Dilema PM buang ‘kayu buruk’

Sejak seminggu lalu, desas-desus mengenai rombakan kabinet tiba-tiba bertiup kencang selepas ia mula diperkatakan beberapa portal.

Ada yang melihat pertukaran muka baharu dalam kabinet ada kaitan dengan rasa tidak puas hati Putrajaya terhadap prestasi beberapa jemaah menteri dan timbalan menteri dalam berdepan konflik dan isu.

Meskipun Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan markah 90 peratus kepada keseluruhan kabinetnya yang terdiri 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri di atas pencapaian 100 hari setiap kementerian, namun bencana banjir baru-baru ini sedikit mencalarkan prestasi.

Ia bermula dengan kegagalan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyelaraskan bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan Lembah Klang selain kemarahan rakyat terhadap aksi gimik politik keterlaluan segelintir pemimpin yang hadir melawat kawasan banjir tanpa memberikan sebarang impak positif.

Hal ini susulan mereka bukan sahaja dicemuh rakyat negara sendiri, bahkan paparan ‘lakonan’ menteri membersihkan najis cicak dan unggas turut menjadi bahan lawak media antarabangsa.

Berdasarkan amalan biasa pentadbiran kerajaan Pusat, Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif melakukan rombakan kabinet dengan menggugurkan beberapa menteri yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Bagaimanapun, dengan status kerajaan hari ini adalah kerajaan campuran meliputi Barisan Nasional (BN) serta parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk musuh ketat UMNO sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak dinafikan Ismail Sabri kini berhadapan dilema untuk menggugurkan beberapa menteri yang dianggap tidak ‘perform’.

Apatah lagi, daripada spekulasi banyak pihak, nama-nama yang disebut ialah dalam kalangan pemimpin Bersatu. Namun, masalahnya tindakan itu mungkin ‘memakan diri’ Ismail Sabri sendiri jika ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PN menarik sokongan terhadap beliau.

Ditambah dengan Malaysia masih belum benar-benar bebas daripada pandemik Covid-19 susulan kehadiran varian baharu Omicron yang lebih cepat menular, tambahan pula ramai pemerhati politik bersetuju pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat tidak bersesuaian.

Rombakan Kabinet selepas tahun baru 2022?

KEPUTUSAN BESAR

Bagaimanapun, seorang pemimpin veteran UMNO berpandangan Ismail Sabri perlu berani membuat keputusan besar untuk menggugurkan beberapa ‘kayu buruk’ dalam Jemaah Menteri beliau sekiranya mahu kembali relevan di mata rakyat.

Hal ini kerana kejadian banjir luar biasa yang melanda negara bukan sahaja menelanjangi sikap kebodohan dan kesombongan segelintir menteri dan timbalan menteri, tetapi kabinet Keluarga Malaysia sebelum itu lagi sudah berdepan masalah beberapa kementerian yang tidak berfungsi.

“Mungkin Ismail Sabri berdepan dilema untuk menggugurkan beberapa menteri daripada Bersatu susulan hubungan istimewa beliau dengan Muhyiddin.

“Tetapi saya merasakan perkara itu tiada masalah kerana pemimpin ini boleh diganti dengan pemimpin lain daripada parti sama.

“Kalau keputusan pengguguran mereka menyebabkan ahli-ahli Parlimen Bersatu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, beliau kena berjiwa besar untuk menerimanya dan laksanakan sahaja PRU15 jika terpaksa berbuat demikian.

“Ismail Sabri kena berfikir secara serius kesan buruk beliau mengekalkan ‘kayu-kayu buruk’ dalam kabinet Keluarga Malaysia, jangan sekadar bimbang orang tarik sokongan terhadap beliau sebagai Perdana Menteri semata-mata,” kata Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Mustapha turut menegaskan sebahagian besar menteri dan timbalan menteri yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang kejadian banjir luar biasa melanda negara tidak sekadar tertumpu dalam kalangan Bersatu semata-mata.

Bahkan, beliau mengakui ada beberapa menteri yang lebih sibuk berswafoto daripada berusaha keras mewakili kerajaan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir di mana sebahagiannya mengambil masa berhari-hari untuk diselamatkan.

“Tukar sahaja menteri-menteri yang tidak berfungsi dan ganti dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa.

“Sekarang ini kemarahan rakyat terhadap kerajaan semakin memuncak, lebih-lebih lagi kerajaan menegaskan tidak membenarkan pengeluaran one off i-Citra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM10,000 pada saat mereka memerlukan.

“Walaupun Ismail Sabri kemudiannya memberi inisiatif penyelesaian alternatif bagi meringankan beban rakyat, saya tetap berpendapat rombakan kabinet perlu dilaksanakan secara pantas dan tegas bagi mengekalkan kerelevanan kabinet Keluarga Malaysia di mata rakyat,” ujar Mustapha lagi.

Lebih menarik, gesaan Ismail Sabri melaksanakan segera rombakan kabinet turut disokong seorang ahli Dewan Negara daripada Bersatu.

MENTERI ‘PENUMPANG’

Secara tegas, Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip menjelaskan tiada tempat untuk menteri dan timbalan menteri yang pemalas dan sekadar menjadi penumpang dalam kabinet Keluarga Malaysia.

“Saya difahamkan ada menteri yang tidak masuk ke pejabat, ada juga yang banyak menghabiskan masa di rumah dan cukup liat untuk menyelesaikan urusan rasmi kabinet sehingga sering melepaskan tanggungjawab kepada timbalan menteri sahaja.

“Ada juga yang menjadi peragawati dan lebih suka tampil bergaya, tetapi tidak hadir ke Parlimen untuk menjawab isu-isu berkaitan kementeriannya termasuk di Parlimen.

“Oleh kerana menteri-menteri seperti ini merosakkan kualiti kabinet Keluarga Malaysia, adalah wajar mereka direhatkan dan dipencenkan secepat mungkin bagi mengelakkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan sedia ada semakin memuncak,” katanya. SHP

Dilema PM buang ‘kayu buruk’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rombakan kabinet hanya spekulasi, tapi peringatan buat menteri – Sumber

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker