Syafiq lamar Mimi Lana?

Syafiq lamar Mimi Lana?

Pendirian teguh tidak berkongsi soal peribadi, nyata aktor kacak, Syafiq Kyle, 29, tetap dengan prinsip dipegang.

Meskipun, buah hatinya, Mimi Lana dilihat terbuka berkongsi foto mahupun video kemesraan mereka, namun calon awal kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu pula sebaliknya, enggan membuka mulut tatkala diasak pertanyaan perancangan bersama wanita yang dikenali sejak enam tahun lalu.

Hubungan cinta dua bintang popular bukan rahsia lagi, malah melalui fasa turun naik. Sebelum ini, hubungan Syafiq dan Mimi berdua pernah diuji dengan perpisahan.

Bagaimanapun, persengketaan antara mereka tidak berpanjangan, malah kembali menyulam buih-buih cinta.

Apabila diajukan persoalan kepada pelakon yang mengukir nama menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer dan Nur itu, apakah mempunyai perancangan melamar Mimi menjadi bakal isteri dalam masa terdekat?

Namun, Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, hanya memberikan jawapan ringkas, no komen.

Lebih sedekad bergelar anak seni, ternyata pelakon yang pernah diangkat Pelakon TV Lelaki Popular, ABPBH 32 itu lebih selesa berbicara mengenai kerjaya seni, berbanding persoalan peribadi.

Tanyalah apa sahaja soalan berkaitan kerjaya, pelakon yang cukup sinonim dengan watak Ustaz Adam dalam drama Nur dan Nur 2 itu tiada masalah untuk menjawab, namun bukan berkaitan cinta.

Berbicara pencalonan dalam ABPBH 34, pelakon kelahiran Kuala Lumpur itu tidak meletakkan harapan tinggi dapat menjulang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, tahun ini.

Bagi Syafiq, kini bukan populariti yang ingin dikejar, sebaliknya mendambakan lebih dikenali sebagai pelakon terbaik.

“Terus terang, saya tidak nampak ABPBH sebagai satu persaingan, sebaliknya sebagai acara yang memberi penghargaan kepada peminat. Tiada persaingan yang sengit atau longgar.

“Bagi saya, terbaik adalah cukup terbaik dan terkenal pula memang terkenal.

“Saya kini mahu peminat menilai lakonan dan prestasi kerjaya, bukan lagi populariti. Saya tidak mahu bersaing untuk populariti, namun bersaing mengejar menjadi pelakon lebih baik.

“Jadi, saya tidak meletakkan apa-apa harapan. Namun, saya akan terus menyokong industri seni dan apa sahaja anugerah yang dianjurkan,” katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Pusaka, Saka Nan Sepi dan Mat Bond Malaya itu berkata, dia melihat penganjuran sesebuah anugerah sebagai tempat untuk mengeratkan silaturahim dan saling bertanya khabar.

“Selain bertemu ramai penggiat seni, kita juga saling mengemas kini aktiviti, prestasi dan kualiti kerja. Itu semangat saya menghadiri majlis anugerah,” katanya.

Selain dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Syafiq bersama Mimi turut membolosi kategori Gandingan Serasi Filem Popular bagi filem Saka Nan Sepi.

Mengulas tema #KITABERSAMA, Syafiq menyifatkan tema ABPBH 34 yang digunakan bertepatan dengan situasi negara yang masih berjuang melawan penularan pandemik COVID-19.

“Walau dalam apa keadaan sekali pun, kita tetap perlu bersama mendepani situasi getir ini.

“Saya bersyukur ahli keluarga sihat dan belum pernah dijangkiti COVID-19. Kepada mereka yang diuji dan sudah lama tidak berjumpa dengan keluarga, saya harap mereka dapat terus bersabar.

“Insya-Allah, masa yang tepat pasti akan muncul untuk mereka kembali bersama keluarga. Doa saya sentiasa mengiringi rakyat Malaysia,” katanya.

Syafiq membolosi kelompok Top 5 bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular bersama Mimi menerusi filem Saka Nan Sepi.

Pasangan ini menggenggam trofi Gandingan Serasi Filem Popular menerusi filem Pusaka pada ABPBH 33.

Bekas penuntut Diploma Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor kini sibuk dengan persiapan menjalani penggambaran beberapa filem. BH

Syafiq lamar Mimi Lana?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tentera tembak diri sendiri, ibu mentua, selepas bertengkar dengan isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker