Desakan Muhyiddin letak jawatan, apa kesudahannya?

Desakan Muhyiddin letak jawatan, apa kesudahannya?

Oleh Nasser Anfani

Pagi ini, beberapa menteri dan Peguam Negara, Idrus Harun, dilaporkan bermesyuarat dengan Muhyiddin Yassin di kediaman Perdana Menteri itu.

Hasil perbincangan tidak diketahui lagi tetapi tentunya “selamat” untuk diramalkan bahawa ia berkaitan pengumuman Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno tidak lagi menyokong Muhyiddin dan mahu beliau meletak jawatan dengan segera.

Di Malaysia, desakan supaya perdana menteri meletak jawatan lazim dibuat pembangkang dan tidak diendahkan. Tuntutan sedemikian jarang dibuat oleh parti komponen terbesar dalam kerajaan, namun itulah yang berlaku awal pagi ini.

Ramai yang menjangka MKT Umno malam tadi akan membuat keputusan sama ada untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.

Sebaliknya, selepas lebih empat jam bermesyuarat, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk “hanya” menuntut Muhyiddin meletak jawatan serta-merta bagi membolehkan perdana menteri baharu dilantik.

Zahid tidak menyatakan secara jelas kedudukan Umno dalam kerajaan PN, mahu pun tindakan susulan parti sekiranya Muhyiddin tidak meletak jawatan. Mungkin itu untuk fasa seterusnya.

Jika diteliti kenyataan Zahid Hamidi itu, ia boleh ditafsirkan Umno belum lagi mengangkat kaki keluar daripada kerajaan PN. Cuma parti itu, sebagaimana yang digambarkan Zahid, sudah hilang sama sekali kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin, justeru, mahu beliau meletak jawatan serta-merta.

Desakan untuk Muhyiddin meletak jawatan beralaskan tujuh ‘kegagalan’ kerajaan pimpinan beliau, termasuk sikap ‘biadab’ terhadap Raja-raja Melayu dan pengurusan wabak Covid-19 yang lembap.

Ia tekanan terbuka yang paling serius oleh Zahid terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Dalam politik, segalanya adalah mungkin, namun sebagai ahli politik veteran, Muhyiddin tentunya tidak mahu dilihat sebagai tunduk kepada desakan Zahid untuk berundur selepas hanya menerajui negara kurang dua tahun.

Persoalannya apakah langkah Zahid jika Muhyiddin tidak akur kepada desakan itu? Apakah hanya selepas disahkan Muhyiddin tidak akan meletak jawatan baharu Zahid akan bertindak secara nyata mengeluarkan Umno daripada kerajaan PN?

Sehingga ini, masih belum jelas tahap sokongan 38 Ahli Parlimen terhadap usaha Zahid menamatkan kerjasama Umno dengan Muhyiddin, PN, dan Bersatu. Sudah tentu tahap sokongan itu diambil kira oleh Zahid sebelum menuntut Muhyiddin berundur.

Namun, sebarang keputusan untuk mengeluarkan Umno daripada PN, tidak semudah difikirkan, jika diambil kira jumlah besar pemimpin Umno yang meraih pelbagai jawatan dan ganjaran dalam kerajaan Muhyiddin.

Namun, pada masa sama, Zahid hanya memerlukan beberapa kerat Ahli Parlimen Umno untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin bagi ‘melandaikan’ terus sokongan rapuh untuk beliau di Dewan Rakyat, dengan bantuan pembangkang, khususnya, Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin dilaporkan mempunyai sokongan kira-kira 114 Ahli Parlimen berbanding 108 di sebelah pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Tidak semua yang diluahkan Zahid semalam berita suram untuk PN. Hakikat bahawa Zahid sendiri mengesahkan sekali lagi bahawa Umno menolak Anwar Ibrahim dan PH, membayangkan parti itu belum bersedia menjadi sekutu pembangkang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Bermakna, buat masa ini, Umno masih bersedia terus duduk dalam PN, tetapi mahu kaptennya (Muhyiddin) digantikan. Apakah demi menyelamatkan PN, Muhyiddin sanggup menunaikan tuntutan Zahid itu?

Atau Muhyiddin yakin beliau mempunyai sokongan untuk mengekalkan majoriti rapuh di Parlimen dan tak perlu ambil kisah dengan tuntutan Zahid itu?

Apakah peranan PAS berhubung tuntutan Zahid? PAS sebelum ini mengisytiharkan kesudian menjadi orang tengah dalam mendamaikan Bersatu-Umno demi memastikan kelangsungan kerajaan PN, khususnya dalam menghadapi PRU15.

Muhyiddin tentunya memerlukan keyakinan bahawa PAS dengan 18 Ahli Parlimennya akan terus menyokong beliau jika sokongan untuk kerajaan “diuji” menerusi sebarang usul di Parlimen.

Apakah dalam komitmen untuk memastikan PN terus berkuasa, maka PAS tidak sekadar menjadi “pemerhati” tetapi memainkan peranan lebih rancak dalam perbalahan Zahid-Muhyiddin?

Tentunya PAS akan berpandukan kepada perkiraan sendiri mengenai kelangsungan PN, sekiranya kalangan Ahli Parlimen parti itu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.

Sekalipun Muhyiddin meletak jawatan, apakah formula yang bakal digunakan untuk melantik perdana menteri baharu? Apakah Umno boleh mengidamkan jawatan tertinggi itu susulan pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri?

Namun, jika MKT merestui perlantikan Ismail sebagai TPM, bermakna ia melanggar keputusannya sendiri untuk tidak lagi menuntut atau menerima jawatan itu jika ditawarkan Muhyiddin.

Ada yang melihat sidang media Zahid selepas 1 pagi tadi menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan tetapi ia mungkin hanya strategi dalam percaturan politik yang berlaku sekarang.

Kedudukan Umno (termasuk menteri-menterinya) dalam PN masih belum jelas dari sudut pendirian MKT. Ia tidak disentuh oleh Zahid pagi tadi.

Pendirian MKT terhadap pelantikan Ismail sebagai TPM dan Hishamuddin Hussein sebagai menteri kanan oleh Muhyiddin juga tidak dikupas oleh presiden parti.

Apa pun, pemerhati politik dan banyak pihak berkepentingan dalam dan luar Umno serta PN menantikan reaksi Muhyiddin terhadap tuntutan Zahid yang mahukan beliau meletak jawatan serta-merta.

Yang pasti “drama” politik melibatkan Zahid-Muhyiddin yang berkait rapat dengan nasib atau “survival” PN dan Umno akan terus bergelodak untuk beberapa ketika lagi. FMT


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pekebun haram Musang King peroleh Rm420j semusim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker