MoU dengan kerajaan tiada makna jika PH terima 4 bekas ADUN Melaka

MoU dengan kerajaan tiada makna jika PH terima 4 bekas ADUN Melaka

Desakan Pakatan Harapan (PH) bagi reformasi pilihan raya, terutamanya undang-undang antilompat parti tidak akan bermakna, jika pembangkang menerima mana-mana empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digelar “Melaka 4” sebagai calon, kata Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh.

Katanya, PH tentu akan hilang kredibiliti di mata rakyat, jika empat bekas ADUN Melaka itu dibenarkan bertanding atas tiket gabungan itu.

Gabungan berkenaan hilang kuasa tahun lalu disebabkan pembelot seperti itu, tambahnya.

Empat bekas ADUN yang dimaksudkan itu adalah Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). Mereka menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali awal bulan ini.

Idris dan Azman sebelum ini menganggotai Umno, manakala Effandi ialah bekas ahli Bersatu. Norhizam memenangi kerusinya atas tiket DAP pada 2018, tetapi kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas menyokong kerajaan negeri pimpinan Umno.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, PH menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan kerana pembangkang mahu reformasi pilihan raya untuk politik bersih dan jujur.

“Salah satu sebab utama menandatangani MoU itu adalah melihat reformasi dilaksanakan. Oleh itu, PH sekarang berpeluang menunjukkan ia benar-benar serius menjadikannya kenyataan dengan menolak empat (ADUN) itu.

“Nasib mereka harus diputuskan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang dan PH tidak boleh dilihat bersubahat dengan menerima mereka kerana PH juga boleh dihukum pada pilihan raya umum berikutnya (PRU15).

“Diharapkan tindakan melompat parti hanya tinggal sejarah, setelah undang-undang antilompat parti dilaksanakan dengan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan susulan mesyuarat Majlis Presiden PH Khamis lalu, gabungan itu mengumumkan Norhizam tidak akan dinamakan sebagai calon mereka.

Norhizam meninggalkan parti itu susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, menyebabkan kejatuhan kerajaan PH Melaka ketika itu yang dipimpin Adly Zahari daripada Amanah.

Mengenai tiga lagi ADUN terbabit, Majlis Presiden berkata, ia menerima pandangan semua pihak mengenai perkara ini, namun keputusan muktamad belum dibuat. FMT

MoU dengan kerajaan tiada makna jika PH terima 4 bekas ADUN Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tujuan PPBM ditubuhkan hanya untuk bunuh UMNO – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker