Belanjawan 2022 mesti isi jurang dalam sistem kesihatan

Belanjawan 2022 mesti isi jurang dalam sistem kesihatan, kerajaan diberitahu

Pakar kesihatan meminta Putrajaya memperuntukkan belanjawan mencukupi bagi mengisi jurang perbezaan yang dilihat dalam sistem kesihatan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Mereka berkata, antara beberapa kelemahan itu seperti kekurangan bilangan petugas kesihatan, kurangnya penekanan terhadap kepentingan pendigitalan, keperluan untuk menambah dos vaksin Covid-19 serta ubat-ubatan untuk penyakit tidak berjangkit (NCD).



Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menggesa supaya penambahan besar peruntukan terhadap sistem kesihatan awam dapat dilakukan menerusi Belanjawan 2022 nanti memandangkan 20% daripadanya diperlukan untuk perbelanjaan berkaitan Covid-19 yang membabitkan perolehan vaksin, ujian serta operasi.

Beliau juga menekankan kepentingan penyediaan sumber untuk menyegerakan rawatan NCD yang tertangguh selepas perhatian banyak diberikan untuk memerangi Covid-19 selain menyediakan sumber untuk rawatan penyakit mental.

“Masalah kesihatan mental telah meningkat sebelum ini dan ketika pandemik. Ia akan berterusan selepas pandemik,” katanya kepada FMT.

Lee juga berkata kerajaan juga perlu meneliti aspek pendigitalan dalam sistem kesihatan.



“Terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan EMR (rekod perubatan elektronik) untuk meningkatkan kecekapan Kementerian Kesihatan secara menyeluruh,” katanya.

“EMR akan membolehkan penjagaan kesihatan pesakit boleh dilakukan lebih lancar di kemudahan kesihatan berbeza.

“Sumber tambahan juga diperlukan untuk melaksanakan rundingan kesihatan secara maya. Kementerian telah memulakan pemantauan kuarantin kendiri di rumah untuk pesakit Covid-19. Langkah sama boleh dilakukan untuk memantau pesakit NCD.”

Katanya, seperti yang diketahui, kemudahan kesihatan awam berdepan masalah kekurangan tenaga kerja dan petugasnya memikul beban tugas yang terlampau banyak.



“Kita bernasib baik kerana mempunyai petugas kesihatan barisan hadapan yang bekerja keras tanpa henti sejak 22 bulan lalu,” katanya.

“Kerajaan perlu memastikan sumbangan petugas kesihatan ini dihargai sepenuhnya dan kementerian juga harus mempunyai bilangan petugas yang mencukupi terutamanya jururawat, doktor dan pakar.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata peruntukan yang disalurkan kepada sistem kesihatan negara adalah rendah dan tidak mencapai piawaian antarabangsa.

Katanya, peruntukan itu berada di bawah 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) sejak 2006.



“Minimum 5% daripada KDNK dalam perbelanjaan sistem kesihatan menjadi antara beberapa kriteria yang mesti dipenuhi untuk mencapai Liputan Kesihatan Sejagat menjelang 2030,” katanya.

Koh berkata pengagihan perkhidmatan kesihatan di negara ini juga tidak seimbang dan kerajaan perlu menanganinya.

“Peruntukan perlu disalurkan dalam membangunkan kemudahan infrastruktur baru dan menaiktaraf kemudahan sedia ada bagi memenuhi permintaan populasi,” katanya.

Beliau juga menggesa supaya kerajaan menambah peruntukan menerusi Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan pendapatan B40 (Peka B40).



“Kita berharap kerajaan akan terus memperbaiki program kesihatan Peka B40 untuk kumpulan berpendapatan rendah. Lebih banyak isi rumah dijangka tergelincir kepada kumpulan B40 disebabkan kesan ekonomi akibat pandemik,” katanya. FMT

Belanjawan 2022 mesti isi jurang dalam sistem kesihatan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Tentera tembak diri sendiri, ibu mentua, selepas bertengkar dengan isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker