Penduduk Sri Muda harungi 48 jam penuh cemas, kelaparan

Sebaran :

Antara kawasan kejiranan yang paling teruk terjejas akibat banjir yang melanda Lembah Klang hujung minggu lalu adalah Taman Sri Muda di Klang.

Para penduduk hanya dapat keluar dari kawasan itu pagi ini apabila air mula surut.

Ramai yang menceritakan perasaan terdesak dan lapar yang dirasai ribuan yang terperangkap di rumah mereka sejak Sabtu.

“Bila bot lalu perumahan, orang jerit ‘makanan! Makanan!’” kata Siti Ramlah, 31. Dia merupakan segelintir yang bernasib baik kerana dapat dijangkau penyelamat.



Siti Ramlah dan keluarganya antara beberapa ratus penduduk yang dapat dibawa penyelamat ke jambatan Taman Sri Muda, setakat tengah hari ini.

“Masih ramai (yang terperangkap). Terlalu ramai,” katanya yang bergelut menahan perasaannya ketika bercakap dengan KiniTV.

Siti Ramlah

Menurut beberapa saksi, air mula naik pada Sabtu pagi. Tiba tengah hari, air banjir sudah setinggi bumbung kereta, memaksa ramai yang menyelamatkan diri ke kawasan yang lebih tinggi.

Mereka yang keluar rumah untuk pergi kerja di sebelah pagi pula tidak dapat pulang ke rumah pada hujung minggu.



Isu utama yang dihadapi mangsa banjir adalah rasa lapar. “Semua orang lapar,” kata Siti Ramlah.

Bot yang membawa bekalan makanan hanya sampai semalam tetapi menurut Siti Ramlah, ia dibuat dengan tidak teratur dan menyebabkan masalah pengagihan.

“Tak kira berapa banyak bot yang masuk, makanan tak cukup. Tadi masa saya keluar (diselamatkan), kami kata ada penduduk pecah (masuk) 99 Speedmart, nak ambil makanan sebab semua orang lapar,” katanya.

Orang awam sampai dulu



Hari ini, anggota penyelamat beruniform dari seluruh negara dilihat berada di kawasan itu, membawa keluar mangsa dengan warga emas, mereka yang sakit dan keluarga yang memiliki bayi diutamakan.

Menurut seorang lagi mangsa, Thinesh, dia tidak dapat menunggu anggota penyelamat dan telah mengharung banjir untuk meminta bantuan anggota penyelamat agar dapat menghantar bot untuk menyelamatkan neneknya yang berusia 78 tahun.

“Saya ada di sini selama empat jam (sebelum bot dapat dihantar,” kata Thinesh, 29.

Thinesh membantu neneknya keluar dari kawasan banjir

Siti Hajar, 29, berkata dia merasa marah tetapi yakin anggota penyelamat telah melakukan yang terbaik.

“Tapi marah tak boleh buat apa. Kena tunggu sebab semua bantuan tersekat di sini (jambatan).

“Cuma kesianlah, macam orang-orang tua yang terperangkap di rumah teres kena duduk di atas bumbung untuk tarik perhatian helikopter,” katanya.

Ramai saksi mengatakan tragedi ini telah menonjolkan kebaikan masyarakat, dengan ramai orang awam cuba untuk menyertai usaha menyelamat.

“Saya tengok orang guna bekas plastik dan mendayung sendiri nak selamatkan orang, nak cari sumber makanan. Memang bahaya tapi tak ada pilihan. Memang bantun tak sampai,” katanya lagi.

Suami Siti Hajar, Marzan, 28, berkata di peringkat awal, orang awam lebih giat melaksanakan usaha menyelamat.

“Orang awam sudah datang bawa bantuan, tapi kerajaan belum sampaikan. Sedangkan semua orang sudah kelaparan. Elektrik tak ada langsung,” katanya.

Siti Hajar dan keluarga

Tiada komunikasi

Jaibon, 29, berkata dia dan beberapa lagi berenang ke jambatan Taman Sri Muda awal pagi ini kerana mreka mendengar khabar yang di sana ada bekalan yang boleh dibawa pulang.

Di flatnya, ada lapan orang yang memerlukan makanan. Namun, Jaibon berkata apabila dia sampai, tiada apa-apa di sana. Pada masa sama, dia tidak dapat pulang ke rumah kerana dilarang anggota penyelamat.

“Saya tiada rancangan. Tunggu air surut saja. Saya loss contact (dengan semua orang di rumah).”

Jaibon

Seperti Jaibon, Ravichandran, 50, turut menceritakan bagaimana ketiadaan perkhidmatan telekomunikasi telah merumitkan usaha menyelamat.

“Keluarga saya selamat. Kini kami bimbangkan orang lain. Di kawasan perumahan saya ada orang sakit terlantar, pesakit stroke.

“Hal terburuk adalah gangguan perkhidmatan telefon. Bagaimana mereka nak berhubung dengan orang di luar? Ketika itu, kita tidak tahu apa yang berlaku di luar.

“Kawan dan keluarga nak tolong kami tapi tak boleh berhubung,” katanya yang mengharung banjir bersama-sama keluarganya.

Dia percaya bukan semua anggota penyelamat melakukannya secara sukarela.

“Ada yang abaikan orang jerit minta bantuan…Barangkali mereka dibayar untuk jaga sesetengah keluarga tertentu,” katanya.

Ravichandran berkata dia dan keluarganya merancang untuk tinggal di hotel buat sementara waktu.

“Tiada pilihan. Kami tak mahu susahkan orang lain,” katanya lagi.

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tahanan wanita dakwa dipaksa lakukan oral seks di balai polis

Sihir Pelalau, ini tanda jika anda terkena


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *