Pegawai JKM didakwa guna wang bantuan baiki rumah

Sebaran :

Pegawai JKM didakwa guna wang bantuan baiki rumah

ALOR SETAR: Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah berjumlah RM9,000 pada 2016 dan 2017.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Zarir Mohamad Khozali, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri [email protected]

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan P Nagajothi di Pejabat JKM Kulim pada 15 Mac 2017.



Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Zarir didakwa menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah RM3,000 milik Umi Kalsom Awang di Pejabat JKM Kulim pada 19 September 2016 .

Pertuduhan ketiga, dia didakwa menyalahgunakan wang bantuan membaiki rumah sebanyak RM3,000 kepunyaan M Jothi pada 15 Mac 2017 di lokasi sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun berserta sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hakim Hamran.



Mohd Zulfadli kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam tertuduh merayu jaminan lebih rendah dikenakan berikutan anak guamnya akan digantung kerja dan bakal menerima bayaran separuh gaji saja.

Tertuduh juga mempunyai tanggungan iaitu isteri dan empat anak, selain turut menanggung kedua ibu bapa berusia 68 dan 65 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain perlu mematuhi syarat ditetapkan.

Harmi Thamri menetapkan tarikh 16 Disember depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan.



Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar berserta seorang penjamin. BH

Pegawai JKM didakwa guna wang bantuan baiki rumah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gangguan seksual berleluasa dalam industri hiburan

Mawar Rashid dilabel materialistik


Sebaran :

Leave a Reply