Akan berakhirkah buli?

SESIAPA yang pernah bersekolah di mana-mana sekolah berasrama, amat faham tentang budaya buli. Bukan budaya baru tapi memang telah lama wujud sejak sekian lama, bahkan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. SBP, MRSM, teknik, vokasional, SMKA, SMA, SAM bahkan sekolah harian…. tidak jauh beza antara satu dengan yang lain.

2. Di sekolah ada samseng dari kalangan pelajar senior. Dia akan membuli pelajar junior dengan caranya. Di sekolah juga ada pengawas dari kalangan senior. Dia juga akan membuli pelajar junior dengan caranya yang tersendiri. Bahkan adakalanya AJK badan dakwah yang senior juga membuli pelajar junior, cuma ia dilakukan dengan caranya sendiri.

3. Buli boleh berlaku secara spontan dan kemudiannya boleh terlajak menjadi jenayah yang berat.



Kadang-kadang pelajar senior potong barisan semasa mengambil makanan di dewan makan. Pelajar junior terpaksa menunggu lama. Ini satu bentuk buli.

Kadang-kadang pengawas senior denda pelajar junior cuci tandas atas sikit kesalahan yang tidak dibawa untuk diadili di mana-mana peringkat. Ini juga satu bentuk buli.

Kadang-kadang AJK badan dakwah berkumpul dan bagi tazkirah secara berjemaah kepada pelajar nakal di dalam bilik ‘PA system’ surau di tengah malam dengan lampu tertutup. Ini pun buli juga sebenarnya.

4. Pelajar sekolah menengah adalah remaja yang keliru identiti. Mereka baru baligh dan terperangkap antara alam kanak-kanak dan alam dewasa. Otaknya otak kanak-kanak tapi tubuhnya badan orang dewasa. Emosi tidak stabil. Kematangan belum sempurna. Mereka mahu perhatian rakan-rakan sekeliling. Mereka mahu mencuba semua benda yang akan menjadikan mereka dilihat dewasa. Pelajar sekolah harian dan pelajar sekolah berprestasi tinggi yang cerdik, sama sahaja dari sudut ini.



5. Dengan perkembangan remaja di usianya yang sedemikian, kita kumpulkan pula mereka sampai ratusan orang di satu kawasan yang sempit, kemudian kita campurkan antara yang menengah rendah dan menengah atas, kemudian kita tak mahu melabur banyak dalam menggaji warden khas dan masih membebankan tugasan menjaga pelajar kepada guru-guru yang sudah kepenatan mengajar sepanjang hari … adakah kita menjangkakan kes buli dalam apa juga bentuk buli akan berakhir?

6. Tanpa merujuk secara khusus kepada mana-mana insiden yang berlaku, saya meletakkan tanggungjawab memastikan asrama sekolah menengah selamat dari buli yang berakhir dengan jenayah ini ke atas bahu pentadbiran sekolah. Banyak aspek yang boleh diperhatikan dan ditambah baik.

Kesan Kes Buli MRSM: Adakah Buli sudah sampai ke tahap serius



Pelajar senior akan terus membuli pelajar junior dalam apa juga bentuk buli. Saya tak rasa ada asrama yang suasananya seperti khayalan sebahagian ibu bapa … sopan santun, berkasih sayang, tolong menolong, senior mengasihi junior … saya tak rasa begitu.

Tetapi apa yang penting adalah pentadbiran sekolah perlu sentiasa memastikan kes-kes buli tidak bertukar kepada jenayah yang berat. Dan saya rasa kebanyakan pentadbiran sekolah berjaya di dalam mengawal pelajar dari melakukan jenayah berat.

7. Dan satu lagi aspek yang penting yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa adalah jika hantar anak ke asrama pastikan anak-anak memang boleh belajar berdikari. Berdikari bukan bermaksud boleh basuh baju sendiri sahaja, tetapi juga boleh pertahankan diri sendiri.

Semasa saya masuk asrama, saya pegang nasihat seorang pengawas. Dia kata aku masa masuk sekolah ni ayah aku bagi aku pisau, dia pesan guna pisau ni kalau ada orang kacau. Ada kawan-kawan saya yang tiap kali berjalan ke kelas dan ke mana-mana bawa spanar besi dalam beg, bersedia untuk apa juga kemungkinan.



Keselamatan diri adalah tanggungjawab kita sendiri. Ajar anak-anak kita untuk jaga keselamatan diri sendiri.

8. Tetapi ada satu noktah yang menakutkan. Noktah ini adalah noktah perbezaan antara buli zaman dulu dan zaman sekarang.

Buli zaman saya dahulu, pembuli masih ada hormat pada guru. Mereka nakal dan suka usik mengusik cuma kadang-kadang terlajak.

Buli zaman sekarang nampaknya dilakukan oleh orang yang tidak hormat guru pun.



Bahkan dilakukan memang dengan niat jahat ingin mencederakan.

Ramai kawan-kawan saya pembuli semasa sekolah jadi orang berguna dalam masyarakat sekarang. Mungkin sebab dulu buli itu dilatari oleh sifat nakal bukan jahat.

Tapi masa depan pembuli hari ini, kita memang patut bimbang kerana sebahagian kes yang berlaku memang dengan niat jahat, dendam kesumat dengan niat mencederakan dan tanpa sebarang ketakutan atau hormat pada peraturan dan guru.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)



Akan berakhirkah buli?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kes buli: Imej MRSM tidak tercalar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker