Suri rumah jual kek dapat RM20k sebulan


Suri rumah jual kek dapat RM20k sebulan

“Saya hanya suri rumah, namun dengan kelas kemahiran masakan yang disediakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), saya kini mampu meraih jualan kek hampir RM20,000 sebulan,” kata Norlizawati Abdul Razak, 38.

Usahawan luar bandar dari Jerlun, Kubang Pasu itu berkata, dia bersyukur dapat menimba ilmu daripada Kemas sehingga mampu memiliki kedai kek.

Katanya, dia memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga berikutan suami hanya bekerja sebagai pemandu lori ais.



“Alhamdulillah, selepas mahir membuat kek saya menjual secara dalam talian pada 2018, ketika awal perniagaan hasil jualan saya cuma RM500 sebulan namun kini mencecah RM20,000.

“Selepas ini, saya bercadang mendapatkan geran atau pinjaman daripada agensi menerusi KPLB untuk melebarkan lagi perniagaan,” kata ibu lima anak itu.

Norlizawati antara 22 peserta Program Outreach Keusahawanan dan Pendidikan KPLB di Pusat Khidmat Komuniti Padang Kerasak, Naka di sini, Sabtu lalu.

Hadir merasmikan majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.



Bagi usahawan sos dan kicap jenama Doon, Nor Arizah Nayan, 55, berkata, dia menerima geran berbentuk peralatan serta pinjaman bernilai lebih RM340,000 daripada pelbagai agensi di bawah KPLB.

Katanya, antara peralatan diterima adalah mesin pengisar cili, mesin label serta mesin pembungkusan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Selain itu, pinjaman saya peroleh daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), agensi ini banyak membantu mengembangkan perniagaan yang beroperasi di Pokok Sena.

“Hari ini saya gembira kerana dapat menyertai program anjuran KPLB, ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan produk keluaran syarikat saya kepada masyarakat terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.




NOR Arizah menyusun kicap dan sos cili yang diusahakannya selepas menerima geran berbentuk peralatan serta pinjaman daripada pelbagai agensi di bawah KPLB.

Memulakan perniagaannya pada 2005, bersama suami Shaidon Awang, 56, melahirkan rasa bangga apabila menjadi antara syarikat Bumiputera yang berdaya saing selain menghasilkan produk bersih dan halal toyyiban.

Graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Syafiq Ahmad Badrudin, 26, menganggap keputusannya menjual burung puyuh sejuk beku berada di landasan betul selepas meninggalkan kerjanya sebagai jurutera awal tahun ini.

“Saya baru menceburi bidang perniagaan pada Mac lalu. Saya mula dengan modal hampir RM10,000 untuk menternak puyuh secara kecil-kecilan.



“Sangkar saya bina dengan barang terbuang, saya perlukan modal RM70,000 lagi untuk membangunkan bengkel memproses puyuh dan bilik sejuk beku.

“Menerusi program ini saya nampak peluang dan ruang membuat pinjaman dan memohon geran daripada agensi di bawah KPLB yang turut membuat pameran hari ini selain memberi penerangan kepada usahawan seperti saya,” katanya yang berasal dari Pendang.

Sementara itu, Mahdzir berkata, menerusi program khas Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB), RM5 juta diperuntukkan bagi membantu usahawan luar bandar pada tahun depan.

Katanya, bermula September lalu, KPLB melaksanakan Program Sokongan SPKLB Re-Start yang bertujuan membantu usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid-19 dengan jumlah peruntukan RM1.92 juta.



“Kami bantu mereka menaik taraf perniagaan dengan penyediaan geran bantuan dalam bentuk pembelian, pembaikan aset, mesin, peralatan, modal pusingan dan pengubahsuaian premis dengan nilai RM3,000 hingga RM5,000.

“Program itu bukan sahaja membantu memulihkan usahawan terjejas akibat Covid-19, tetapi menyokong semua usahawan yang sudah beroperasi sekurang-kurangnya setahun, kami memberi bantuan bersesuaian.

“Mereka boleh mengisi borang secara biasa atau manual dan boleh juga secara dalam talian, pegawai agensi di bawah KPLB bersedia turun padang melihat premis perniagaan usahawan yang memohon untuk membuat penilaian sebelum bantuan disampaikan,” katanya. HM

Suri rumah jual kek dapat RM20k sebulan




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aktor Taiwan beri RM302,000 kepada pembantu rumah

Ibu saksi anak dirogol bekas suami di depan mata

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker