Demi jaga hubungan dengan GPS, Bersatu terpaksa pecat ahli tanding bebas

SHAH ALAM – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat keahlian tiga ahlinya yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, adalah tepat dan mampu menjernihkan semula hubungan parti itu dengan rakan sekutunya Gabungan Parti Sarawak (GRS).

Keahlian ketiga individu berkenaan iaitu Ketua Bersatu Hulu Rajang, Siki Balarik yang menjadi calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga; Ketua Bersatu Samarahan, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan aktivis Bersatu, Ricky Enteri (Bawang Assan), gugur secara automatik menurut Perlembagaan Bersatu selepas enggan menarik diri daripada bertanding di kerusi masing-masing

Menurut penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berkata keadaan itu berbeza dengan Ali Biju yang sudah akur dengan arahan kepimpinan tertinggi Bersatu supaya beliau menarik diri daripada menjadi calon pada PRN Sarawak biarpun nama beliau kekal dalam kertas undi kerusi DUN Krian, manakala 3 lagi masih keras kepala dan enggan berbuat demikian.



Justeru, Jeniri yang juga Felow Kanan Majlis Profesor Negara menegaskan keputusan Bersatu mengambil tindakan tegas dengan memecat mereka daripada Bersatu serta merta penting bagi menunjukkan keikhlasan dan menjaga hubungan dengan GPS.

“Tindakan berkenaan juga menunjukkan mereka serius menangani isu kedegilan ketiga-tiga ahlinya yang bertanding tanpa kebenaran kepimpinan tertinggi dan parti.

“Bagaimanapun, perbuatan tiga bekas Ahli Bersatu itu tidak boleh disamakan dengan Ali yang pada mula bertanding, sebelum mengesahkan untuk menarik diri bagi merebut kerusi DUN Krian selepas diberikan nasihat oleh pucuk pimpinan parti,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium, pada Isnin.

Terdahulu, Pengerusi Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, mengesahkan pihaknya mengambil keputusan menggugurkan keanggotaan tiga ahli partinya yang bertanding atas tiket bebas pada PRN Sarawak kali ini.



Jaziri menegaskan Bersatu berbuat demikian selepas memberikan masa dan peluang kepada mereka untuk menarik diri tetapi tiada tindakan dibuat dan kerana itu keahlian mereka digugurkan.

Pada Minggu lalu, Bersatu dikejutkan dengan kemunculan empat ahlinya yang bertanding sebagai calon Bebas termasuk Datuk Ali Biju di Krian.

Tindakan mereka bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini sebaliknya memberi sokongan penuh kepada GPS.

Muhyiddin turut berkata Bersatu memilih untuk tidak menyertainya kerana percaya GPS mempunyai keupayaan untuk menang dan mereka juga turut menyokong kerajaan persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) semasa beliau menjadi perdana menteri.



Bagaimanapun, hanya Ali yang menarik diri daripada bertanding Bebas dan memberikan sokongan penuh kepada calon GPS, Friday Belik di Krian, manakala tiga lagi ahli Bersatu enggan berbuat demikian.

Sementara itu, Jeniri berkata, beliau percaya biarpun Ali sudah mengumumkan untuk menarik balik pencalonannya namun tidak mustahil masih terdapat ramai penyokong kekal memberikan undi kepadanya pada PRN nanti.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, beliau berpandangan Ali tetap mendapat sokongan penyokongnya yang akan memberikan undi protes dan masalah komunikasi untuk menyampaikan mesej kepada pengikutnya di ratusan kawasan rumah panjangan di Sarawak supaya pengikutnya memangkah calon GPS pada PRN Sarawak nanti.

“Untuk membuktikan Ali memang ikhlas membantu kemenangan calon GPS kita boleh lihat dari segi jumlah majoriti diperoleh wakil GPS dan undi sebenar diperoleh Naib Presiden Bersatu itu sendiri di hari pengundian, pada 18 Disember nanti. Jika undi diperoleh oleh Ali besar maka wujud persoalan?”



Dalam pada itu, Jeniri berkata GPS perlu komited untuk selesaikan pelbagai masalah kekurangan kemudahan asas di Sarawak termasuklah isu jalan raya, bekalan air terawat, elektrik dan akses internet di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya masalah berkenaan adalah isu utama dihadapi masyarakat luar bandar dan pedalaman bukan hanya di kawasan rumah panjang menjadi penempatan kaum Iban, Dayak dan Melayu-Melanau di Sarawak.

Demi jaga hubungan dengan GPS, Bersatu terpaksa pecat ahli tanding bebas


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ustaz Ebit Liew dipanggil Prince Salman di Brazil



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker