PKR masih mabuk dengan kemenangan PRU-14

SEJAK dua minggu lalu, lensa politik Malaysia tertumpu di selatan tanah air. Walaupun dulu, Johor dikatakan hampir pasti tidak akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) lantaran peringatan tegas Istana, namun skrip politik Johor akhirnya berubah.

Kematian Ahli Dewan Undangan Kempas daripada Bersatu, Datuk Osman Sapian menyebabkan suasana politik Johor mula goyang.

Apabila pemimpin tertinggi UMNO seperti Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beberapa kali naik turun Istana Pasir Pelangi, spekulasi PRN Johor semakin bertiup kencang.



Walaupun pada mulanya dinafikan oleh pemimpin UMNO sendiri dan tidak terkecuali ‘rakan tidur sebantal mimpi lain-lain’ daripada Bersatu dan Pas, PRN Johor akhirnya tidak boleh dielakkan lagi.

Dan sejak dua minggu lalu, parti-parti politik Malaysia masing-masing ligat mencatur strategi.

Dengan UMNO dan BN dalam keyakinan yang begitu tinggi lantaran kapal besar mereka berjaya berlayar gagah pada PRN Melaka, maka skrip sama mahu diulangi di Johor.

BN tidak lagi memerlukan pengundi dan penyokong daripada Pas seperti mana dalam Pilihan Raya Kecil sebelum ini sebagai contoh di Tanjung Piai.



Kemunculan tiga parti dominan dalam pilihan raya memberi kelebihan kepada BN apabila undi kini berpecah kepada tiga penjuru. Dengan jumlah ahli dan penyokong akar umbi yang lebih ramai, BN boleh tersenyum lebar walaupun kapal besar mereka bukan lagi seperti tahun 2018 sehingga 13 parti.

Kedudukan DUN Johor sebelum dibubarkan pada hujung Januari lalu. (Gambar kecil: Sivamurugan)

SKRIP BERULANG

Namun, di pihak Pas dengan formula bersama Bersatu menerusi Perikatan Nasional kurang mempersona rakyat Melaka, timbul kebimbangan situasi yang sama juga bakal berulang di Johor.

Perlu diingat Johor adalah kubu kuat yang juga tempat dimana lahirnya UMNO.



Maka tidak hairanlah, kem Pas kini sedang tegang dengan sebahagian pemimpin mahu parti itu kekal dalam Muafakat Nasional manakala sebahagian lagi masih ingin kekal dalam PN.

Namun, parti yang perlu bangkit dan membuktikan kepada rakyat mereka masih relevan tidak lain dan tidak bukan PKR dan rakannya DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan.

Ramai yang masih tertanya apakah strategi PKR menggunakan logo sendiri manakala DAP dan Amanah pula memakai logo PH sudah mencukupi.

Menurut penganalisis politik merangkap pensyarah Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian, PKR berbuat demikian selepas PH mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan dalam PRN Melaka dan Sarawak, sebelum ini.



Maka katanya, Presiden PKR, Datuk Anwar Ibrahim terpaksa membuat keputusan drastik dengan mengumumkan PKR akan bertanding dengan menggunakan logo sendiri kerana takut parti berkenaan hilang pengaruh dan sokongan pengundi di Johor nanti.

“Namun isunya, semakin ramai mempersoalkan kenapa gabungan pembangkang perlu menggunakan dua logo berbeza dalam PH. Itu kerana sebelum ini Anwar mengajak semua parti pembangkang bergabung bersama di bawah satu khemah besar tetapi pada masa sama partinya bertanding dalam PRN Johor menggunakan logo PKR sendiri.

“Tindakan itu boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong pembangkang seolah-olah pemimpin tertinggi PH kini mula berpecah dan tiada perpaduan dalam gabungan PH,” katanya kepada Sinar Premium.

Semua parti dalam PH termasuk Bersatu ketika itu menggunakan lambang PKR dan kita memperoleh kemenangan besar



Dalam satu temubual Sinar Premium dengan Ketua Penerangan PKR, Datuk Mohd Shamsul Iskandar Mohd Akin, keputusan menggunakan logo PKR pada PRN Johor ada kaitan dengan kemenangan PH pada PRU14.

“Jika kita soroti sejarah PH, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), semua parti dalam koalisi itu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu menggunakan lambang PKR dan kita memperoleh kemenangan besar,” katanya.

Dalam erti kata lain, PKR melihat ramai pengundi lebih selesa dan percaya dengan logo PKR berbanding logo PH.

Adakah benar begitu? Adakah pada tahun 2018 rakyat memenangkan PH sebagai kerajaan kerana logo PKR? Atau ada isu lain yang menyebabkan pengundi tidak memangkah logo dacing sebaliknya memberi undi kepada logo dua bulan sabit?



Adakah faktor tarikan Tun Dr Mahathir Mohamad atau kemarahan rakyat berkaitan isu 1MDB atau kebangkitan anak muda yang keluar mengundi?

Kesimpulannya, banyak faktor lain daripada sekadar logo yang memenangkan PH pada PRU14. Sama ada PKR mahu menerima hakikat itu, atau masih mahu terbuai-buai dengan kemenangan pada tahun 2018, segalanya terletak ditangan pemimpin parti tersebut.

PKR masih mabuk dengan kemenangan PRU-14


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Shahrol Shiro bakal ambil tindakan undang-undang

Jong-un dirakam berjalan tempang [VIDEO]

Pakar tangkap ular kritikal dipatuk tedung selar [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker