Isteri saya masuk Islam bukan masuk Melayu – Ryzal Ibrahim

Sebaran :

Isteri saya masuk Islam bukan masuk Melayu – Ryzal Ibrahim

Personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim meminta orang ramai supaya menjaga tutur kata dan tidak memaksa isterinya, Maryam untuk mengikut kaedah berpantang dengan cara kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat Melayu.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Ryzal atau nama lengkapnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim berkata, isterinya yang juga seorang wanita warga Korea hanya menukar agamanya kepada Islam dan bukan menukar kaum (menjadi Melayu).

“Assalamualaikum. Maryam atau nama sebenarnya You Narae, iaitu seorang wanita warga Korea. Isteri saya bukan Melayu, bukan Cina dan bukan India. Budaya negara lain tidak diwajibkan untuk dia ikuti (amalkan).



“Isteri saya peluk Islam atau erti kata lain tukar agama dan bukannya tukar budaya. Jadi, janganlah paksa orang menerima budaya bukan miliknya,” tulis Ryzal.

Kata lelaki kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu lagi, walaupun berbeza budaya, isterinya masih menjalani sesi berpantang selepas bersalin mengikut kaedah tradisional dan dipantau dengan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan berpantang.

“Maryam berpantang cara tradisional dengan bertungku, mengurut, mandi herba dan makan makanan pantang.

“Semua itu sudah memadai bagi saya kerana dia sanggup ikut walaupun bukan budayanya,” kata Ryzal.



Sehubungan itu, Ryzal melahirkan rasa hairan sama ada budaya berpantang yang diamalkan dalam masyarakat Melayu itu perlu diamalkan juga oleh kaum lain yang beragama Islam walaupun berbeza budaya.

“Kalau budaya pantang Melayu itu wajib untuk semua kaum, adakah orang Islam di Korea, Jepun dan Eropah kena ikut juga?

“Maryam masuk Islam, bukan masuk kaum (jadi Melayu). Budaya dan warisan keluarga di Korea masih miliknya walaupun dia seorang Muslimah atau saudara baharu (mualaf),” jelasnya.

Sehubungan itu, Ryzal meminta orang ramai supaya tidak memberi tekanan kepasa isterinya memandangkan wanita itu perlukan rehat selepas melahirkan cahaya mata sulung mereka.



“Jadi saya minta hajah, mak cik, kakak semua di sini (pengikutnya) supaya berikan ruang kepada Maryam dan hormat budaya miliknya.

“Terima kasih dan selamat malam,” kata Ryzal.

Menjengah dalam ruangan komen, teguran Ryzal yang menggelarkan dirinya bersama isteri sebagai Durian Kimchi itu turut mendapat sokongan oleh pengikutnya dalam Instagram.

Rata-rata bersetuju bahawa amalan berpantang selepas bersalin itu adalah mengikut amalan oleh sesuatu budaya yang berbeza.

“Betul. Cara orang tak sama. Tak perlu nak paksa orang ikut cara kita. Raikan perbezaan,” kata seorang pengikutnya.

“Betul tu Ryzal. Asalkan isteri tidak berpantang sehingga melanggar hukum Islam, itu sudah memadai,” kata seorang lagi pengikutnya.

Terdahulu Maryam selamat melahirkan cahaya mata sulung perempuan yang diberi nama Rina pada 21 Oktober lalu. Pasangan itu berkahwin pada 15 Ogos 2019 selepas setahun mengenali hati budi masing-masing di Korea Selatan. K Online

Isteri saya masuk Islam bukan masuk Melayu – Ryzal Ibrahim


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Mee rebus gerai Kak Dah RM2


Sebaran :

Leave a Reply