Inilah sebaik-baik doa yang diajar Rasulullah s.a.w. saat dilanda musibah kematian


Ummu Salamah, isteri kepada Rasulullah s.a.w. mempunyai cerita menarik untuk dikongsi. Bukan kerana ia bergelar isteri kepada junjungan besar Muhammad s.a.w, tetapi bertemunya jodoh di antara mereka hanya kerana doa yang diucapkan.

Semua ini bermula selepas Ummu Salamah berhadapan dengan situasi kematian suaminya Abu Salamah. Namun sebelum kematian itu berlaku, ada doa yang diajar oleh Abu Salamah untuk isterinya.

Doa tersebut diajar oleh Rasululullah s.a.w. kepada Abu Salamah sebelum kematiannya dan ia disampaikan pula kepada Ummu Salamah. Sebaik sahaja Abu Salamah meninggal dunia, Ummu Salamah mengucapkan.

“Innalillahi wainnaa ilaihi raajiuun. Allahummajurnii fi musibati wa akhlifli khairan minha.”



(Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. Ya Allah berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah aku pengganti yang lebih baik darinya.)

Rentetan dari doa yang dilafazkan, Rasulullah datang menemui Ummu Salamah untuk menyunting Ummu Salamah. Lalu dijawab oleh Ummu Salamah,

“Ya Rasulullah! keadaanku akan membuatmu tidak berminat. Aku ini seorang wanita yang sangat cemburu maka aku takut engkau mendapatkan dari diriku sesuatu yang kerananya Allah akan mengazabku sementara aku sendiri sudah tua dan mempunyai banyak anak.”

Rasulullah s.a.w lalu menjawab,



“Adapun kecemburuanmu yang engkau sebutkan, maka semoga Allah menghilangkannya daripadamu. Dan usia tua yang engkau sebutkan, maka aku pun mengalami apa yang engkau alami. Dan keluarga yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya keluargamu adalah keluargaku juga.”

Mendengar akan jawapan yang diberikan, Ummu Salamah akhirnya menerima lamaran tersebut sekalipun di awal ketika ungkapan lafaz Innalillah dan bersambung dengan doa itu dibaca tatakala kematian suaminya, terdetik di hati Ummu Salamah,

“Dari mana aku akan memperoleh orang yang lebih baik dari Abu Salamah?”

Ternyata doa yang diucapkannya, menemukan Ummu Salamah dengan seseorang yang lebih baik daripada suaminya. Ucap Ummu Salamah,



“Allah memberikan ganti kepadaku yang lebih baik daripada Abu Salamah iaitu Rasulullah s.a.w.”

Dari sebuah doa

Kisah di atas sekalipun hanya sebuah kisah pertemuan jodoh di antara Rasulullah dengan Ummu Salamah, namun ada yang lebih besar untuk kita lihat dan renung bersama. Dari sebuah doa, maka bermulalah sebuah kehidupan yang lebih baik.

Dari suatu musibah (kematian) diberi ganti dengan yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, di sebalik ujian atau musibah yang Allah berikan kepada setiap hamba-hamba-Nya, ada nilai kasih sayang Allah yang dibawa bersama.



Bermakna apa pun ujian mahupun musibah atau dengan erti kata lain kafarah yang Allah berikan, bersama-samanya ada pengajaran dan kenikmatan. Bersama-samanya juga ada bahagia. Bahkan lebih dari itu bersama-samanya juga ada penghapusan dosa! Itu janji Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w,

“Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti ditusuk oleh duri atau yang lebih berat darinya melainkan dengan ujian itu dihapuskan Allah s.w.t perbuatan buruknya serta digugurkan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya.” – HR Muttafaqun alaih

Dalam hadis lain sabda Rasulullah,



“Ujian yang tidak henti-hentinya menimpa kaum Mukmin lelaki dan perempuan, yang menimpa dirinya, hartanya, anaknya, akan tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.” – HR Tirmizi.

Hari ini kita sedang diuji dengan pelbagai ujian dan musibah sama ada dari sudut kesihatan, ekonomi, sosial malah kematian. Semuanya memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang bukan kecil harganya. Hilang orang tersayang adalah sesuatu yang memeritkan.

Namun percayalah dengan janji Allah dan rasulnya bahawa setiap ujian yang menimpa kita pasti Allah balas dengan balasan yang lebih hebat dari ujian yang kita hadap sebagaimana dalam hadis di atas.

Begitulah indahnya nikmat yang Allah gantikan bersama-sama ujian yang diberikan. Bahkan antara kafarah, ujian mahupun bala, terangkum di dalamnya seribu satu rahsia Allah yang akhirnya kembali pada satu titik noktah iaitu rahmat dan kasih sayang Allah. Wallahu a’lam. Utv



5 Golongan yang didoakan para malaikat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker