Krisis kekurangan bekalan oksigen di India tidak berpenghujung

Seorang pekerja bersiap sedia untuk memuatkan tong oksigen ke dalam trak bagi diedarkan di hospital-hospital Covid-19 di Bangalore pada 5 Mei 2021. – AFP

NEW DELHI – Krisis kekurangan bekalan oksigen untuk pesakit Covid-19 di hospital-hospital di India pada tahun lepas telah memberi amaran kepada dunia terhadap masalah yang kian meruncing dan menyebabkan kematian itu, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.

Meskipun itu bukan kali pertama hospital di India berdepan dengan masalah tersebut, ia menimbulkan persoalan tentang sama ada bekalan akan kekal mencukupi apabila krisis kesihatan utama berlaku lagi.

Pada Mei 2021, hospital-hospital di India melalui tempoh paling sukar ketika kemuncak wabak Covid-19 sehingga menyebabkan masalah kekurangan bekalan oksigen.

Sebilangan hospital meletakkan papan tanda pemberitahuan yang memaklumkan ‘kehabisan bekalan oksigen’, manakala beberapa lagi meminta pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital lain.

Bagi para pemerhati, krisis itu dikaitkan dengan kelemahan perancangan oleh pihak berkuasa, terutamanya kerana ia bukan kali pertama bekalan oksigen menjadi masalah ketika krisis kesihatan di negara itu.

Pada 2017, seramai 70 kanak-kanak meninggal dunia di sebuah hospital kerajaan di negeri Uttar Pradesh disebabkan kekurangan bekalan oksigen apabila pihak pembekal berhenti menghantar bekalan disebabkan tunggakan bil.

Saiz negara India yang besar serta sistem industri penghasilan tong oksigen turut dikenal pasti sebagai faktor utama kepada krisis tersebut.

Hanya sebilangan kecil hospital yang mempunyai kemudahan menghasilkan sendiri bekalan oksigen, manakala selebihnya bergantung kepada bekalan daripada syarikat-syarikat swasta.

Selain itu, kilang-kilang pengeluaran oksigen turut bertumpu di timur India. Ini bermaksud trak kriogenik yang direka khas untuk membawa oksigen cecair perlu menempuh jarak jauh untuk sampai ke pembekal serantau.

Pembekal tersebut seterusnya akan memindahkan gas ke dalam bekas yang lebih kecil untuk dihantar ke hospital-hospital.

Bagi mengatasi masalah tersebut, beberapa langkah telah dilaksanakan, antaranya, kapal tangki tambahan diangkut dari luar negara, kapal tangki yang digunakan untuk membawa argon cecair dan nitrogen ditukar untuk membawa oksigen serta inovasi khas kereta api ‘Oksigen Ekspres’.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi fokus untuk mendapatkan peralatan penting seperti penumpu, ventilator dan kilang-kilang penghasilan oksigen serta melaksanakan langkah-langkah lain bagi mengurangkan kadar bilangan kes serius. – AGENSI


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap

Bila kita tekan butang, dia marah

‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker