Bakal haji patut kongsi kenaikan kos?

Sebaran :

SEJAK kerajaan mengumumkan kebenaran untuk ke luar negara, masyarakat Islam Malaysia sibuk bersembang di aplikasi WhatsApp dan di sosial media serta ramai yang mula merancang untuk tunai umrah serta haji setelah hasrat mereka ke tanah suci tertangguh akibat Covid-19 semenjak tahun 2020.

Minggu lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan harga minimum pakej umrah adalah RM6,900 berbanding RM4,900 sebelum ini dan ia merupakan peningkatan hampir 40 peratus secara kasar.

Kita faham kenaikan itu memang tidak dapat dielakkan kerana pada situasi pandemik, kerajaan Arab Saudi menaikkan pelbagai caj akibat pelaksanaan SOP, di samping cukai yang dikenakan kepada setiap jemaah.

Selain ujian saringan swab, kos bilik hotel yang bertambah kerana bilangan jemaah dalam bilik hotel terpaksa dikurangkan begitu juga muatan jemaah dalam bas serta pengurusan mutawif yang pastinya lebih ketat.



Walaupun kos pakej umrah makin tinggi sedangkan tempohnya pendek, tapi ramai yang tidak kisah untuk bayar lebih kerana rasa rindu kepada Baitullah lebih tebal.

Sana sini agensi pelancongan amat sibuk mengurus ribuan tempahan yang ingin pergi tunai umrah.

Kesanggupan membayar lebih, untuk tunai umrah juga seharusnya berlaku pada musim haji nanti.

Sekarang bayaran haji jika ikut Tabung Haji, jemaah hanya bayar tidak lebih RM10,000 untuk 40 hari di tanah suci.



Ia sangat rendah berbanding pakej umrah yang tinggi tetapi untuk tempoh masa yang singkat.

SUBSIDI

Kos haji tahun hadapan juga pasti meningkat disebabkan faktor yang sama. Jika tahun sebelum ini kos minima haji adalah RM20,000, tidak mustahil ia akan naik hingga RM30,000 tahun ini.

Bakal haji harus bersedia untuk bayar lebih jika terpilih pergi haji tahun hadapan. Kenaikan ini tidak dapat dielakkan dan tidak harus dibebankan hanya kepada Tabung Haji.



Sudah tiba masanya Tabung Haji tidak dibebankan dengan jumlah subsidi haji yang tinggi kerana perkhidmatan masih perlu dikekalkan, ditambah pula dengan SOP, cukai dan lain-lain caj yang dikenakan di tanah suci.

Untuk Tabung Haji kekal sebagai institusi kebanggaan negara yang mampu memberi perkhidmatan haji bertaraf dunia, umat Islam perlu membantu institusi itu daripada bebanan subsidi haji.

Kita semua tahu ekonomi dunia amat terkesan akibat wabak Covid-19 dan Malaysia tidak terkecuali. Banyak syarikat gergasi yang terkesan dan ada yang gulung tikar.

Pasti Tabung Haji turut terkesan dan subsidi haji yang tinggi akan sikit sebanyak menggugat kedudukan kewangan agensi itu bagi jangka masa panjang.

Saya berpandangan, bakal haji Malaysia perlu bersedia untuk bayar lebih daripada RM10,000 untuk pergi haji, sama seperti mereka bersedia bayar lebih untuk pergi umrah.

Haji hanya untuk yang mampu dan jika tidak mampu, syarat wajib terhapus.

Kalau dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain, bayaran haji Malaysia sangat rendah.

Tapi kita harus pandang ke depan kerana kalau Tabung Haji terus terbeban, ada kemungkinan ia tidak lagi mampu untuk bertahan dan kita akan hilang satu-satunya institusi Islam yang menjaga kebajikan haji rakyat Malaysia.

Kita pasti tidak mahu itu berlaku.

Bayangkan berapa banyak lagi anak cucu kita perlu bayar dan mereka jadi seperti jemaah haji negara lain yang tidak terjaga ketika di tanah suci.

Persoalan saya, adakah subsidi haji mengikut syarat syariah yang ditetapkan oleh Islam dan adakah Tabung Haji perlu terus memberi subsidi yang tinggi?

Semua itu adalah penting dan perlu diperhalusi bagi kelestarian institusi Tabung Haji kerana kita mahu agensi tersebut kekal menjaga kebajikan jemaah negara selagi ada musim haji.

* Abu Suffian Abu Hassan, Shah Alam, Selangor

 

Bakal haji patut kongsi kenaikan kos?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU



Sebaran :

Leave a Reply