Peluang sekali lagi untuk UMNO

KEKALAHAN Perikatan Nasional (PN) mulanya agak mengejutkan. Tetapi apabila difikirkan, ia tidaklah mengejutkan sangat. Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi. Ia tidak lagi boleh mengharapkan undi orang Cina dan undi tsunami Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia hanya mengharapkan pengundi Pas dan sebahagian pengundi Melayu yang berpuas hati dengan kerajaan PN diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tanpa golongan kedua yang disebut dalam ayat sebelum ini, ia pasti gagal. Demi perpaduan orang Melayu, Bersatu lebih baik dibubarkan. Ia hanya menunggu masa untuk terkubur. Pemimpin-pemimpinnya yang telah melompat keluar daripada UMNO eloklah kembali semula kepada UMNO dan UMNO hendaklah menerima mereka dengan baik.



Pas yang kurang senang dengan UMNO atas sebab-sebab yang telah saya sebut sebelum ini, eloklah berfikir semula siapa yang patut menjadi gandingannya pada PRU15.

Pas tentu berfikir mengenai masalah pembahagian kawasan pilihan raya untuk ditandingi masing-masing di Kelantan, Terengganu dan Kedah jika bekerjasama dengan UMNO.

Saya syorkan di Kelantan dan Terengganu, UMNO dan Pas boleh menentang antara satu sama lain. Tidak ada kemungkinan kerajaan Kelantan atau Terengganu akan jatuh kepada PH.

Pas boleh bekerjasama dengan Bersatu di Kelantan dan Terengganu. Tiada masalah. Yang akan menang ialah Pas atau UMNO. Sebenarnya, perbezaan antara kedua-duanya di Kelantan dan Terengganu hanya orangnya. Yang lain sama.



Formula di Kelantan dan Terengganu boleh dipakai di Kedah atau UMNO dan Pas (malah adalah lebih baik jika ia berbuat demikian) kembali kepada Muafakat Nasional (MN) dan bekerjasama pada PRU15 untuk mengelak pertembungan sesama sendiri yang berkemungkinan memberi kemenangan kepada PH.

Pas tidak akan rugi dengan meninggalkan Bersatu di Kedah. Pada PRU14, pengundi-pengundi Melayu di Kedah mengundi Bersatu kerana Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sekarang tidak mungkin mereka akan mengundi Bersatu kerana Muhyiddin. Pas juga tidak boleh mengulangi prestasinya pada PRU14. Keadaan telah berubah.

Di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, UMNO dan Pas hendaklah bekerjasama untuk mengelak pertembungan antara kedua-duanya. Ia untuk mengelak kemenangan PH. Itu adalah matlamat paling utama, bukan menguji kekuatan masing-masing yang menyebabkan kedua-duanya kalah. Itu kerja Pak Pandir.



Najib Gesa i-Citra RM10k , Bandar Malaysia Tukar Jadi Bandar ASEAN

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang calon-calonnya hanya sekadar mendapat jumlah undi sebanyak dua angka masing-masing, eloklah berfikir sedalam-dalamnya sama ada ia perlu terus dikekalkan.

Pengundi-pengundi Melayu telah menunjukkan bahawa mereka telah serik dengan pemerintahan PH selama 22 bulan itu, bahawa mereka muak dengan politiking yang melampau, bahawa mereka tidak menerima perbuatan lompat melompat parti demi kepentingan diri, bahawa mereka mahu kembali kepada ketenangan 60 tahun zaman pemerintahan UMNO/BN dan orang Melayu mahu Melayu bersatu serta kuat semula. Itulah yang parti-parti Melayu perlu ambil perhatian.



Pengajaran paling penting kepada UMNO adalah ia mesti sedar bahawa orang Melayu memberinya peluang sekali lagi. UMNO bukan indispensable (diperlukan).

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya janganlah angkuh serta mengulangi amalan politik wang yang menjadi kanser, merebak daripada dalam.

Pemimpin-pemimpin UMNO juga hendaklah berhenti daripada terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kedua-dua faktor inilah yang telah membawa kepada kejatuhan UMNO pada PRU14.

Perlu diingati bahawa kemenangan UMNO/BN pada PRN Melaka bukanlah kemenangan bagi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ia adalah in spite of him kerana PRN itu bukanlah untuk membolehkannya menjadi Ketua Menteri Melaka atau Perdana Menteri Malaysia.



Orang Melayu mengundi UMNO/BN kerana sumbangan UMNO kepada mereka dan negara sejak merdeka. Mereka sanggup memejamkan mata seketika daripada melihat titik hitam dalam sejarah UMNO dengan harapan ia akan membersihkan diri selepas ini.

Dalam kata-kata lain, orang Melayu masih mahukan UMNO tetapi mereka mahu UMNO berubah. Untuk berubah, Ahmad Zahid perlu berundur atau disingkirkan daripada menjadi Presiden UMNO.

Demikian juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi liability kepada UMNO. Hanya dengan cara itu UMNO akan dapat menarik semula pengundi-pengundi yang lari daripadanya pada PRU14.

Mereka boleh membantu kempen UMNO daripada belakang seperti yang dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRN Melaka. Elok juga mereka memberi balik apa yang mereka peroleh daripada UMNO selama ini.



Kepada ahli-ahli UMNO, ingin saya peringatkan bahawa memekik ‘Hidup Bossku’ sebagai merayakan kemenangan PRN Melaka itu bukan satu cara yang betul. Ia memakan diri sendiri (counter-productive).

Kita perlu memikirkan akibatnya sebelum berbuat sesuatu, bukan mengikut emosi.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Najib sindir Mahathir isu tanah Langkawi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker