2018, dia juga memberi amaran kepada ahli parti supaya tidak tergoda untuk mengubah hala tuju atau akan disambar jerung.

Ungkapan ulama PAS itu memang tidak pelik kerana dulu dia juga yang mengeluarkan ‘amanat’ sehingga menimbulkan polemik di seluruh negara pada dekad 1980-an.

Kesannya, ada orang yang tergamak membuat ‘fatwa’ mengharamkan haiwan sembelihan orang Umno walaupun sama-sama beragama Islam. Ada juga kes dua imam di masjid yang sama, terutama di Kelantan dan Terengganu kerana fahaman politik berbeza.

Apabila isu agama dan kaum dipolitikkan, kesejahteraan awam terjejas. Peristiwa berdarah di Lubuk Merbau dan ketegangan di Memali pada 1980-an boleh dielakkan jika peneraju politik bertindak waras.

Sekadar menyebut katak, jerung, anjing dan berudu bukanlah penyelesaian untuk rakyat terbanyak. Ia cuma mungkin memuaskan hati yang berdendam, atau melegakan orang politik yang terlibat.

Namun itulah PAS dan Umno yang sejak dulu diuji dengan kematangan tetapi nampaknya ia belum dapat dicapai.

Terpaksa berdepan realiti

Dalam PAS sekarang kelihatan ada kumpulan yang masih mahu memanjakan itik yang pernah patah kaki. Pada masa sama ada yang mahu itik kekal berdampingan dan tidak berenang jauh.

Mungkin ia dapat difahami kerana memang hobi PAS adalah bermain di banyak kolam. Adakah PAS sudah lupa bahawa suatu ketika dulu pengaruh parti itu hanya di Pantai Timur dan utara Semenanjung?

Walaupun Umno kini hanya ada 38 kerusi di Dewan Rakyat, potensi parti berkenaan kemungkinan berbeza pada pada PRU akan datang ketika pakatan pembangkang kurang sapakat.

PAS sekarang hanya ada 18 kerusi dan belum ada kepastian ia dapat dipertahankan nanti.

Bersatu yang mempunyai 31 kerusi terpaksa menghadapi realiti semasa yang tidak memihak kepada mereka. Pada PRU ke-14 lalu Bersatu bernasib baik kerana ada Dr Mahathir Mohamad, selain beberapa wakil rakyat Umno yang melompat parti.

Bersatu sekarang kekal tidak jelas hala tujunya.

Sekarang isu kleptokrasi sudah tidak kedengaran lagi. Orang yang disabitkan bersalah – malah dihukum – oleh mahkamah kekal dipuja sebagai seorang bos. Kluster mahkamah yang suatu ketika tersisih kini dijulang wira oleh kebanyakan ahli.

Perseteruan dalaman Umno juga kian ketara. Adakah PAS kekal sekadar bermain dengan label itik dan jerung sahaja?

Hubungan Umno-PAS hari ini bagai retak menanti belah. Pada bila-bila masa saja ia boleh terlerai walaupun kedua-dua parti dipertautkan oleh persamaan matlamat iaitu menggunakan agama dan bangsa untuk mencapai kuasa.

Hari ini pimpinan PAS dalam kerajaan tidak lagi bercakap tentang undang-undang hudud atau ranggi untuk meminda Akta 355 seperti yang berlaku semasa mereka menjadi pembangkang.

Menjalar ke seluruh negara

Sekarang PAS baru tahu bahawa berada dalam kerajaan itu tanggungjawabnya lebih besar. Ia sama sekali tidak sama seperti berlabun di kedai kopi.

Pada usia 71 tahun, PAS mempunyai rekod sebagai parti yang boleh bergabung dan bermusuh dengan sesiapa sahaja asalkan pada akhirnya ia memberi keuntungan buat mereka.

Pada 1972-1973 PAS kerjasama dengan Perikatan atas alasan perpaduan kaum ekoran tragedi 13 Mei 1969. Umno, MCA dan MIC yang dicemoh sebelum itu dianggkat sebagai wira perpaduan kaum.

PAS kemudian selesa membentuk BN (1974-1978) bersama Umno dan pelbagai parti yang kononnya menjana pembangunan negara. Pemimpin kanan PAS dilantik Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah.

Kesempatan itu digunakan PAS untuk membawa ahli parti dari Kelantan ke Pahang, Terengganu, Perak dan Kedah sebagai peneroka Felda. Pengaruh PAS menjalar ke keseluruh negara sehingga mendorong Hussein Onn – walaupun terlambat – merombak potfolio kabinet.

Nasib PAS merudum pada akhir 1977 apabila berlaku rusuhan antikumpulan 20 di Kelantan. PRN yang ‘tergesa-gesa’ menyebabkan PAS hanya mampu memenangi dua daripada 36 kerusi DUN Kelantan.

Umno pimpinan Mohamed Yaacob berkuasa semula di Kelantan dan PAS tersingkir daripada BN pada 1978

Munculnya Angkatan Perpaduan Ummah antara 1990 hingga 1996 menggabungkan PAS dan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Ia berjaya membantu PAS merampas Kelantan pada PRU 1990.

Pimpinan PAS yang sebelumnya lantang menentang DAP akhirnya akur untuk membentuk Barisan Alternatif (1999-2004). Nada dan mantera pimpinan PAS tentang kafir dan taghut tidak kedengaran lagi kerana menjaga kepentingan siasah.

Berlawan-lawan tuduhan

PAS bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat (2008-2015) dengan alasan memperjuangkan keadilan terhadap Anwar Ibrahim yang dikaitkan mangsa penindasan rejim zalim.

Bagaimanapun PAS berubah selera dengan menubuhkan Gagasan Sejahtera (2016-2020) bersama Berjasa dan Hamim yang diikat dengan slogan ‘Politik Matang dan Sejahtera’.

Pada masa sama PAS mula mendekati Umno sehingga penubuhan Muafakat Nasional (sejak 2019) terbentuk. Ia masih wujud sehingga kini. Pada masa sama PAS bersekutu pula dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (sejak 2020)

PAS kini lebih mesra dengan Bersatu walaupun Umno sudah menegur secara terbuka sikap mereka yang bermain banyak kolam dan ada pemimpin parti menganggap parti itu sebagai berudu politik.

Orang PAS pula menuduh UMNO pengkhianat.

Tiga tahun lalu PAS menjulang Umno sebagai rakan muafakat ummah. Dengan perkembangan terbaru akhir-akhir ini tidak mustahil Umno akan dianggap pemecah ummah.

Jika PAS pernah bersahabat akrab dengan DAP – dan PKR – sebelum ini, jangan terperanjat apabila tiba-tiba Hadi Awang membuat tahaluf siasi dengan Lim Guang Eng dan tinggalkan Umno sekali lagi.

“Politik menghalalkan cara,” kata Niccolo Machiavelli. Macam-macam cara sedang dan akan dibuat orang politik. Tiada musuh yang kekal, tiada teman yang setia!

IMLAN ADABI ialah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Wanita dihimpit lelaki tunjuk kemaluan ketika menunggang motosikal [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker