Bantah tangguh umrah, agensi serah memo ke PMO dan Istana Negara

Sekumpulan pengendali umrah dan haji hadir menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Istana Negara hari ini, menggesa agar kerajaan menilai semula keputusan menangguhkan sementara kebenaran ibadah umrah, berkuat kuasa 8 Jan.

Menyifatkan pengumuman pada 1 Jan lalu sebagai mengejutkan, kumpulan yang menggelar diri sebagai Gabungan Pengendali Haji dan Umrah Malaysia itu mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap masalah yang mungkin menjadi kebimbangan kerajaan ekoran penularan varian Omicron Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah.

Menurut salah seorang jurucakap gabungan, Muhammad Mursyid Abu Hassan, 34, pengusaha umrah sudah menunggu selama 18 bulan sebelum perjalanan umrah dibuka pada 13 Okt lalu, namun baru sahaja beberapa bulan umrah dibenarkan, ia kini ditangguh lagi.

“Kami tak bersetuju dengan penutupan umrah, jadi kami memberikan memorandum cadangan kepada PMO untuk (membolehkan umrah) dibuka. Tutup ini adalah jalan yang terakhir sebenarnya.

“Banyak lagi cara lain yang kita rasa perlu dibuat. Penutupan ini akan membawa implikasi yang sangat-sangat besar kepada industri, rakyat, dan kerajaan sendiri,” katanya dalam sidang media selepas gabungan itu menyerahkan memorandum itu kepada seorang pegawai khas kepada perdana menteri.

Memorandum itu ditandatangani oleh kira-kira 200 agensi pelancongan pengendali umrah dan haji yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

Kira-kira 40 wakil mereka hadir menyerahkan memorandum itu kepada PMO dan Istana Negara dengan menaiki bas.

Memorandum itu menggariskan enam cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan, bagi membolehkan umrah dilaksanakan dengan meminimumkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah.

Antaranya, cadangan agar tempoh masa berada di Mekah dan Madinah dipendekkan ke 10 malam sahaja.

Pemerkasaan MySejahtera juga dicadangkan supaya maklumat jemaah boleh didapatkan daripada aplikasi itu tanpa jemaah perlu bersesak-sesak mengisi borang yang sebelum ini menyebabkan kesesakan di lapangan terbang, seperti borang ketibaan dan borang perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Mereka turut mencadangkan tugasan pemakaian gelang kuarantin – yang mengambil masa yang lama kerana kekurangan kakitangan KKM bertugas – boleh diserahkan kepada pengendali umrah sendiri.

“Kami bersedia menyediakan sumber manusia sekiranya dibenarkan bagi mempercepat proses dan jemaah tidak perlu berkumpul dalam tempoh yang lebih lama.

Mereka turut sanggup menawarkan perkhidmatan kenderaan untuk membawa jemaah ke lokasi kuarantin.

Selain itu, KKM dicadangkan untuk membuka makmal khas untuk ujian Covid-19 khusus buat jemaah yang baru tiba.

Menurut gabungan, penangguhan umrah akan meningkatkan kos membabitkan tiket penerbangan, hotel, kenderaan manakala caj pembayaran visa umrah yang telah dibayar akan hangus, selain menyulitkan rancangan masa jemaah serta mengganggu emosi mereka.

“Sebelum ini peluang tertutup hampir dua tahun dan apabila peluang telah dibuka, tertutup kemball secara mengejut sedangkan semua persiapan telah dilakukan (jemaah umrah),” menurut memorandum berkenaan.

Syarikat juga terpaksa menanggung kerugian besar, kerana jumlah jemaah mula semakin meningkat selepas kerajaan membenarkan semula umrah pada Okt lalu, sedangkan kos yang telah dibayar tidak akan dipulangkan semula oleh kerajaan Arab Saudi akibat penangguhan itu.

“Pembukaan semula industri umrah telah menyebabkan kos operasi syarikat meningkat apabila kemasukan tenaga pekerja ditambah dan penutupan secara mengejut ini memberi kesan besar kepada aliran tunai.

“[…] Kos luar jangka juga akan meningkat sekiranya tiada tarikh tetap bila penangguhan inia kan ditamatkan,” kata mereka lagi dalam memorandum.

Lebih-lebih lagi, menurut mereka, kini Arab Saudi telah mengambil pendekatan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Mengulas lanjut, kata Mursyid, untuk bulan ini sahaja, kira-kira 10,000 jemaah akan terkandas sekiranya mereka tidak dapat berlepas selepas 8 Jan.

Itu, katanya, tidak termasuk kira-kira 200,000 jemaah yang terkandas sejak Mac 2020 selepas PKP dikuatkuasakan, manakala industri pula terpaksa menanggung kerugian ratusan juta akibat penangguhan yang dikenakan.

“Kita nak usaha untuk beri makluman, cadangan kepada kerajaan, banyak lagi cara boleh dibuat untuk mengawal wabak ini insya-Allah.

“Yang kita takut, tutup sebulan, kemudian lagi sebulan tutup lagi, akhirnya sampai ke setahun, dua tahun … susahlah. Sebab varian tidak akan berhenti,” kata pengasas dan ketua pegawai eksekutif Mursyid Alharamain Travel & Tours itu.

Bantah tangguh umrah, agensi serah memo ke PMO, istana


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bogel depan rumah jiran wanita, buruh dipenjara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker