PRN Johor: Pengundi baru milik siapa?

JOHOR BAHRU – Sukar meramalkan sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) akan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana situasinya tidak sama dengan mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, PRN Johor amat berbeza malah sukar dibandingkan dengan PRN di Sabah, Sarawak dan Melaka pada tahun lalu termasuk mana-mana pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

“Bagi PRN Johor tidak ada siapa yang boleh jadi ‘Nujum Pak Belalang’ meramal mana parti politik boleh menang mudah dengan memperoleh sekian-sekian banyak kerusi. Kehadiran lebih 2.57 juta pengundi baharu khususnya pengundi muda 18 tahun ke atas ibarat ‘game changers’.

“Segala ‘score-sheets’ PRU12, PRU13 dan PRU14 sudah tidak relevan lagi. Jadi panduan umum bolehlah tetapi tidak lagi terpakai apabila beribu-ribu pengundi muda dan pengundi daftar automatik membanjiri setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor,” katanya.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

PRN Johor bakal diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN pada 22 Januari lalu dan SPR pula dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting untuk PRN.

Dalam pada itu, Hassan berharap, PH dan parti pembangkang bukan komponen PH masih ada masa untuk rundingan membentuk persefahaman politik bagi mengelak pertembungan tiga hingga penjuru dalam PRN Johor.

Katanya, masih belum terlambat untuk rundingan kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hanya akan bermesyuarat pada 9 Februari nanti.

“Hari penamaan calon lambat lagi. Masih ada masa untuk berbincang untuk elakkan pertembungan tiga, empat, lima atau enam penjuru. Bertembung sesama pembangkang akan menguntungkan UMNO dan BN sahaja.

“Jadi parti-parti politik pembangkang di luar PH seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) perlu adakan rundingan.

“Begitu juga dengan parti terbaru ditubuhkan bernama Parti Bangsa Malaysia (PBM) apa status anda sebenarnya? Menyokong kerajaan atau ‘mesra kerajaan’ atau bebas atau pembangkang,” katanya.

Hassan berkata, PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan juga perlu menjelaskan status mereka dalam PRN Johor sama ada berpihak pada kerajaan atau pembangkang.

Penyertaan begitu banyak parti politik dalam PRN tersebut katanya, menunjukkan tidak wujud kebimbangan terhadap risiko penularan Covid-19 sekali gus menunjukkan pertandingan dalam sistem dua parti iaitu BN dan PH sudah tidak wujud lagi.

Menurutnya, PRN Johor merupakan pilihan raya pelbagai parti yang akan mewujudkan resepi ‘rojak’ bagi politik Malaysia dan keputusannya sama ada baik atau buruk akan disaksikan nanti.

“Benarlah anggapan saya bahawa PRN Johor ini semacam ‘raptai’ kepada parti-parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) sama ada pada tahun ini atau selewat-lewatnya Mei 2023 tahun hadapan,” katanya.

PRN Johor: Pengundi baru milik siapa?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pelakon Mak Wan Latah Menikah Lagi, Kali Ini Pindah Ikut Suami Ke Kuala Pilah

Luna Maya Terkedu Ditanya Soalan Panas, “Awak Pernah Buat Jahat Dalam Kereta Tak?

Pak Nil bertemu jodoh?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker