Mengejutkan! Skandal pingat Istana England terbongkar!

LONDON – Skandal pemberian pingat kepada individu tertentu sebagai balasan terhadap sumbangan wang ringgit yang diberikan untuk pemulihan projek-projek tertentu di United Kingdom (UK) telah menggegarkan Istana Buckhingham, England sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, ia mendapat perhatian ramai pihak di England setelah berita Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Putera, Michael Fawcett meletakkan jawatan secara rasmi pada Jumaat lalu.

Sebelum ini Fawcett, 59, menggantung tugasnya sendiri daripada jawatannya itu selepas pihak media mendedahkan hubungan beliau dengan seorang bilioniar Arab Saudi, Mahfouz Marei Mubarak bin Mahfouz, 51.



Micheal Fawcett meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Putera. - Agensi
Micheal Fawcett meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Putera. – Agensi

 

Bilionair itu dilaporkan menyumbang sejumlah wang untuk memulihkan projek-projek berkaitan dengan kepentingan Putera Wales, Putera Charles, 72.

Putera Charles ialah pewaris pertama takhta pemerintah England, Ratu Elizabeth II, 95, yang juga merupakan bondanya.

Anakanda Putera Charles, Putera William, 39, ialah pewaris kedua takhta England.



Putera William - Foto Agensi
Putera William – Foto Agensi

 

Yayasan Putera pula terkenal dengan kerja-kerja kebajikan yang ditubuhkan oleh Putera Charles manakala pada tahun 1998 Fawcett dilantik menjadi CEO yayasan tersebut oleh pewaris takhta England itu.

Fawcett meletakkan jawatan di tengah-tengah siasatan dalaman dilakukan oleh yayasan berkenaan berhubung skandal apa yang dikenali sebagai pemberian wang tunai untuk mendapatkan status kehormatan untuk diri sendiri.

Perjalanan hidup bekas CEO itu juga amat menarik kerana beliau meningkat naik dalam kerjaya di istana England. Fawcett pada asalnya bertugas sebagai valet kepada Putera Charles pada tahun 1981 ketika masih terlalu muda dan rapat pula dengan Ratu Elizabeth II.



 

Ratu Elizabeth II - Foto Agensi
Ratu Elizabeth II – Foto Agensi

 

Beliau dituduh melakukan kerja-kerja bagi membolehkan bilionair Arab Saudi itu mendapat pingat diraja dan kewarganegaraan UK.

Bagaimanapun, Mahfouz menafikan melakukan sebarang salah laku.



Ketika menjadi seorang valet, Fawcett memicit ubat gigi untuk diletakkan di atas berus gigi Putera Charles.

Beliau juga membantu Putera Charles dari segi pemakaiannya sebelum kerjanya meningkat naik setapak demi setapak dan pada tahun 2007, Fawcett dilantik menjadi Ketua Eksekutif Rumah Dumfries di Scotland.

Rumah Dumfries ialah rumah yang besar milik Putera Charles dan mempunyai reka bentuk pada abad ke-18 dan mempunyai keluasan lebih 800 hektar tetapi telah bertukar fungsi menjadi hab untuk kerja-kerja kebajikannya.

Namun, kira-kira dua bulan lalu, sepucuk surat daripada Fawcett yang menulis kepada Mahfouz pada Ogos 2017 didedahkan oleh media Britain.



Surat itu menyatakan bahawa pembantu Putera Charles itu akan membantu taikun Arab Saudi tersebut dari segi kenaikan taraf pingat.

Bilioniar itu diberikan harapan bahawa beliau akan diberikan pingat Commander of the Most Excellent Order of the British Empire (CBE) atau Darjah Komander Paling Cemerlang Empayar British kepada pingat Knight or Dame Commander of the Order of the British Empire (KBE) atau Darjah Kesatria Lelaki Empayar British.

Pingat KBE itu adalah yang kedua tertinggi dalam pengelasan pingat diraja England.

Surat itu juga menyatakan sokongan terhadap permohonan Mahfouz untuk mendapatkan kewarganegaraan UK.



Walaupun surat itu didedahkan oleh akhbar The Mail On Sunday pada awal September lalu, Putera Charles dilaporkan tidak mengetahui bahawa sumbangan wang yang diberikan kepada yayasan tersebut akan mendapat ganjaran pingat.

Sebelum ini bilionair itu telah menerima pingat CBE daripada Putera Charles pada tahun 2016.

 

Putera Charles pernah memberikan pingat CBE kepada bilionair Arab Saudi, Mahfouz Marei Mubarak Mahfouz pada tahun 2016. - Foto Agensi
Putera Charles pernah memberikan pingat CBE kepada bilionair Arab Saudi, Mahfouz Marei Mubarak Mahfouz pada tahun 2016. – Foto Agensi

 

Terdapat juga dakwaan bahawa Fawcett bekerjasama dengan beberapa pihak bagi membolehkan pingat Officer of the Order of the British Empire (OBE) atau Darjah Kelas Pegawai Empayar British yang dicadangkan kepada Mahfouz dinaikkan kepada CBE.

Bilionair itu menerima pingat CBE kerana kerja-kerja kebajikannya untuk Yayasan Putera daripada Putera Charles dalam satu majlis tertutup pada tahun 2016 setelah beliau menyumbangkan wang sebanyak lebih £1 juta (RM5.57 juta).

Pada Oktober 2015, bilionair itu dilaporkan menyumbangkan sebanyak £370,000 (RM2,061,608) kepada Istana Mey di utara pantai Scotland yang pernah dimiliki oleh Ratu Elizabeth II dan kini telah menjadi satu lagi projek kebajikan buat Putera Charles.

Susulan itu, sebuah hutan berhampiran istana itu telah diberikan sempena namanya.

Nama bilionair itu turut diberikan pada sebuah bangku yang mengandungi plak di istana tersebut bersama lima bangku lain yang juga tertera nama bapa dan empat beradiknya.

Keluarga bilioniar itu mencipta kekayaan di Timur Tengah menerusi industri perhotelan, hartanah dan sektor pengeluaran.

Difahamkan, bilionair tersebut juga terkenal di Britain kerana sifat pemurahnya dan pada tahun 2012, beliau dilaporkan menubuhkan Yayasan Mahfouz sebuah badan kebajikan bagi membantu meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan orang awam di UK. – Agensi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: Parti bertanding utamakan kepentingan peribadi daripada agenda Bumiputera

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker