Belum ada keperluan laksana semula PKP

SHAH ALAM – Pakar kesihatan awam berpendapat masih tiada keperluan untuk Malaysia segera kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun terdapat satu kes varian dibimbangi (VOC), Omicron dikesan di negara ini.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, situasi penularan Covid-19 di dalam negara pada ketika ini tidak memberikan indikasi supaya sekatan pergerakan menyeluruh perlu dilaksanakan.Beliau berkata, antara indikator yang dimaksudkan adalah peningkatan kes tidak terkawal sehingga membebankan sistem kesihatan, kadar kematian dan kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) yang tinggi.

“Itu faktor yang perlu kita lihat. Pada saya, pelaksanaan PKP adalah jalan terakhir sekali kerana jika dilakukan, ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara yang baru sahaja menunjukkan sedikit peningkatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes pertama varian Omicron melibatkan pengembara bukan warganegara dari Afrika Selatan.

Khairy berkata, pelajar terbabit sudah diarah menjalani kuarantin diri selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November lalu.



Mengulas lanjut, Dr Mohd Dzulkhairi berkata, masih banyak maklumat perlu diperoleh mengenai varian baharu tersebut sebelum sebarang tindakan boleh diambil.

“Kita perlu mendapatkan banyak lagi data dan kajian terperinci, contohnya mengenai cara penularan, kadar jangkitan dan sejauh mana ia berbahaya.

“Dari situ barulah kita boleh mengambil tindakan berlandaskan fakta sains dan kajian,” ujar beliau.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan rakyat supaya meningkatkan kewaspadaan dengan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.



“Kita perlu sentiasa mengikut SOP ditetapkan iaitu sentiasa basuh tangan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan mengelakkan berada di tempat sesak.

“Untuk majikan juga, saya rasa buat masa ini, jika sesuatu kerja itu boleh dilakukan dari rumah, lebih baik ia terus dilaksanakan tanpa perlu ke pejabat bagi mengurangkan kebarangkalian risiko apabila kita berhadapan dengan orang ramai,” katanya.

Belum ada keperluan laksana semula PKP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker