PRN Melaka: Rakyat Tentukan, Keyakinan Politik Bukan Angkuh
PRN Melaka: Rakyat Tentukan, Keyakinan Politik Bukan Angkuh

JOHOR BAHRU, 1 Nov – Rakyat Melaka berhak menentukan siapa yang layak diberikan mandat untuk memimpin negeri itu, bukannya keputusan yang ditentukan melalui persepsi, keyakinan atau polemik politik antara pemimpin, kata Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim.
Beliau berkata, perbezaan pandangan politik perlu diraikan dalam ruang demokrasi, namun setiap pihak harus tampil dengan hujah yang matang, tawaran yang meyakinkan serta rekod khidmat yang boleh dinilai rakyat.
Norshida berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad yang mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai dangkal serta angkuh dalam berpolitik ekoran menganggap parti lawan hanya membuang masa, wang dan tenaga dengan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurutnya, keyakinan Onn Hafiz susulan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya dilihat sebagai satu kesalahan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan asas dan prestasi yang mendasarinya.
“Datuk Onn Hafiz berhak untuk yakin, manakala pihak yang berbeza pandangan juga berhak untuk membantah. Namun, keputusan akhirnya bukan di tangan mana-mana pemimpin politik, sebaliknya terletak sepenuhnya pada rakyat Melaka.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- PRN Melaka: Kesepaduan Jentera Jadi Kekuatan BN – Mohamad Hasan
- Pas-BN Di Melaka: Menyatukan Melayu, Memperkukuh Kekuatan Bangsa
- Rais Tolak Politik Kebencian, Mahu Terus Berkhidmat Untuk Rakyat
“Rakyat berhak menentukan. Bawalah hujah, tampilkan tawaran dan buktikan khidmat. Ukuran akhirnya ialah kepercayaan rakyat yang perlu diusahakan setiap hari,” katanya.
Norshida berkata, hak sesebuah parti untuk menawarkan calon dan bertanding dalam pilihan raya tidak bermakna parti berkenaan secara automatik memperoleh sokongan rakyat.
Katanya, begitu juga dengan keyakinan seseorang pemimpin terhadap kekuatan partinya yang tidak boleh dianggap sebagai jaminan kemenangan, kerana mandat sebenar hanya dapat ditentukan menerusi peti undi.
Beliau turut mengakui sejarah politik negara, termasuk kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum 2018 serta pencapaian gabungan itu pada 2022, tidak boleh dinafikan.
Bagaimanapun, katanya, kemenangan lalu bukan jaminan kemenangan pada masa hadapan kerana sokongan rakyat sentiasa boleh berubah berdasarkan prestasi, kepercayaan dan kemampuan sesebuah kerajaan memenuhi harapan mereka.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Pertahan Asahan, Kempen Matang Jadi Keutamaan – Fairul
- BN Perlu Bentuk Kerajaan Melaka Yang Kuat Dan Kukuh
- PRN Melaka 2026: Bertanding Dengan Bermaruah, Berkempen Dengan Berhemah
Gema Melaka: Ahmad Zahid Tekankan Pembinaan Generasi Masa Depan
“Jika mandat rakyat boleh berubah sehingga BN kehilangan kuasa, prinsip demokrasi yang sama juga bermakna sokongan terhadap PH boleh berubah. Tiada mana-mana parti boleh menganggap sokongan rakyat sebagai sesuatu yang kekal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan keyakinan politik kepimpinan BN Johor mempunyai asas untuk dibincangkan berdasarkan pencapaian pilihan raya negeri sebelum ini, namun keputusan di Johor tidak semestinya menggambarkan keputusan di Melaka.
Sehubungan itu, Norshida menegaskan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha mendekati rakyat, mendengar permasalahan mereka, menyelesaikan urusan serta memastikan jentera parti benar-benar bersedia.
Beliau turut mengingatkan agar perbahasan politik tidak menyimpang kepada latar belakang keluarga seseorang pemimpin kerana perkara itu tidak membantu menjawab persoalan berkaitan kepimpinan dan prestasi.
“Nilailah seseorang pemimpin berdasarkan tindakan, prestasi dan keputusan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Politik sepatutnya menjadi ruang menawarkan penyelesaian, bukannya sekadar medan melontarkan label dan serangan peribadi.
“Pada akhirnya, rakyat tidak hanya mahu mendengar siapa yang paling yakin atau siapa yang paling lantang mengkritik. Mereka mahu melihat siapa yang benar-benar mampu bekerja dan membawa perubahan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kepercayaan rakyat bukan sesuatu yang boleh dituntut melalui kenyataan politik, sebaliknya perlu dibina melalui khidmat yang konsisten dan komitmen yang dapat dirasai masyarakat. – UMNO Online
PRN Melaka: Rakyat Tentukan, Keyakinan Politik Bukan Angkuh
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- CSA: Kestabilan Politik Dan Reformasi Institusi Demi Kepentingan Rakyat
- Rekod Khidmat 4 Tahun 11 Bulan Jadi Ukuran Akmal Di Merlimau
- Calon Dikenali, Rekod Prestasi Jadi Kekuatan BN – Azalina
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Beri Mandat Besar Pada BN Demi Kestabilan, Keyakinan Pelabur – Mohamad Hasan
You must be logged in to post a comment.