Gejala pneumonia bertambah buruk

Gejala pneumonia bertambah buruk

RAMAI ibu bapa menyangka gejala radang paru-paru atau pneumonia ini adalah penyakit biasa seperti selesema dan boleh dirawat dengan ubat batuk serta paracetamol dibeli di farmasi hingga keadaan bertambah buruk, baru mendapatkan rawatan doktor.

Lebih membimbangkan, kanak-kanak yang menghidap pneumonia sering dikesan ketika peringkat sudah parah. Gejala dan tanda pneumonia berbeza dan ini banyak dipengaruhi oleh kuman yang menjangkiti.



Tidak hairan di peringkat global, 12 November dikenang sebagai Hari Pneumonia sejak 2009, namun kini tahap kesedaran orang ramai masih rendah, meskipun penyakit itu menduduki carta kedua teratas punca kematian di Malaysia.

Dalam Laporan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia 2020, penyakit pneumonia dikenal pasti sebagai penyebab kematian kedua tertinggi pada 12.2 peratus selepas jantung iskemik (15 peratus), diikuti angin ahmar (lapan peratus), kemalangan jalan raya (3.8 peratus) dan ketumbuhan dengan kanser pada trakea, bronkus dan paru-paru (2.4 peratus).

Disebabkan itu, langkah memberi vaksin ketika masih bayi membantu menguatkan sistem imunisasi kanak-kanak untuk melawan pelbagai jenis virus atau bakteria di sekeliling kita setiap masa.

Risiko jangkitan pneumonia



Pakar Perubatan Respiratori, Dr Ummi Nadira Daut, berkata pneumonia adalah jangkitan yang boleh berlaku akibat virus, bakteria atau kulat pada paru-paru akan mengakibatkan masalah pernafasan.

“Radang atau inflamasi pada paru-paru berlaku apabila alveoli dipenuhi dengan sel inflamasi dan akibatnya pertukaran gas-gas terjejas.

Golongan berisiko mendapat pneumonia adalah bayi dan kanak-kanak berusia dua tahun atau kurang serta golongan berusia 65 tahun atau lebih tua.

“Namun, dengan pandemik COVID-19, pesakit kencing manis, hipertensi pulmonal, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan asma turut berisiko mendapat jangkitan pneumonia.



“Selain itu, ia berisiko tinggi kepada mereka yang mempunyai sistem imunisasi lemah, iaitu golongan kurang daya tahan seperti penghidap AIDS, pesakit sedang mendapat rawatan kemoterapi atau steroid, kegagalan buah pinggang dan penghidap kanser, perokok dan dirawat di hospital,” katanya.

Paru-paru bernanah

Dr Ummi Nadira yang juga Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata lazimnya pesakit ini mengalami pneumonia sama ada peringkat ringan atau hingga berisiko maut.

“Tanda radang paru-paru paling biasa termasuk batuk yang boleh menghasilkan kahak (lendir), demam, berpeluh, menggigil, sesak nafas dan sakit dada.



“Lain-lain gejala boleh berbeza-beza mengikut sebab dan keterukan jangkitan, usia dan kesihatan umum individu.

“Kajian mendapati kira-kira 20 peratus penderita radang paru-paru akan mengalami masalah jantung dan mungkin disebabkan penyebaran jangkitan itu.

“Sekiranya jangkitan berlaku pada paru-paru ia akan turut membabitkan bakteremia atau kejutan septik, hingga membuatkan mungkin tidak mampu menyalurkan darah secukupnya pada buah pinggang sekali gus mengakibatkan kegagalan fungsi organ,” katanya.

Komplikasi pneumonia mungkin akan menyebabkan paru-paru bernanah dan ia lebih mudah terjadi sekiranya sistem imun badan lemah serta komplikasi paru-paru berair.



Ambil vaksin COVID-19

Justeru, pengambilan vaksin berupaya mengekang penularan pneumonia apatah lagi vaksin COVID-19 dilulus untuk digunakan mempunyai tahap keberkesanan tersendiri.

“Di negara ini, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan bagi mengekang wabak COVID-19. Keberkesanan vaksin terbabit bergantung kepada jenis vaksin namun keberkesanan adalah sekitar 60 hingga 90 peratus.

“Program terbabit diharap dapat membentuk imuniti kelompok bagi rakyat Malaysia dalam usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran virus COVID-19. Imuniti kelompok dapat disimpulkan sebagai perlindungan daripada penyakit berjangkit yang terbentuk apabila sebahagian besar kelompok masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada jangkitan penyakit terbabit,” katanya.



Vaksin melatih sistem ketahanan tubuh badan seseorang untuk membentuk antibodi bagi melawan penyakit, situasi yang sama terjadi sekiranya seseorang terdedah kepada penyakit namun vaksin berfungsi tanpa membuat seseorang jatuh sakit.

Kaitannya dengan asma

Mengenai dakwaan ubat-ubatan asma berupaya meningkatkan risiko pneumonia, Dr Ummi Nadira menjelaskan, ubat-ubatan pencegah steroid secara sedutan membantu mengurangkan keradangan saluran udara bagi pesakit asma.

“Namun, pesakit COPD yang menggunakan kortikosteroid tersedut (ICS) mempunyai peningkatan risiko radang paru-paru, tetapi kurang diketahui sama ada rawatan ICS dalam asma juga meningkatkan risiko radang paru-paru.

“Berdasarkan kajian pernah dijalankan, asma dikaitkan dengan risiko tiga kali lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital untuk radang paru-paru, berikutan terdapat analisis mencadangkan perbezaan intrakelas antara sebatian ICS apabila membabitkan risiko radang paru-paru, namun harus disahkan dalam ujian klinikal berskala besar,” katanya.

Tidak semua pesakit akan dimasukkan ke hospital, tetapi diberi rawatan sebagai pesakit luar.

“Biasanya antibiotik diberi secara ‘oral’ serta pesakit dinasihatkan supaya banyak minum air dan berehat di rumah. Ubat batuk dibeli di kedai tidak berkesan untuk rawatan pneumonia.

“Jika simptom tidak berubah atau bertambah teruk atau berlaku komplikasi, penjagaan di hospital diperlukan. Mereka didapati sukar untuk bernafas, mempunyai penyakit lain dan yang lanjut usia, juga akan dimasukkan ke hospital,” katanya.

Pneumonia disebabkan oleh bakteria dirawat dengan antibiotik selama tujuh hingga 10 hari.

Buat masa ini, tiada rawatan spesifik untuk kebanyakan pneumonia yang disebabkan oleh virus. Jangkitan H1N1 dirawat dengan ubat oseltamivir.

INFO:

Panduan elak penyakit radang paru-paru.

* Kekalkan amalan cara hidup sihat.

* Amalkan kebersihan diri dan persekitaran

* Teruskan penyusuan susu ibu

* Imunisasi cegah jangkitan kuman di paru-paru.

* Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles)

– Wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Negara.

* Vaksin influenza

– Untuk kanak-kanak berisiko hidap pernafasan kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan.

* Vaksin pneumococcal

– Untuk kanak-kanak berisiko tinggi contohnya yang tiada limpa, sakit buah pinggang kronik dan lemah sistem pertahanan badan. BH

Gejala pneumonia bertambah buruk


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi baharu mula dijual, harga bermula RM45,700

Fitnah terbaru RM100j, Najib sekolahkan balik Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker