Dos penggalak berbeza hasil keberkesanan antibodi lebih tinggi

SHAH ALAM – Pemberian dos penggalak sama ada daripada jenis yang sama (homologus) atau daripada jenis yang berbeza (heterologus) amat disyorkan bagi mengembalikan perlindungan terhadap Covid-19 ke tahap optimum.

Ini kerana imuniti yang terbentuk selepas lengkap dua dos vaksin Covid-19 menurun dalam tempoh tertentu, menambahkan lagi perlunya pengambilan dos penggalak.

Pakar perubatan kesihatan masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh mengakui, dos penggalak heterologus menghasilkan keberkesanan antibodi lebih tinggi daripada vaksin jenis sama.



“Pemberian dos penggalak menggunakan vaksin jenis yang berbeza (heterologus) sudah dikaji keberkesanannya di luar negara dan dalam kebanyakan kes kesan sampingan adalah rendah,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, di Malaysia vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac diberi sebagai dos penggalak Covid-19 bagi individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Setakat 1 Februari, seramai 12,022,117 individu dewasa atau 51.4 peratus daripada populasi golongan itu di negara ini telah menerima suntikan dos penggalak.

Mengulas kesan sampingan yang berlaku akibat reaksi tindak balas sistem imun badan terhadap vaksin yang diterima Dr Sharifa menambah, ia terbahagi kepada dua iaitu kesan ringan dan serius.



Katanya, kesan sampingan ringan termasuklah demam ringan, sakit tangan, kelenjar ketiak sedikit bengkak, cirit birit, pening, lesu , letih, pening dan sakit kepala, adalah paling banyak dialami di mana badan bereaksi terhadap vaksin dan ini adalah baik kerana ia menunjukkan badan menghasilkan antibodi terhadap virus.

“Kesan sampingan berat adalah seperti alergi teruk (badan membengkak, naik ruam, kesukaran bernafas, mata bengkak dan gatal, gangguan jantung, pitam, demam berpanjangan, gangguan haid (selalunya sementara sahaja dan tidak mengganggu fertiliti) serta gangguan saraf Gullain Barre,” katanya.

Gangguan saraf Gullain Barre ini merupakan gangguan saraf autoimun badan terhadap saraf menyebabkan paralisis otot, malah pernafasan dalam kes yang teruk.

Selalunya steroid diperlukan dalam rawatan dan ia bersifat sementara.



Penyakit ini boleh terjadi akibat serangan virus Covid-19 itu sendiri atau selepas vaksin.

Dr Sharifa menjelaskan, kesan sampingan teruk sebenarnya jarang berlaku dan kadar inflamasi miokarditis (otot jantung) atau perikarditis (otot selaput jantung) selepas suntikan vaksin (terutama jenis mRna) dianggar antara 1.6-3.0 di kalangan 100,000 penduduk.

“Dalam kes di mana alergi atau kesan sampingan serius berlaku maka penerima vaksin dinasihatkan mendapat rawatan di hospital.

“Ini juga sebab mengapa penerima suntikan vaksin diminta berehat di pusat vaksin selama 15-30 minit untuk memantau sekiranya terdapat sebarang tanda atau rungutan selepas vaksin yang bersifat akut, manakala kesan sampingan lewat masih boleh berlaku selalunya dalam tempoh enam minggu selepas vaksin.



Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau lebih dikenali sebagai PICK-B bermula pada 13 Oktober 2021. Program ini dijangka melibatkan seramai 23 juta orang di Malaysia.

Dos penggalak berbeza hasil keberkesanan antibodi lebih tinggi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap

Bila kita tekan butang, dia marah



‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker