IPF enggan kerjasama dengan MIC, kekal sokong Umno dan MCA


Parti mesra BN, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) hari ini mengumumkan untuk tidak bekerjasama dengan MIC, yang merupakan parti komponen gabungan itu.

IPF berkata keputusan itu susulan tindakan Presiden MIC SA Vigneswaran yang melabel beberapa parti mesra BN sebagai “pengkhianat”.

Pada masa sama parti itu akan kekal menyokong dua lagi parti komponen BN, iaitu Umno dan MIC, menurut presidennya T Loganathan.

“MIC masih sahabat kami, tetapi IPF tidak akan bekerjasama dengan parti itu. Ini adalah keputusan Majlis Tertinggi IPF pada masa ini.

“Sebarang perubahan berhubung keputusan ini (jika ada) akan dibuat selepas pembubaran parlimen nanti,” katanya dalam sidang media di Wisma IPF, hari ini.

Ketika Perhimpunan Agung Tahunan MIC kali ke-74 awal bulan ini, Vigneswaran dalam ucapannya mendakwa parti itu telah dikhianati beberapa parti mesra BN dalam PRU lalu.

Vigneswaran mempersoalkan pendirian Umno yang masih mengekalkan kerjasama dengan beberapa parti mesra BN yang didakwanya memboikot calon MIC pada PRU lalu.

Susulan itu, Presiden Presiden Parti Makkal Sakthi Malaysia, RS Thanendran berkata partinya sedia menggantikan peranan MIC dalam gabungan BN.

Makkal Sakthi dan IPF dianggap sebagai parti mesra BN, selepas MIC membantah kemasukan mereka sebagai komponen BN.

Loganathan melahirkan rasa kesal dengan pendirian MIC yang menurutnya cuba emusuhi parti-parti mesra BN khususnya yang mewakili masyarakat India.

“Kami sokong Umno dan MCA kerana mereka cuba bantu kami. Tapi, (kami) dihalang oleh MIC. Parti itu juga melemahkan kami.

“Namun, kami tidak berhasrat menggantikan MIC. Parti kami hanya cuba nak (menjadi) sebahagian daripada BN,” katanya lagi.

Sementara itu, IPF juga menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Kami telah pun memohon kepada Umno untuk bertanding di tiga parlimen dan enam DUN,” katanya sambil menambah bahawa Umno telah bersetuju secara lisan dengan permintaan itu.

Untuk rekod, pada 8 April lalu Mohamad Hasan selaku timbalan pengerusi BN mengadakan perjumpaan dengan IPF, Makkal Sakthi dan tiga lagi parti mesra BN, iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), dalam usaha untuk mengukuhkan lagi gabungan tersebut. Mk

MIC bersama PN hingga MT BN buat keputusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker