Pembalakan haram atau sekadar aliran puing?

SABTU lalu, gempar apabila lima mangsa dilaporkan meninggal dunia, sementara seorang lagi masih hilang selepas lima kereta dihanyutkan arus deras akibat banjir sehingga menenggelamkan jambatan Sungai Telemong, Bentong, Pahang.

Namun, ramai yang kecewa dan marah apabila melihat video dan foto tular menunjukkan ribuan sisa batang pokok dan kayu bertimbun sebaik air banjir surut di Sungai Telemong dan Sungai Kerau.

Timbul persoalan adakah sisa batang pokok itu adalah akibat aktiviti pembalakan di hutan berdekatan atau ia hanya kayu-kayu mati serta hakisan tanah angkara banjir?



Menjelaskan mengenai isu itu, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, longgokan kayu di Sungai Kerau ialah sebahagian daripada ‘puing’ iaitu bahan yang terkumpul daripada runtuhan bukit yang besar atau gelinciran tanah.

“Sungai Telemong adalah contoh klasik sungai dari dataran tinggi mengalir di kawasan tanah rendah beralun dengan cerun landai iaitu lima hingga 15 darjah.

Di bahagian hilir sebelum bercantum dengan Sungai Bentung, alirannya sudah mulai berliku dan ini menunjukkan contoh terbaik aliran puing bertukar menjadi banjir puing.

“Sungai Kerau adalah sungai kecil cabang daripada Sungai Telemong dan di kawasan berliku, terdapat beberapa peristiwa tanah runtuh bersaiz kecil hingga sederhana iaitu 1,000 hingga 25,000 meter padu.



Tanah runtuh itu terus jatuh atau mengalir ke dalam sungai menambah beban puing,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, wujud juga tanda hakisan dan runtuhan tebing, terutama di cerun cembung sungai berliku di mana sumber puing kebanyakannya terdiri daripada pasir, kerikil dan kayu kayan.

“Banjir puing di sungai ini mencapai ketinggian lima meter dari paras tebing sungai.

Di bahagian hulu jambatan konkrit jalan menuju ke Mancis, terdapat timbunan puing kayu yang meluas, dianggarkan berkelebaran hampir 100 meter dan panjang 500 meter.



“Jika ketebalan puing kayu kayan sekitar dua meter, isi padu puing yang tersangkut di jambatan ini boleh mencapai 100,000 meter padu.

Ia menunjukkan wujud fenomena gelinciran tanah atau aliran puing di bahagian hulu sungai yang besar yang berkemungkinan bersaiz mencapai 500,000 meter padu,” katanya.

Ibrahim Komoo juga berpandangan bahawa kayu kayan itu tidak terbukti hasil daripada pembalakan oleh kerana sifatnya yang pelbagai saiz seperti dipatah-patahkan dan bukan dipotong oleh manusia.

“Jika kayu kayan yang terdampar itu hasil pembalakan, pasti ia bersaiz besar dan mempunyai tanda telah dipotong,” katanya.



Tambah beliau, walaupun ada kemungkinan pembalakan haram di sekitar kawasan tersebut, berdasarkan tinjauan lapangan, kayu kayan yang terdampar di Sungai Kerau tidak menunjukkan tanda-tanda ia dihanyutkan dari kawasan pembalakan.

TANGAN-TANGAN MANUSIA

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, beliau percaya kejadian yang meragut nyawa itu adalah hasil pembalakan pihak tidak bertanggungjawab yang telah berlaku sekian lamanya.

“Banjir ini semua adalah kerana tangan-tangan manusia dan bukan cuaca hujan semata-mata.



“Kita semua mengetahui bahawa kedudukan muka bumi Malaysia berhampiran dengan garisan Khatulistiwa yang menerima hujan sepanjang tahun.

“Oleh itu, negara mesti mempunyai 50 peratus hutan sebagai ‘pelindung’, namun hutan kita semakin mengecil akibat pembukaan dan penerokaan hutan yang telah berlaku dari dahulu,” katanya.

Jelas Shariffa Sabrina, sama ada kegiatan penerokaan hutan berlaku secara haram atau tidak, ia telah menyebabkan kemusnahan alam dan pembukaan hutan yang melampau.

“Ada beberapa pihak yang mempunyai lesen untuk pembukaan hutan. Penerokaan hutan secara haram atau tidak bukan isunya kerana ia tetap akan merosakkan alam sekitar.



“Belajarlah daripada kesilapan negara-negara Eropah yang mana ketika ini tidak ada satu pokok yang mereka berani tebang kerana mereka tahu perkara tersebut membantu seimbangkan cuaca.

“Jika perkara itu berterusan, negara kita akan tetap mundur dan hanya mengharapkan bantuan,” katanya.

Pembalakan haram atau sekadar aliran puing?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Aliff Syukri nazak? Ibu minta cepat wasiatkan hartanya

Diva AA Perli Isu Majlis Perkahwinan Kamal dan Uqasha

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker