Premis simpan ayam hutan tanpa lesen diserbu

SEBAHAGIAN unggas liar tanpa dokumen sah yang dirampas Perhilitan di sebuah premis di Segamat, Johor baru-baru ini. – IHSAN PERHILITAN

PUTRAJAYA: Tindakan sebuah premis terletak di Segamat, Johor menyimpan seekor ayam hutan tanpa lesen sah akhirnya terbongkar dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

Menerusi kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), pemeriksaan lanjut mendapati premis itu juga menyimpan pelbagai unggas lain.

Antaranya termasuk tiga ekor burung bayan serindit, dua ekor burung murai batu, seekor burung bayan puling di samping seekor burung kelicap kunyit yang disimpan tanpa dokumen sah.

OBK Zon Selatan itu juga mendapat kerjasama daripada pihak Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Perbadanan Taman Negara Johor.

Bagaimanapun jelas Perhilitan, tiada tangkapan yang dilakukan dan kesemua hidupan berkenaan dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Segamat untuk tindakan selanjutnya.

Agensi tersebut memaklumkan, satu laporan polis dibuat dan kes berkenaan akan disiasat oleh pihak Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Ayam hutan merah atau nama saintifiknya Gallus gallus, merupakan antara empat spesies unggas dari baka genus Gallus yang kelaziman ditemukan di India, Sri Lanka dan rantau Asia Tenggara.

Ia termasuk dalam senarai merah spesies terancam di bawah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa sejak 2004 hasil penilaian risiko oleh pelbagai badan saintifik global.

Nilai daging ayam hutan yang diburu secara haram tanpa lesen daripada pihak Perhilitan, didapati mampu mencecah sehingga harga RM500 setiap ekor di pasaran gelap tempatan.

Kegiatan haram pemburu menjerat ayam itu dikesan terus berleluasa susulan permintaan tinggi peminat haiwan eksotik selain sanggup bayar ratusan ringgit bagi dijadikan unggas peliharaan.

Pemilikan haiwan liar tanpa dokumen jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Premis simpan ayam hutan tanpa lesen diserbu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kertas Pandora: ‘RM900 bilion tidak masuk akal’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker