Idris Ahmad nafikan ada gerakan untuk jatuhkan Presiden PAS

SHAH ALAM – Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad, menafikan dakwaan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama, Mokhtar Senik, bahawa wujud gerakan terancang didalangi individu tertentu bagi menjatuhkan kedudukan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak berbangkit sama sekali dan mesyuarat bulanan kepimpinan tertinggi Pas berjalan seperti biasa.

“Mana ada, perkara itu semua tidak betul dan sekadar khabar angin sahaja (dakwaan wujud gerakan menjatuhkan Ahli Parlimen Marang daripada jawatan Presiden Pas didalangi individu tertentu).

“Isu ini tidak pernah dibangkitkan dan Pas juga mengadakan mesyuarat pimpinan tertinggi seperti biasa pada minggu lalu, tanpa apa-apa masalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium pada Isnin.

Terdahulu, Mohkhtar ketika dipetik sebuah portal berita atas talian memberi amaran keras kepada pemimpin Pas yang didakwa berhasrat menjatuhkan Abdul Hadi.

Bagaimanapun, Mokhtar, tidak mendedahkan siapakah individu yang menjadi dalang usaha terbabit dan dia percaya masih ada rakan-rakannya dalam Pas tetap teguh mempertahankan Abdul Hadi selaku Presiden.

ABDUL HADI
ABDUL HADI

 

“Kamu nak cantas saya, saya tak pernah risau dan resah, kerana saya bukan orang penting dalam parti. Lagi pun saya tiada apa-apa kepentingan peribadi. Sebab itu saya tak pernah “play safe” seperti kamu.

“Tapi kalau kamu berhasrat nak langgar presiden maka saya akan “kisah”. Yang tak kena saya tegur walau merugikan perjalanan politik saya. Apa saya kisah. Saya bukan makan gaji dengan parti jauh sekali dengan kamu,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Berikutan itu, Mokhtar memberi amaran kepada pihak-pihak berkenaan supaya mengekalkan kesetiaan kepada pimpinan Pas.

“Beliau guru dan murabi kami. Jangan galak sangat sebab kami sedang memerhati. Pegang teguh pendirian parti dan wala kepada pimpinan.

“Walaupun tiada kenyataan jelas bahawa kamu suruh kambing makan pokok-pokok sayur, tapi perbuatan kamu melepaskan kambing dan meruntuhkan pagar bermakna kamu sedang membinasakan kebun sayur-sayuran,” katanya.

Untuk rekod Dewan Ulama Pas Pusat baru sahaja selesai mengadakan pemilihan pada minggu lalu, dan Mokhtar antara pimpinan yang dipilih membarisi jawatankuasa sayap PAS itu.

Dalam pada itu, Mokhtar menegaskan dia memperoleh kedudukan dalam parti ‘bukan kerana pengaruh bapanya’ tetapi kerana pilihan ahli-ahli di bawah.

“Saya naik pun bukan kerana pengaruh ayah saya. Bukan kerana ditaja oleh team saya. Saya naik kerana ahli kat bawah lonjak saya. Sebahagian mereka itu rakan-rakan, teman-teman dan anak-anak murid saya yang mengenali saya,” katanya.

Idris Ahmad nafikan ada gerakan untuk jatuhkan Presiden PAS


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Janggut suami Heliza jadi tumpuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker