Penternak ayam ‘selesa’, peniaga yang tersepit

GEORGETOWN: Penternak ayam dikatakan antara kumpulan yang berada di kedudukan ‘selesa’ ketika ini berban­ding peniaga yang terus tersepit dengan isu kenaikan harga barangan kawalan itu.

Ini berikutan, penternak me­rupakan pengeluar dan sentiasa mendapat tempahan dengan bilangan puluhan ribu ekor ayam setiap masa.

Difahamkan, harga jualan ayam hidup di peringkat penternak adalah sekitar RM6.50 sekilogram manakala pemborong kepada pembekal adalah RM6.80 sekilogram dan harga akhir kepada peniaga pasar adalah RM8.60 sekilogram.

Keuntungan perniagaan pula dikatakan hanya mampu dinikmati oleh syarikat besar yang membeli ayam hidup dalam kuantiti yang banyak dan tidak kepada peniaga kecil di pasar dengan jumlah pembelian kurang 300 ekor sehari.

Seorang peniaga ayam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 44, berkata, peniaga sepertinya lebih tertekan dengan isu harga ayam standard ketika ini iaitu pada harga RM9.50 sekilogram seperti ditetapkan kerajaan.

“Penternak ayam sebenarnya lebih semakin mewah dan selesa. Mereka mengeluarkan ayam hidup mengikut permintaan serta ‘berkuasa’ menaikkan harga di peringkat peladang.

“Kami berdepan kerugian berat ayam susut serta kos membuang najis, bulu dan perut bagi ayam hidup yang kini naik sehingga RM2.04 bagi setiap 300 gram tetapi hanya dikira RM1.80 sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Nordin memberitahu, jualan ayam segar standard pada harga RM9.50 sekilogram yang ditetapkan pihak berkuasa tidak berbaloi sekali gus mendatangkan bebanan berganda buat peniaga.

“Saya pening kepala fikir di mana hendak dapatkan sumber wang lagi untuk beli stok ayam. Duit simpanan sudah semakin susut digunakan, untung langsung tak nampak,” keluhnya.

Dalam perkembangan sama, dia menolak dakwaan isu kenaikan harga ayam berpunca daripada penglibatan beberapa rangkaian orang tengah.

“Perniagaan ayam tidak sama seperti jualan hartanah yang memerlukan lebih lima hingga 10 orang tengah. Perniagaan ini dilakukan secara terus iaitu daripada peringkat penternak, pemborong, pembekal dan peruncit atau peniaga,” tambahnya.  – UTUSAN

Penternak ayam ‘selesa’, peniaga yang tersepit


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Wan Saiful, BR1M itu dedak kan, bukan cash transfer? – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker