RUU MA63 dibentang Selasa ini

RUU MA63 dibentang Selasa ini, kata Wan Junaidi

Kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sejajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen pada 26 Okt ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, bacaan kali kedua RUU itu akan dijadualkan semula ke tarikh lain daripada rancangan awal pada 28 Okt.

Beliau berkata, ini akan membolehkan Peguam Negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet mengenai perkara itu.

“Walaupun Kabinet pada dasarnya telah bersetuju dan meluluskan memorandum mengenai RUU itu yang dibentangkan semasa mesyuarat terakhir pada Rabu (20 Okt), terdapat beberapa ahli ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai cadangan pindaan tersebut.

“Bagi menjawab pertanyaan mereka, Kabinet bersetuju meminta AG menghadiri mesyuarat Kabinet akan datang pada Jumaat (29 Okt) untuk menjelaskan pindaan tersebut.

“Apabila Kabinet berpuas hati dengan penerangan itu, barulah tarikh baharu untuk bacaan kali kedua RUU tersebut ditetapkan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Pada 18 Okt lalu, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan Wan Junaidi untuk menakrifkan semula beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam konteks MA63.

Menjelaskan cadangan pindaan itu, Wan Junaidi berkata, pindaan Perkara 1(2) untuk mengembalikan artikel itu kepada susunan asalnya seperti tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan 1963.

Beliau berkata, dalam pindaan ke atas negeri Persekutuan akan ditakrifkan sebagai Negeri-negeri Tanah Melayu (iaitu negeri-negeri di Semenanjung Malaysia) dan negeri-negeri Borneo (iaitu Sabah dan Sarawak).

“Kami juga mencadangkan pindaan Perkara 160 (2) untuk memasukkan ‘Hari Malaysia’ pada 16 Sept 1963, yang merupakan tarikh pembentukan Malaysia dan menandakan berakhirnya kedaulatan Ratu England terhadap Sarawak dan Sabah (dikenali sebagai Borneo Utara) dan berakhirnya pemerintahan Inggeris atas kedua-dua wilayah itu.

“Buat masa ini, tidak ada disebut mengenai Hari Malaysia atau Hari Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Wan Junaidi berkata, cadangan pindaan lain yang diusulkan termasuk pindaan kepada definisi “Pribumi” Sarawak di bawah Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang lebih penting, pindaan Perkara 161A adalah untuk memberi status Pribumi kepada zuriat bagi pasangan anak negeri yang berkahwin dengan bukan Pribumi.

“Melalui pindaan ini, kuasa untuk menentukan kaum mana yang akan diiktiraf sebagai anak negeri, akan ditentukan melalui undang-undang negeri,” katanya. FMT

RUU MA63 dibentang Selasa ini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tujuan PPBM ditubuhkan hanya untuk bunuh UMNO – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker