Ingatan Rasulullah s.a.w. Kepada Orang Bujang

Sebaran :

Ingatan Rasulullah s.a.w. Kepada Orang Bujang

Perkahwinan menutup pintu-pintu kemaksiatan dan dengan itu, pintu keberkatan dan limpahan rahmat akan terbuka dengan luasnya. Ini kerana, mereka yang bernikah itu adalah di kalangan mereka yang telah melaksanakan satu sunnah Nabi s.a.w. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,

“Nikah itu sunnahku, barang siapa yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan golonganku!” – HR. Ibnu Majah dan Aisyah r.ha.

Realitinya hari ini, yang muda takut nak berkahwin, khuatir tidak mampu menyara anak dara orang. Bahkan bakal isteri bimbang tidak mampu hidup susah dengan suami kelak. Itu belum lagi termasuk keluarga yang menjadi benteng penghalang untuk dua sejoli menghadap Pak Imam.



Pelbagai syarat yang dikenakan kepada calon lelaki sehingga perlu mempunyai simpanan yang banyak dalam bank, juga telah memiliki rumah dan kereta sebagai syarat pinangan diterima.

Anak muda sering dimomokkan dengan kehidupan lepas kahwin yang mengerikan, hidup susah menjadi rutin, situasi tidak berduit sudah biasa, perlu bersedia lebih awal kesemua situasi sebegitu. Kononnya keluarga tidak mahu melihat anak menantu mereka susah kemudian hari, lantas meletakkan syarat supaya mampu terlebih dahulu untuk menikah.

Walhal dalam agama, bernikah itu sesuatu perkara yang digalakkan bagi mengelakkan berlakunya maksiat. Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud,

“Wahai generasi muda! Bila di antaramu sudah mampu menikah hendaklah ia nikah, kerana mata akan lebih terjaga, kemaluan akan lebih terpelihara.” – HR Bukhari dan Muslim.



Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Suriani Sudi mengatakan, pernikahan itu sendiri sebenarnya kunci untuk membuka pintu rezeki. Dengan menikah, orang akan jadi kaya.

Wah! Menarik tu. Justeru, bagi mereka yang mendakwa perkahwinan itu membawa kemiskinan atau kesempitan hidup kerana terpaksa berbahagi dua, pemahaman seumpama itu jelas salah dan tidak benar menurut syarak.

Firman Allah surah an-Nur:32,

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.”



Berdasarkan firman Allah di atas, Suriani menegaskan, setiap daripada umat Islam perlu beriman dengan kalamullah itu seyakinnya. Jadi, tidak sepatutnya berlaku setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasulnya untuk takut kemiskinan menjengah setelah berumah tangga.

Apa yang sepatutnya, sediakan ilmu sebaik mungkin sebelum berkahwin, dan jadikan perkahwinan yang terbina itu sebagai jambatan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka dengan itu pintu-pintu rezeki akan terbuka dengan seluas-luasnya.

Sepertimana firman-Nya dalam surah at-Tholaq: 2,

“Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia (Allah) akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Allah akan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka sangka.”

Cabang rezeki

Bagi mereka yang sudah berkahwin, namun masih tidak mendapat pekerjaan yang sebaiknya ataupun kehidupan sebelum dan selepas kahwin itu tidak jauh bezanya, bahkan mendakwa rezeki untuk mereka tiada, Suriani menjelaskan, rezeki yang dimaksudkan itu bukan jenis material atau kebendaan semata-mata.

Sebaliknya rezeki Allah itu sangat luas. Miskin harta, tetapi kaya kasih sayang. Juga kaya dengan jiwa tenang yang dikecap selepas berumah tangga. Ketenangan itu dapat dicapai melalui perkongsian hidup antara dua insan yang nyata lebih halal, berbeza ketika bercinta. Mereka boleh menyelami hati masing-masing tanpa had dan batasnya. Setiap perkara dikongsi bersama dan makan minum ada yang menjaganya.

“Bukankah tenang jiwanya jika pulang ke rumah isteri menyambut dengan senyuman di bibir, sambil mengurut lembut? Begitu juga si isteri, penat seharian membuat kerja rumah hilang tatkala melihat si suami pulang dengan penat kerana mencari rezeki untuk keluarga. Lantas mengukirkan senyuman semanis mungkin agar penat yang dirasakan beransur hilang,” terang Suriani lagi.

Itulah juga rezeki iaitu ketenangan jiwa. Rezeki juga boleh dalam bentuk ilmu pengetahuan, kasih sayang, kebahagiaan, anak, isteri, kesihatan, keselamatan kegembiraan dan seumpamanya.

Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w pernah menyebut tentang Saidatina Khadijah, “Aku telah direzekikan cintanya.”

Mendapat jodoh di dunia juga merupakan rezeki yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Bayangkan berapa ramai di luar sana yang ingin berkahwin, tetapi ada sahaja halangan dan rintangannya.

Itu merupakan penutup rezeki kepada mereka. Belum lagi termasuk rezeki anak yang diberikan oleh Allah dan apabila dididik sebaiknya, maka mereka itulah jaminan ‘talian hayat’ untuk ibu bapa mendapatkan rahmat melalui amalan-amalan soleh dan kebaikan yang dilakukan.

Rahsia rezeki

Hakikatnya, rahsia pintu rezeki terbuka luas selepas berkahwin ekoran berkurangnya perbuatan maksiat. Jika sebelum berkahwin, banyak perkara yang menghampiri zina dilakukan tanpa sedar. Antaranya, berjumpa berdua-duaan, saling merindu dan mencintai tanpa ada asasnya sekali gus menjadi penghalang untuk doa yang diangkat, dan dimakbulkan Allah.

Firman Allah surah ar-Ruum:21

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Pesan Suriani, jangan ditanya bagaimana Allah memberikan rezeki, tetapi bersedia dan berusahalah untuk mencari rezeki di samping memohonnya kepada Allah. Pasti Allah akan memperkenankan.

Sabda Baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad,

“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya.”

Allah tidak akan mensia-siakan ketabahan hamba-Nya. Setiap yang dipinta dengan penuh pengharapan dan keimanan, pasti akan dimakbulkan. Itulah bukti kasih sayang Dia yang Maha Penyayang.

Jangan sesekali sombong untuk memohon kepada Allah, seolah-olah segala nikmat dan rezeki yang dimiliki hari ini adalah hasil daripada kerja keras sendiri. Peringatan telah diberikan Allah melalui surah al-Mukmin: 60,

“Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.“

Suriani menambah lagi, rezeki itu juga datang dengan perasaan yang dirasakan. Bagi si suami, apabila pulang ke rumah, ada isteri yang menyediakan makan dan pakainya setiap masa, mengingatkan dia tentang Allah. Maka kerjanya akan jadi lebih mudah. Fikiran tidak terganggu dengan banyak perkara sekali gus membolehkannya berfikir secara rasional tentang strategi kerja yang dilakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Barang siapa diberi Allah seorang isteri yang solehah, sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya. Dan hendaklah bertakwa kepada Allah separuh lainnya.” – HR Baihaqi.

Itulah nilai seorang isteri solehah, seperti juga yang diucap Nabi s.a.w. mafhumnya wanita hiasan dunia, sebaik-baik hiasan adalah wanita solehah. Daripada Aisyah juga meriwayatkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

“Nikahilah olehmu kaum wanita itu, maka sesungguhnya mereka akan mendatangkan harta (rezeki) bagi kamu.” HR Hakim dan Abu Daud.

Himpunan daripada perkara itu, maka rezeki akan datang dalam pelbagai cara dan rupa. Bagi hamba yang menolong Allah dengan agamanya, dan berupaya menjadi hamba yang taat, Allah juga pasti akan menolongnya dengan pertolongan yang jauh lebih banyak daripada apa yang kita korbankan.

Firman Allah Surah Muhammad: 7,

“Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” Wallahu a’lam Utv

Ingatan Rasulullah s.a.w. Kepada Orang Bujang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Mee rebus gerai Kak Dah RM2


Sebaran :

Leave a Reply