Razman ingatkan akar umbi PAS jangan sibuk ambil kerja pemimpin

Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria

Ahli PAS diminta agar memberikan kepercayaan penuh kepada pemimpin parti itu menyusun langkah dan tidak sibuk bertanya mengenainya atau mengambil kerja mereka, kata Razman Zakaria.

Pesuruhjaya PAS itu berkata tindakan tersebut adalah akhlak yang perlu ada pada mereka dan pada masa sama mengelak daripada berasa “pening” dengan percaturan yang dibuat pimpinan.

“Kita tak payah ambillah kerja yang atas-atas (pimpinan). Dengan siapa (PAS) nak duduk, kerusi nak berapa.

“Kita yang bawah-bawah ni terima arahan sahaja. Kalau tidak kita akan pening.

“Yang tak perlu tanya, jangan kita tanya. Beri tsiqah (keyakinan penuh) kepada keputusan pimpinan. Itu akhlak yang kita perlu ada,” katanya dipetik harakahdaily hari ini.

Pesanan bekas bendahari agung PAS Pusat itu dibuat semasa dia menyampaikan ucapan pergulungan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat Perak Taiping.

Kata Razman semua ahli PAS perlu menggiatkan kerja melaksanakan strategi telah disusun untuk pilihan raya umum akan datang dan tidak mempolemikkan perbincangan peringkat pimpinan.

Memimpin dengan integriti

Razman yang juga exco Perak berkata sesebuah negara juga boleh hancur dengan isu integriti.

Katanya integriti bukan saja melibatkan soal pengurusan kewangan tetapi juga melaksanakan amanah yang diberikan.

“Bukan sekadar seronok dapat jawatan itu ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pusat Khairil Nizam Khiruddin pula berkata kebijaksanaan pemimpin parti itu telah terbukti dengan pelbagai ijtihad mereka menyelamatkan negara ini.

Katanya langkah itu selaras dengan perlembagaan parti iaitu mahu mentadbir negara dengan acuan Islam.

Sebagai bukti, ahli Dewan Negara itu mengaitkannya dengan pentadbiran PAS di Kelantan selama lebih 30 tahun yang diurus melalui pendekatan agama sehingga tiada pemimpin parti itu dikaitkan dengan isu rasuah.

“(Ini) mesej kepada rakyat (bahawa) PAS berupaya melahirkan pemimpin-pemimpin yang apabila diberikan kepercayaan, PAS mampu memimpin dengan nilai integriti dan kompetensi,” katanya di majlis yang sama.

Razman ingatkan akar umbi PAS jangan sibuk ambil kerja pemimpin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker