Ramai suami liat bayar nafkah

 

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan untuk melaksanakan perintah hiwalah bagaikan memberi sinar baharu khususnya buat anak dan isteri yang teraniaya kerana tindakan segelintir suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah.

Masalah pengabaian tanggungjawab dalam pemberian nafkah ini sering kali didengari dan menjadi antara masalah utama apabila berlaku perceraian.



Berdasarkan statistik Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), jumlah kes tuntutan nafkah isteri dan anak berjumlah 5,964 kes dalam tempoh lima tahun iaitu sejak 2017 hingga Oktober 2021.

Daripada jumlah itu, kes tuntutan nafkah anak yang direkodkan dalam tempoh lima tahun berjumlah 4,529 kes. Sepanjang tahun ini sahaja, sejumlah 493 kes tuntutan nafkah anak direkodkan sehingga Oktober.

Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, selain nafkah anak, pihaknya turut mengendalikan kes melibatkan beberapa jenis tuntutan lain seperti nafkah isteri, nafkah iddah dan mutaah.

“Dalam tempoh lima tahun ini, jumlah kes melibatkan tuntutan nafkah isteri adalah sebanyak 252 kes, nafkah iddah sebanyak 520 kes dan mutaah sebanyak 663 kes.



“Negeri yang mencatatkan kes tunggakan nafkah tertinggi adalah Selangor iaitu sebanyak 150 kes untuk tahun ini sahaja.

“Bagaimanapun statistik ini adalah berdasarkan aduan yang diterima dan tidak menggambarkan secara keseluruhan pengabaian nafkah di negeri tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Pecahan kes tuntutan nafkah mengikut tahun.
Pecahan kes tuntutan nafkah mengikut tahun.

 

Kerajaan telah membuat pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta diwartakan pada 10 Februari lalu. Pindaan ini membolehkan suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah, berdepan tindakan sekatan akaun bank.



Mohd Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie mengakui terdapat kes membabitkan suami yang sudah lebih 10 tahun tidak membayar nafkah isteri manakala kebanyakan kes hanya diketahui pihak mahkamah selepas pasangan tersebut bercerai dan bekas isteri membuat tuntutan nafkah tertunggak.

“Kebanyakan kes membabitkan suami cuai memberi nafkah kepada isteri. Jumlah nafkah tersebut ditentukan oleh mahkamah syariah dengan mengambil kira keperluan anak dan kemampuan bapa. “Terdapat rekod di mana pihak suami tidak menyediakan langsung nafkah kepada isteri dalam tempoh perkahwinan, malah ada juga kes yang telah diputuskan oleh mahkamah tidak dilaksanakan oleh suami walaupun kadar yang diputuskan sebanyak RM300,” katanya.

Jelas beliau, antara alasan suami atau bekas suami yang enggan membayar nafkah adalah mereka kurang berkemampuan kerana jumlah pendapatan sedikit. Selain itu, tanggungan dan hutang yang terlalu banyak menyebabkan mereka sukar menyediakan nafkah anak atau isteri.“Ada juga suami mendakwa terdapat persetujuan sebelum berkahwin untuk bersama-sama menanggung kos keperluan sepanjang tempoh perkahwinan.

“Bagi kes nafkah anak pula, kebanyakan alasan ialah bekas isteri tidak benarkan untuk bertemu anak-anak atau berhubung dengan anak,” jelas Mohd Na’im.



KURANG BUKTI PUNCA ISTERI TAK TUNTUT NAFKAH

Tidak mahir tentang prosedur tuntutan dan kekurangan bukti menyebabkan ada antara bekas isteri mengambil keputusan untuk tidak membuat tuntutan nafkah di mahkamah.

Mohd Na’im berkata, kurang berkemampuan untuk hadir dan mendaftarkan kes tuntutan nafkah di mahkamah juga menjadi faktor.

Lebih parah katanya, ada bekas isteri yang tidak menuntut nafkah kerana kekurangan bukti-bukti dokumen untuk disediakan kepada mahkamah seperti resit-resit pembelian kerana wanita itu tidak menyangka akan berlaku perceraian.



“Justeru, dengan adanya Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM, ini sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan mereka membuat tuntutan nafkah tertunggak di mahkamah melalui khidmat guaman yang diberikan.

 

Kes tuntutan nafkah mengikut negeri dari tahun 2017-2021.
Kes tuntutan nafkah mengikut negeri dari tahun 2017-2021.

 

“Bekas isteri yang tidak berkemampuan juga boleh mendapatkan khidmat guaman syarie secara percuma daripada BSK dan mereka juga boleh mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman yang menyediakan perkhidmatan guaman kepada bekas isteri yang tidak mampu.



“Antara peranan Jabatan Bantuan Guaman adalah memberi nasihat dalam semua perkara undang-undang syariah, menyediakan khidmat peguam dalam perbicaraan di mahkamah syariah yang termasuk di bawah bidang kuasanya serta menjalankan proses pengantaraan bagi tujuan menyelesaikan pertikaian secara damai dan sukarela,” jelasnya.

Sementara itu, kata Mohd Na’im, pihak JKSM menerima respons yang baik selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari lalu.

Ia membolehkan suami atau bekas suami yang culas memberi nafkah, akan berdepan tindakan sekatan akaun bank.

“Jabatan ini telah menerima respons yang amat baik terutamanya daripada pihak bekas isteri atau ibu tunggal berhubung dengan tindakan sekatan atau pembekuan akaun ini.

“Malah, masyarakat juga amat menyokong tindakan tersebut diambil ke atas bekas suami dan bapa yang culas membayar nafkah,” ujarnya.

Ramai suami liat bayar nafkah

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Arab Saudi dikecam netizen, konsert Bieber halal, Tabligh haram

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker